
KUALA LUMPUR: Draf pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan diserahkan kepada Peguam Negara minggu ini untuk dimuktamadkan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, ia akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.
"Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU, malah kerajaan sedang mengkaji dengan teliti untuk menambah baik akta ini.
"AUKU adalah akta untuk mentadbir urus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ia bukan bertujuan untuk mengongkong mahasiswa seperti yang didakwa sesetengah pihak," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pindaan AUKU akan menamatkan segala kontroversi dan kekeliruan terhadap akta itu yang didakwa mengongkong hak pensyarah dan mahasiswa bersuara.
"Segala kajian, pertemuan dan dialog bagi meminda AUKU sudah selesai dibuat dengan semua pihak yang ada kaitan dengan akta ini. Apabila dibentang di Parlimen nanti, baru nampak hasil daripada apa yang sudah kita kumpulkan," katanya.
sumber: www.bharian.com.my

0 Comment
Post a Comment