Kelebihan beramal 10 hari zulhijjah dan fadhilat besar puasa hari Arafah

Kelebihan beramal 10 hari zulhijjah dan fadhilat besar puasa hari arafah

Sedar tak sedar kita sudah berada di bulan terakhir dalam kalendar hijri. tahukah kita pada bulan zulhijjah ini terdapat banyak fadhilat yang besar pada sepuluh hari awal zulhijjah disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh. Maka seorang Muslim wajarlah ia memperhatikan hikmah yang terkandung dalam bulan tersebut, memanfaatkan dengan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar hatinya menjadi dekat kepada Allah Taala di mana hal tersebut dapat membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa besar dan semangat yang berkobar.

Bukti kemuliaan ini, Allah Taala bersumpah dengannya dalam Al Quran Al Karim, "Demi fajar, dan malam yang sepuluh" Al Fajr:1-2

Imam At Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujjah dari ahli ta’wil (ahli tafsir). (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Qur’an:7/514)

Penafsiran ini dikuatkan oleh Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini, “Dan malam-malam yang sepuluh, maksudnya, sepuluh Zulhijjah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid, dan lebih dari satu ulama salaf dan khalaf”. (Ibnu Kathir:4/535)
Manakala dari hadis, terdapat keterangan yang menunjukkan keutamaan dan kemuliaan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah ini, di antaranya sabda Nabi S.A.W yang bermaksud,

"Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)". Para sahabat bertanya, "Tidak pula jihad di jalan Allah? Nabi S.A.W, "Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun" (Sunan Abi Daud dan Ibnu Majah)


Manakala Syeikh Muhammad bin Soleh Al Munajjid berkata, “Di antara musim ketaatan yang agung adalah sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah, yang telah Allah muliakan atas hari-hari lainnya selama setahun dan hal ini diperkuat dengan beberapa bukti di bawah ini :

1. Allah Taala telah bersumpah dengannya. Dan bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil besarnya manfaat. Allah Taala berfirman bermaksud, “Demi fajar, dan malam yang sepuluh” (Al Fajr:1-2). Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zilhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibni Kathir:8/413)

2. Sesungguhnya Nabi S.A.W pernah bersaksi bahawa hari-hari tersebut adalah seutama-utamanya hari-hari dunia sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis shahih.

3. Rasulullah S.A.W menganjurkan untuk memperbanyakkan amal solih di dalamnya. Sesungguhnya kemuliaannya mampu diperoleh oleh setiap penduduk negeri, sementara keutamaan tempat hanya dimiliki oleh jama’ah haji di Baitil Haram.

4. Rasulullah S.A.W juga memerintahkan untuk memperbanyakkan tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Dari Ibnu Umar R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda maksudnya, “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan amal solih di dalamnya lebih dicintai olehNya daripada hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama dari Zulhijjah), perbanyaklah tahlil, takbir, dan tahmid di dalamnya” (Musnad Imam Ahmad 7/224, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan isnadnya).

5. Di dalamnya terdapat Hari 'Arafah. Hari 'Arafah adalah hari yang disaksikan yang di dalamnya Allah menyempurnakan ajaran deenNya sementara puasanya akan menghapuskan dosa-dosa selama dua tahun.

6. Di dalamnya terdapat ibadah 'udhiyyah (berkorban) dan haji".
Selain itu al-hafez ibn hajar dalam kitabnya al-fath berkata: antara kelebihan sepuluh awal zulhijjah adalah ianya menggabungkan banyak ibadah antaranya solat, puasa, sedekah dan ibadah haji yang tiada dalam bulan-bulan islam yang lain.
Marilah sama-sama kita memeriahkan bulan ibadah ini, bagi yang merindukan pesta ibadah selepas tamatnya pesta ibadah pada ramadhan yang lalu.bagi yang berkemampuan bolehlah melaksanakan ibadah korban yang mulia.
jangan lupa untuk mendoakan ayah ibu atau saudara mara yang bakal melaksanakan rukun islam kelima mereka pada tahun ini.moga-moga ibadah kita semua diterima Allah.kullu sanah waantum tayyibiin

Disediakan Oleh: Unit Pembangunan Insan, PCM 2010/11.

Tags: , , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment