Bagaimana mahu berjaya?
Sebagai seorang hamba yang hanya menumpang di dunia sementara, sudah tentulah kita harus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Tuannya. Untuk berjaya, tugas dan akhlak menuntut ilmu haruslah dipatuhi.
TUGAS PENUNTUT ILMU
1) Memperbetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntut ilmu ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang alim atau bergelar seorang doktor atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat dan yang seumpamanya.
Dari Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Riwayat al-Tirmizi)
Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.
2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan dan tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.
Firman Allah SWT. "Katakanlah (wahai Muhammad) tambahkan ilmu kepadaku." (Toha : 114)
3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersifat fizikal mahupun spritual. Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.
Imam Al-Syafie pernah mengungkap: "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."
4) Memuliakan Guru
Sabda Rasulullah SAW : “Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim” (Riwayat Abu Daud)
Imam Malik رحمه الله تعلى pernah berkata kepada seorang pemuda dari kalangan masyarakat Quraisy (keturunan Qurasy); “Wahai anak saudaraku, pelajarilah adab tersebut sebelum kamu mula mempelajari ilmu”Berkata Yusuf bin al Husein : “Dengan adab itu, ilmu tersebut difahami.”Berkata Abu Abdillah al-Balhi : “Adab ilmu tersebut lebih banyak daripada ilmu itu sendiri ”
Selain memuliakan guru, kita bertanggungjawab untuk menunaikan hak-hak mereka. Antaranya;
1. Merendah diri terhadap guru.
2. Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna.
3. Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda menghormati mereka.
4. Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.
5. Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka.
6. Berkelakuan penuh sopan ketika mengikuti pembelajaran.
7. Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus seperti bilik guru.
8. Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah diketahui.
9. Tidak mengemukakan pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya.
AKHLAK PENUNTUT ILMU
1) Merasakan Tanggungjawab ilmu.
Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:. “Tidak akan mara seseorang hamba di hari akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara; Berkenaan umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah diperbuat dengannya. (Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih)
2) Menjaga amanah ilmiah
Sabda Rasulullah SAW: ”Berilah nasihat pada ilmu. Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat .” (Riwayat Attabarani)
Antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
- Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
- Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.
3)Tawadhuk
Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.
Firman Allah SWT: "Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”
(Al-Isra’ : 85)
4)Mulia diri (Al-Izzah)
Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri dan tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya. Ini bukanlah bererti kita membangga diri tetapi meletakkan hak ilmu ditempatnya.
Firman Allah SWT: "Kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui."
(Al-Munafikun : 8)
"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya" (Faathir : 10)
5)Beramal dengan apa yang dipelajari
Firman Allah: "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajipan)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir."
(Al-Baqarah : 44)
6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu
Firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu) hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya lalu mereka melemparkan janji itu ke belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit. Maka itu seburuk-buruk jual beli yang mereka lakukan."
(Ali-Imran : 187)
Kesimpulannya;
Rahsia kejayaan seorang pelajar:
S : Sedar akan matlamat hidup, nilai dan tanggungjawab diri
M : Mahir dalam beberapa perkara asas
A : Akhlak yang baik dan berdisiplin
R: Rajin, istiqamah dan bersungguh-sungguh
T: Tenang, ceria dan berserah diri kepada Allah
Sumber: Azmi Hashim
Suara Persatuan Ulamak Online

0 Comment
Post a Comment