Laporan Penuh 2012 Awesome Winterfest (AWESOME)


 
2012 Awesome Winterfest (AWESOME)
26 Januari - 10 Februari 2012


PROGRAM AWESOME BULAN JANUARI
26 Januari 2012 

Jabatan Setiausaha PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) julung-julung kalinya telah menganjurkan Kursus Asas Setiausaha 2012 yang bertempat di Qaah Ibnu Sina (QIS). Kursus ini sebagai pembuka tirai bagi aktiviti-aktiviti 2012 Awesome WinterFest (AWESOME) dan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada semua AJKT dan setiausaha unit mengenai format rasmi minit mesyuarat, kertas kerja dan surat menyurat. Kehadiran peserta mencecah 60 orang dan program berlangsung selama hampir 4 jam. Rata-rata para peserta melahirkan rasa puas hati dan berharap kursus ini dapat diadakan lagi untuk masa akan datang.


27 Januari 2012  
Program Diskusi Kitab sempena Revolusi 25 Januari oleh Ustaz Mohd Shafiq bin Sahimi mendapat sambutan dengan kehadiran hampir 100 ahli di QIS dan berlangsung selama 2jam. Peserta ditayangkan video ‘25th January Egyptian Revolution’ sebagai pembukaan dan seterusnya slot pengisian serta soal jawab terbuka buat peserta.






27 Januari 2012 – 9 Februari 2012 
Donate to the Poors adalah satu program di bawah Unit Kebajikan PCM dengan kerjasama badan kebajikan El-Resala (NGO). Tarikh 27 Januari bermulanya proses pengumpulan semua barang dan dana derma yang disumbangkan oleh ahli dan pengumpulan tersebut berakhir pada 7 Februari. Pada 7hb itu juga terdapat aktiviti amal yang melibatkan 23 sukarelawan berpusat di El-Resala Centre. Pada 9hb pula, ahli jawatankuasa program membawa kesemua sumbangan yang dikumpulkan di Darul Rahmah ke pusat El-Resala untuk dibahagikan kepada yang kurang berkemampuan.


28, 29 Januari 2012 
"Love Islam For Eternity" (LIFE) anjuran Unit Pembangunan Insan (UPI) PCM membuat rombongan ke pantai Balteem dengan penyertaan seramai 60 ahli, termasuk pelajar tahun 1 dan 2. Pada hari pertama, tentatif program termasuk slot tokoh, pembentangan kertas kerja ‘Aku Bukan Sekadar Doktor’ oleh Ustaz Nazrul serta debat dan pembentangan kertas kerja mengenai ikhtilat pada malamnya. Setelah berakhirnya program, siswa bergerak ke Dumyat dan bermalam di sana. Pada hari kedua, pembentangan kertas kerja mengenai Jahiliyah Zaman Moden dan aktiviti gerak kerja berkumpulan di tepi pantai dianjurkan buat para peserta. Seterusnya, para peserta bersiap ke Dumyat untuk slot resolusi dan mengutip kerang.

30 Januari 2012 
Program ‘Bicara Cinta’ merupakan program pertama dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan & Sahsiah Islam (JAKSI) PCM sesi 2011/12 buat ahli yang hadir untuk mendengar ceramah oleh Sheikh Rohimuddin. Bertempat di QIS, ceramah beliau telah menyedarkan para hadirin tentang erti cinta yang sebenar dan kewajipan seorang insan rabbani memiliki dua kriteria penting iaitu tauhid dan ittiba’ (menjadikan Al-Quran itu sebagai panduan hidup dan Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan pengikut tabi’in sebagai teladan ikutan). Seterusnya ,sesi soal jawab oleh para peserta menjadi slot terakhir program tersebut. 


31 Januari 2012 
Unit Ekonomi PCM telah menyediakan kursus khas buat mahasiswi Sains Kesihatan di Mansurah iaitu “Kursus Keusahawanan” yang terhad kepada 15 peserta terawal mendaftar. Ucapan pembukaan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha PCM yang juga merangkap pemangku Timbalan Pengerusi 2, saudari Nurul Afifah Alias. Tenaga pengajar program telah memulakan kursus dengan teknik pembikinan roti canai dan karipap. Pada sesi praktikal, para peserta tampak bersemangat menguli tepung dan membuat doh untuk setiap masakan di bawah pemerhatian tenaga pengajar. Kursus kemudian berakhir dengan pemberian cenderahati kepada tenaga pengajar dan setiap peserta membawa pulang sebahagian daripada kuih yang dibuat sendiri sebagai saguhati. Hasil pembuatan kuih-muih yang selebihnya akan dijual kembali pada ahli.



PROGRAM AWESOME BULAN FEBRUARI
1 Februari 2012 
Rombongan ke Pesta Buku Kali ke-43 di Kaherah dianjurkan oleh Unit Perumahan PCM disertai seramai 73 ahli. 








