[LAPORAN] Hari Bersama Mahasiswa/Wi Mansurah (MESRA’11)





ISNIN, 26 DISEMBER- Satu rombongan khas delegasi Kedutaan dan Education Malaysia telah mengadakan lawatan sehari ke bumi Mansurah untuk meninjau keadaan mahasiswa/wi Mansurah. Rombongan ini terdiri daripada  TYT Dato’ Dr. Mohd Fakhruddin Abdul Mukti, Duta Malaysia ke Mesir, dan ASP Ishak Mohd Jani yang juga merupakan kaunselor Kedutaan Besar Malaysia Kaherah(KBMK) serta beberapa orang wakil daripada Education Malaysia.

Objektif utama Hari Bersama Mahasiswa/wi Mansurah, atau lebih dikenali dengan nama MESRA’11, adalah untuk merapatkan hubungan di antara pegawai kerajaan Malaysia ke Mesir dengan mahasiswa-mahasiswi di Mansurah, juga untuk meninjau masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka.

Bersempena lawatan ini, ahli delegasi mengambil peluang untuk mengadakan kunjungan hormat ke pejabat presiden atau disebut sebagai idarah ammah , Prof Dr Ahmed Maher Baiomy Shehab El Din. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan semua koordinator pelajar asing di universiti Mansurah, sama ada dari pihak fakulti perubatan, pergigian, mahupun farmasi.

PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM), yang diwakili oleh pengerusinya saudara Mohammad Iskandar bin Sa’uadi mengutarakan permasalahan yang dihadapi oleh mahasiawa/wi Universiti Mansurah, fakulti Pergigian dan Farmasi khususnya. Perbincangan ini antara lain juga berkisar tentang masalah lain yang melibatkan pelajar terutamanya pengurusan pelajar, dengan harapan agar pihak universiti dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan pembelajaran. Seterusnya, wakil-wakil Persatuan PERUBATAN Cawangan Mansurah menjamu selera bersama delegasi-delegasi Kaherah.

Lawatan diteruskan dengan melawat kawasan Fakulti Pergigian dan Farmasi untuk meninjau keadaan pelajaran dan pembelajaran mereka.

Kemuncak kepada inti pati lawatan ini diteruskan dengan sesi bertemu mata dengan para mahasiswa/wi Mansurah sama ada daripada kuliah sains kesihatan mahupun kuliah pengajian Islam. Pertemuan ini telah diadakan di dewan Abou Nagah Universiti Mansurah. Sementara majlis dewan berlangsung, terdapat beberapa buah kaunter perkhidmatan telah dibuka untuk memberi peluang kepada mahasiswa/wi untuk berurusan dengan pihak kedutaan dan Education Malaysia, serta beberapa wakil dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang terlibat.

Acara dewan pula dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis yang juga diselangi dengan serangkap dua pantun. Majlis juga telah menjemput ustaz Nuzul Hakimi untuk memimpin bacaan doa bagi memberkati lagi majlis.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi slot ucapan bersama ASP Ishak Mohd Jani, Kaunselor Kedutaan Besar Kaherah yang membentangkan beberapa isu keselamatan dalam negeri. Majlis kemudiannya berehat untuk memberi laluan untuk para peserta menunaikan solat Maghrib.

Usai solat, agenda program diteruskan dengan ucapan TYT Dato’ Dr. Mohd Fakhruddin Abdul Mukti. Antara kalam ucapan beliau adalah berkisar tentang isu keselamatan di Mesir, juga berhubung tanggungjawab mahasiswa/wi sebagai penuntut ilmu. beliau juga berharap agar para mahasiswa/wi dapat mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran.

Kemudian, sesi soal jawab antara mahasiswa/wi dengan pihak kedutaan telah berlangsung selama hampir satu jam setengah untuk memberi peluang kepada mahasiswa/wi untuk menyuarakan segala masalah dan pendapat. Antara isu yang diutarakan adalah berkisar tentang isu politik di Malaysia, juga isu gejala sosial dan juga masalah sijil yang dihadapi oleh mahasiswa/wi pengajian Islam.

Hari Bersama Mahasiswa/wi Mansurah (MESRA’11) diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada para VIP yang disampaikan oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah dan diiringi oleh Pengarah MESRA’11. Seterusnya para tetamu jemputan dan para hadirin dihidangkan dengan makan malam.

Semoga program MESRA ini berterusan lagi pada masa hadapan demi untuk merapatkan lagi hubungan antara pihak kedutaan dan Education Malaysia dengan mahasiswa/wi di Mansurah di samping menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka.


Disediakan oleh,
Nurussofaa binti Abdul Majid,
Setiausaha MESRA’11.

Tags: , , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment