Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Al-Baqarah: 183)
Hari demi hari berlalu, aku melambai-lambai Ramadhan.
Detik demi detik berlalu, aku melihat Ramadhan semakin menjauhi.
Ahlan wasahlan ya Ramadhan..
Aku mengharapkan seribu rahmat dan keberkatan dari Tuhanmu.
Aku takkan sesekali mensia-siakan kedatangannmu.
Dari Malik dari Abu Zanad dari A’raj dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Puasa adalah pelindung daripada segala macam kemungkaran dan kemaksiatan. Maka, orang yang berpuasa itu janganlah berkata buruk atau keji dan jangan pula berkelakuan seperti orang-orang yang jahil perihal hukum agama. Jikalau ada seseorang mengajaknya bertengkar padanya atau mencacinya maka hendaklah dia berkata sesungguhnya aku berpuasa sebanyak dua kali. Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, bau mulut orang yang berpuasa itu lebih enak daripada bau minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan minumnya serta syahwat keinginannya semata-mata kerana mengharapkan keredhaanKu. Oleh kerana itu amalan puasanya adalah semata-mata untukKu dan Aku sendirilah yang akan memberikan balasannya yakni tiada batas hitungannya. Suatu kebaikan yang dikerjakan oleh orang itu akan memperoleh pahala dengan sepuluh kali ganda amalannya itu.”
Dari Khalid bin Makhlad katanya dia diberitahu oleh Sulaiman bin Bilal dari Hazim dari Sahal r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya;
“Sesungguhnyadi dalam syurga itu ada sebuah pintu yang dinamakan pintu Rayyan -ertinya orang yang sudah kenyang kerana minum-, iaitu pintu yang hanya dimasuki pada hari kiamat oleh orang-orang yang berpuasa. Tiada seorangpun yang dapat memasuki pintu tersebut selain orang-orang yang berpuasa itu. Apabila ditanyakan dimanakah orang-orang yang berpuasa itu, merekapun berdiri. Pintu itu tidak dimasuki melainkan oleh mereka. Apabila mereka telah masuk, pintu itupun ditutup rapat-rapat sehingga tiada seorangpun yang dapat ,masuk syurga melalui pintu itu tadi.”
Amalan-amalan yang disunatkan sepanjang bulan Ramadhan;
1. Solat Terawih
Solat terawih adalah solat khusus yang hanya ditunaikan dalam bulan ramadhan sahaja. Waktu solat ini bermula sejurus setelah solat isyak dan sebelum terbit fajar. Rakaat minimum untuk solat tarawih ialah 8 rakaat dan diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Manakala rakaat maksimum adalah dua puluh rakaat, diikuti dengan tiga rakaat witir. Solat tarawih ini disunatkan didirikan dalam keadaan berjamaah di masjid. Manakala bacaan dalam solat tersebut bergantung kepada kemampuan.
2. Tilawah Al-Quran atau Tadarus.
Sememangnya Ramadhan adalah bulan diturunkan al-quran didalamnya. Sudah pasti tilawah al-quran menjadi keutamaan dalam memenuhi agenda ibadah dibulan ini. Imam Malik Rahimahullah sendiri menangguhkan majlis-majlis hadis dibulan ramadhan untuk memberi tumpuan kepada al-quran.
Mukmin boleh sahaja memilih untuk membaca al-quran secara individu ataupun secara berkumpulan yang disebut sebagai tadarus. Ini kerana Rasulullah sendiri bertadarus dengan malaikat Jibrail pada setiap ramadhan. Seharusnya kita berazam untuk mengkhatamkan al-quran walaupun sekali dalam bulan yang mulia ini.
Bukan tilawah dan tadarus sahaja yang digalakkan, bahkan pengajian-pengajian tafsir juga sangat dianjurkan dalam bulan al-quran ini. Ini bertujuan untuk menghidupkan kembali bulan ramadhan yang sinonim dengan penurunan al-quran.
"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.
3. Memperbanyakkan ibadah di separuh akhir Ramadhan
Ali bin Abdullah berkata bahawa Sufyan memberitahu kepada kami dari Ya’fu bin Abudh Dhuha dari Masruq dari ‘Aisyah r.a. katanya; “Nabi s.a.w. itu apabila sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan telah masuk, maka baginda s.a.w. selalu mengikat erat-erat celananya (kiasan bahawa baginda s.a.w. itu sangat giat lagi bersemangat dalam mengerjakan ibadat), menghidupkan malam harinya (dengan membaca Al-Quran dan mengerjakan solat serta amalan-amalan lain yang mendekatkan diri kepada Allah), dan baginda membangunkan keluarganya (agar turut beramal shalih).
Adab-adab berpuasa;
1. Menyegerakan berbuka.
2. Bersahur walau seteguk air.
3. Melewatkan sahur hingga sebelum fajar.
4. Menjaga lidah daripada mengumpat,mengata, mencela, bercakap kosong dan sebagainya.
5. Mandi janabah (hadas besar) sebelum terbit fajar.
6. Tidak berbekam dan menderma darah kerana dikhuatiri melemahkan orang yang berpuasa.
7. Berdoa ketika berbuka dengan membaca:
اللّهُمَّ لَكَ صُمْتُ, وَعَلىَ ِرزْقِكَ أَفْطَرْتُ, ذَهَبَ الظَّمَأُ, وَابْتَلَّتِ اْلعُرُوْقُ, وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ الله
8. Menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun sekadar sebijik tamar atau seteguk air.
9. Memperbanyakkan sedekah, membaca al-Quran dan beriktikaf di masjid terutamanya pada 10 malam terakhir ramadhan.
SELAMAT MEMBURU MALAM LAILATUL QADR..
MARILAH KITA BERSAMA-SAMA BERPESTA IBADAH..
Rujukan: Shahih Bukhari dan http://www.paksi.net/modules/penulisan_kreatif/article.php?storyid=176

0 Comment
Post a Comment