1 Februari 2012 – 3 Februari 2012 
‘‘Le Tour De Sinai ’12’’ anjuran Unit Sukan dan Aktiviti Luar (UNISAL) PCM tahun ini berlangsung dengan lancar bagi pihak mahasiswa. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam dan tempat yang menjadi tarikan peserta pada hari pertama termasuk Kubu Peninggalan Israel, Uyun Musa, St. Catherine, dan Mata Air 12. Pada malamnya, setelah berehat di Moonland Camp, para peserta mula mendaki bukit Sinai pada jam 2.30pagi. Kemudian, mereka sempat melawat Perkampungan Nabi Illias, Patung Lembu Samiri dan Makam Nabi Harun, dan seterusnya aktiviti bebas di Dahab. Keesokannya, aktiviti yang menjadi pilihan peserta termasuk snorkeling, menaiki ATV (all-terrain-vehicle), dan Glass Boat. Kubu Salahuddin Al-Ayyubi menjadi destinasi terakhir para peserta. Sebaliknya berlaku kepada rombongan untuk mahasiswi, apabila perjalanan mereka terpaksa dibatalkan selepas mendapat panggilan daripada pihak polis yang melarang untuk meneruskan rombongan atas faktor keselamatan & keadaan huru-hara yang berlaku di kawasan tersebut. 

2, 3 Februari 2012 
Winter Indoor Games ’12 (WINGS) siswi anjuran Unit Kebajikan PCM terbahagi kepada Running Mansoura dan Indoor Games. Pada hari pertama, Running Mansoura disertai seramai 35 ahli dan permainan yang disertakan adalah seperti Picture speed, Draw and Guess, Running Ball Mission, Barista, Coffee Time, dan Hide and Seek. Respon yang diberikan peserta untuk aktiviti yang julungkali diadakan ini adalah menggalakkan, walaupun jarak antara setiap check point yang ditetapkan agak jauh. Keesokannya, Indoor Games yang disediakan buat para peserta adalah Ambush Makeover, Roda Impian dan The Poison Papers. Penyertaan seramai 23 orang dan majlis diakhiri dengan tayangan video dan gambar kenangan.

4 Februari 2012 
Bertempat di QIS, UPI PCM kali ini telah mengadakan program Maulidur Rasul bertemakan ‘’Because of Him’’ buat para peserta sempena mengingati Sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Tayangan video, persembahan nasyid dan puisi, sesi kuiz dan forum menjadi pengisian untuk para peserta menghayati semula pengorbanan dan jasa Rasulullah s.a.w. Majlis diakhiri dengan tayangan video ‘Donate to the Poors’ sebagai salah satu langkah Unit Kebajikan menyuntik sifat keprihatinan dan tanggungjawab kepada para peserta.



6, 7 Februari 2012 
WINGS siswa anjuran Unit Kebajikan PCM juga terbahagi kepada dua aktiviti seperti WINGS siswi, tetapi permainan yang dianjurkan buat para peserta adalah berbeza. Running Mansoura berlangsung di sekitar kawasan universiti dan antara permainan yang menjadi tarikan pada hari tersebut ialah Chicken Fight (Semifinal) dan permainan Hide and Seek sebagai penentu pemenang Running Mansoura. Bagi Indoor Games pula, permainan Basket Shooting, Galah Panjang, dan Bola Beracun berlangsung di Stadium Universiti. Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh pengerusi PCM, Mohammad Iskandar bin Sa’uadi, dan diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

8 Februari 2012 
Pada malam hari tersebut, Unit Akademik PCM telah menjemput dua orang doktor pakar dari Malaysia sebagai panel jemputan bagi program ‘’Enlightenment with the Pros’’ yang berlangsung di QIS. Bermula dengan slot ‘’Hospital Mesra Ibadah’’, Doktor Suhaini bersama isterinya, Doktor Fazlina Hanum telah mendedahkan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh pengamal perubatan disamping membekalkan ilmu dan kefahaman yang mantap tentang isu fiqh perubatan. Slot seterusnya berkisar pengalaman dan cabaran yang ditempuhi pasangan doktor tersebut. Sesi soal jawab menjadi slot terakhir dan program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pasangan doktor dan moderator program. Acara lain yang penting pada malam itu juga adalah ucapan oleh pengerusi PCM, Mohammad Iskandar bin Sa’uadi, sekaligus melancarkan Mansoura Medical Academy (MMA) dan penutup 2012 Awesome Winterfest (AWESOME).

10 Februari 2012
Aktiviti AWESOME yang terakhir, merupakan program anjuran UPI – ‘’Road to Balteem’’ merupakan Jaulah Mentor yang bertemakan ‘Dynamic Daie in Action’ disertai seramai 97 ahli, termasuk siswa dan siswi. Setibanya rombongan di masjid, para peserta dibentangkan pengisian bertajuk ‘Revival of Caliphs’ oleh Ustaz Tuan Syed Ridhwan. Seterusnya, modul ‘Voice of Victory’ ada menyertakan beberapa jenis permainan kepada para peserta termasuklah bola beracun, bola tampar dan ‘roleplay’. Makanan BBQ turut disajikan buat para peserta dan pada 8 malam, rombongan bertolak balik ke Mansurah.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua AJK pelaksana dan semua ahli yang terlibat menjayakan program AWESOME. Semoga winter break yang lalu bermanfaat buat kita untuk menempuh hari-hari yang mendatang, Insha-Allah. Selamat maju jaya!

Laporan oleh,
Hajar Nazihah binti Md Noor
Unit Penerbitan & Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/12

Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment