Gambar hiasan |
Tulisan ini bukan bertujuan membawa kepada kehampaan Tuhan, atau menafi segala teknikalnya syarat-syarat, kaedah-kaedah atau tatacara manual untuk sampai kepada Tuhan, yang telah diwarisi semenjak dahulu.
Kerana, mungkin bagi kita, persoalan tentang ketuhanan, ibarat wilayah yang terlalu sakral untuk dicerobohi lalu kita gelapkan dalam kehidupan untuk dipersoalkan. Menjadi taboo dan menyerahkannya sebulat-bulat kepada para yang arif untuk menentukan untuk diri ini. Padahal ia adalah suatu yang amat sentral, yang sepatutnya dijawab oleh setiap jiwa yang hidup.
Pernah atau tidak, sebelum mengimani sesuatu kepercayaan, kita mengutarakan segala persoalan yang lahir benar-benar dari hati nurani kita untuk mengetahui, hingga segalanya mencerah secerah mentari tanpa awan pada kala ia terbit. Kita sebagai seorang yang lahir Muslim, bagi saya, mempunyai kekurangan fatal berbanding mualaf, Muslim lainnya yang menganuti Islam setelah Islam - sebagai suatu agama - menjawab persoalan-persoalan tentang kewujudan dirinya.
Mereka – mualaf, memperakui kebenaran Islam sejujur hatinya setelah membanding segala kefahaman tentang kehidupan. Dan menukar agama sudah tentu keputusan yang paling sukar dalam kehidupan dan memerlukan perbandingan-perbandingan yang adil kepada semua ajaran.
Kekurangan fatal ini – bagi saya, yang membunuh senyap agama kita dari hidup menyebar nilai-nilai universalnya. Kerana Muslim itu umpama cermin bidal tamsil cahaya Tuhan yang terpencar-pencar dari sumber normatif yakni wahyu. Jika kelabu berdebu cerminnya maka cahayanya juga tiada mampu memantul sejernihnya.
Sebelum menusuk ruang kepercayaan yang berbalut dengan faham-faham yang tanpa makna, yang diikat dengan jargon-jargon bahasa arab. Kita, pada saya, sedang membodohkan diri sendiri, dengan kepercayaan. Jadi, apa itu kepercayaan, atau keimanan?
Kata Soren Kierkegaard;
“Iman itu tidak punya dasar. Beriman itu seperti masuk ke dalam lubang gelap. Tidak tahu apa yang ada di sana. Entah kebahagiaan atau malah malapetaka.“
Mungkin yang ingin disampaikan Kierkegaard bahawa keimanan buta tanpa tubuh falsafi yang utuh kukuh itu membodohkan, menyesatkan dan mengalpakan.
Atau juga, Tuhan itu sekadar projeksi emosi manusia-manusia yang tertindas, bak kata Karl Marx tentang agama,
“Agama adalah sekaligus ungkapan penderitaan yang sungguh-sungguh dan protes terhadap penderitaan yang sungguh-sungguh. Agama adalah keluhan makhluk yang tertekan, perasaan dunia tanpa hati, sebagaimana ia adalah roh zaman yang tanpa roh. Ia adalah candu rakyat.”
Mungkin juga, tanpa mengakui peranan wahyu, tafsiran-tafsiran serupa begini juga akan muncul pada jiwa-jiwa Muslim. Lalu mengangan-angankan kenikmatan syurga kerana ditindas didunia!
Ada juga yang mengatakan bahawa kerosakan hidup ini yang mendorong kita sembahyang!
Perkataan-perkataan ini bukan hanya keluar pada mulut-mulut non-Muslim bahkan juga Muslim jika tidak diberi faham konsep yang benar kukuh. Ini yang melanda ummat kita sekarang!
Menjadi Kritis.
Siapa aku? Kenapa aku wujud? Apa itu Tuhan? Apa itu keimanan? Apa itu agama? Kenapa perlunya Tuhan? Apakah aku bebas berbuat? Apakah aku boleh menentukan taqdir sendiri? Kenapa perlu agama? Apakah yang menentukan betul dan salah? Dan lain-lain.
Soalan-soalan ini seharusnya dijawab dengan konsep-konsep yang jelas kukuh. Bukan sekedarnya. Bukan yang ditanya spontan termangu menjawabnya, kerana perkara tauhidik bukanlah yang dibenarkan taqlid seperti fiqh. Agama sepatutnya menjadi bahan kritis kita untuk menjawab soalan-soalan kehidupan!
Dan seharusnya, persoalan-persoalan ini lahir sendiri dari nurani hati yang terdalam untuk mengenal diri dan Tuhan.
“Man arafa nafsah arafa rabbah”
Proses mengenal diri adalah suatu perjalanan panjang yang berlanjutan, tentulah memerlukan guru spiritual untuk mengemudi perjalanan ini. Dan setiap suatu kefahaman yang cuba untuk diimani perlulah melalui proses kritikal bagi mengenal benar atau salah konsep itu.
Tetapi apa yang berlaku masani, dalam kalangan golongan aktif berdakwah – sekitar saya, soalan-soalan asasi ini seolah tiada penting dan tiada penekanan khususi untuk diperteguh, yang diutamakan adalah praktisnya, fiqh. Perlu tahu bahawa, suatu “idea” atau kefahaman seharusnya didatangkan dengan tubuh falsafi yang utuh supaya memperkukuh lagi keberlangsungan perlaksanaannya/ibadahnya. Jika tidak, ibadah hanya sekadar tonggang terbalik jasad yang mati tiada makna, hilang nilai keberTuhanannya.
Itulah yang telah diusahakan oleh leluhur Muslim pendahulu kita seperti Al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Farabi dan lain-lain. Kerana mereka tahu, agama ini hanya akan hidup tersebar dan menyebar jika persoalan-persoalan falsafi asasi ini dapat dijawab dengan konsep yang jelas. Begitu juga yang berlaku dalam agama-agama lain, terdapatnya tokoh-tokoh seperti St. Augustine, Thomas Aquinas dan Rene Descartes.
Pasti, dalam kalangan kita ada yang telah khatami kitab-kitab turath seperti Sifat 20, Risalah Tauhid, Kifayatul-awwam dan juga yang kontemporari seperti Kubra Al-Yaqiniyyat Alkauniyah. Tetapi apakah yang dipelajari itu sekadar seolah-olah jargon-jargon arab yang tanpa makna sehingga tiada mampu untuk menguatkan iman, memberi faham, dan berupaya menangkis serangan-serangan luar.
Jika, ada Muslim, yang berkata tak terkesan atau terasa dengan serangan-serangan luar, yang merusak fikiran justru akidah, maka mungkin, mereka adalah yang tiada ambil kesah pada agamanya. Cukuplah pada solat yang lima, puasa dan zakat.
Menjadi Matang?
Memenuhi usul Timbalan Pengerusi 2 kita, saudari Fariha dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) menjadi mahasiswa matang adalah yang benar-benar tahu apa yang difahaminya, dianutinya diperjuangkannya dan mengetahui juga musuh-musuhnya dengan sebenar. Khususnya pada agama, bangsa dan negara.
Tulisan ini bukan sengaja ditulis untuk meruntuhkan tembok faham Agam yang dah tersemai dalam jiwa kalian. Tetapi hanya untuk kalian cuba menilai kembali rapuh kukuhnya benteng sentral kehidupan itu, akidah. Kerana, serangan pemikiran sudah masuk gelombang yang kedua pada zaman kita. Kerana, dengan inilah kehidupan beragama kita lebih bermakna dan berkualiti.
Ahmad Baihaqi Saharun, Tahun 4 Perubatan
elbaihaqi@yahoo.com
Glosari
- Normatif: yang menentukan atau berasaskan peraturan yang baku atau standard.
- “Cermin Bidal Tamsil”: Perumpamaan yang digunaan Syed M. Naquib Alattas, mengibaratkan muslim adalah cermin yang menangkap sinar cahaya Islam yang terang benderang, yang memantulkan dengan melakonkan (tamsil) dalam bentuk yang nyata.
- Turath: Kitab-kitab khazanah tradisi keilmuan Islam silam.
- Jargon: (i)Istilah yang tiada mampu difahami umum; (ii)Bahasa khusus yang digunakan dalam bidang tertentu.
- Sakral: Bersifat suci
- Taboo: Terlarang
- Fatal: Membunuh
- Falsafi: Bersifat falsafah ; yang menjawab persoalan
- Candu: Dadah yang mengkhayalkan.
- Tauhidik: Bersifat tauhid, keTuhanan, aqidah
- Taqlid: Yang menirubuta
- “Man arafa nafsah arafa rabbah”: Siapa yang mengenal dirinya maka kenallah Tuhannya.
- Leluhur: Nenek moyang, pendahulu kita, yang mulia.
- Bidal: Umpama, ibarat, bagai
- Tamsil: Yang menggambarkan, melakonkan sesuatu faham, ajaran.
0 Comment