Ilmuan Islam: Ibnu Al-Nafis Bapa Fisiologi Abad ke-13

Ketika menjalani latihan klinikal di Bahagian Kardiologi dan Respiratori pada semester yang lalu, penulis terbaca mengenai seorang tokoh akademik barat iaitu Sir William Harvey dari Kent yang hidup di abad ke-16 diproklamirkan sebagai pencetus kepada teori peredaran darah di dalam paru-paru (pulmonary circulation). Alangkah dangkalnya ilmu penulis ketika itu kerana mempercayai 100 peratus bahawa teori pulmonary circulation dicetuskan oleh tokoh barat sedangkan rupa-rupanya teori ini dipelopori oleh Ilmuan Islam bernama Ibnu Al-Nafis sejak abad ke-13 lagi!


Persoalannya kini, siapa dia Ibnu Al-Nafis?  
Dunia perubatan moden telah mengiktirafnya sebagai pakar fisiologi yang terhebat dalam era kegemilangan Islam di abad ke-13 Masihi. Beliau juga merupakan ahli perubatan yang pertama di muka bumi ini yang dapat merumuskan mengenai asas saluran peredaran darah melalui penemuannya terhadap saluran darah di dalam paru-paru, saluran jantung dan juga kapilari. Hal ini merupakan satu pencapaian yang berprestij dan luar biasa yang terukir daripada seorang doktor Islam yang bernama Ibnu Al-Nafis.

Setiap kejayaan yang diperoleh itu pasti ada permulaan. Lalu bagaimana pula dengan kisah hidup doktor yang terkenal ini? Apabila penulis menelusuri kisah hidupnya, Ibnu Al-Nafis atau nama penuhnya Alauddin Abu Al-Hassan Ali bin Abi Al-Hazm Al-Qurashi Al-Dimashqi Al-Misri merupakan salah seorang ilmuwan Islam yang cemerlang dan kreatif yang lahir daripada keimanan dan komitmennya dalam hidup beragama.
Ibnu Al-Nafis telah dilahirkan di Damsyik pada 611 hijrah/1213 Masihi pada zaman penguasaan Sultan Saifuddin Al-Ayyubi dan berkhidmat di Kaherah, Mesir. Beliau telah mendalami ilmu perubatan di Hospital Noor yang dibina oleh Sultan Nuruddin Muhammad bin Zinki di Damsyik. Di situ beliau mempelajari ilmu perubatan secara teori dan praktikal.

Ketika berusia 23 tahun, Al-Nafis telah memutuskan untuk berhijrah ke Kaherah, Mesir. Beliau memulakan kariernya sebagai seorang pakar di Hospital Al-Nassri dan di Hospital Al-Mansouri. Setelah enam tahun mengabdikan diri di dua hospital tersebut, pada 1242 M, Al-Nafis telah menerbitkan karyanya yang berjudul The Commentary on Anatomy in Avicenna’s Canon. Di dalam kitab itulah, beliau berjaya mengungkapkan penemuannya dalam anatomi manusia. Penemuannya yang paling penting adalah mengenai peredaran darah di dalam paru-paru dan jantung.
Menginjak usianya pada 31 tahun, Al-Nafis kembali menyiapkan karyanya yang lain berjudul The Comprehensive Book on Medicine. Kitab itu sudah diterbitkan dalam 43 buah jilid pada tahun 1243M-1244M. Selama lebih satu dasawarsa berikutnya, Al-nafis berjaya menyiapkan karyanya di dalam bidang perubatan hampir 300 buah jilid. Walaubagaimanapun, beliau hanya menerbitkan karyanya itu dalam 80 buah jilid.

Sejarah telah mencatatkan bahawa The Comprehensive Book on Medicine merupakan ensiklopedia perubatan terbesar di zamannya. Pencapaian luar biasa yang diciptakan Al-Nafis ketika itu dihasilkan dalam situasi politik yang tidak menentu. Hal ini disebabkan dunia Islam ketika itu berada dalam pergolakan di mana berlakunya siri-siri peperangan Salib yang diteruskan oleh tentera Salib selepas Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membebaskan Baitulmaqdis pada 1187 Masihi. Selain itu, pada 1258 masihi, telah berlaku satu peristiwa besar dalam sejarah tamadun Islam iaitu kejatuhan Baghdad oleh tentera Mongul.
Seperti yang diketahui, tragedi ini telah mengakibatkan kemusnahan yang besar terhadap khazanah ilmiah tamadun Islam kerana banyak kitab penting yang hilang dan dimusnahkan oleh tentera Mongol. Ibnu Al-Nafis dan ramai cendekiawan Muslim lain yang berada di Syria dan Kaherah telah berusaha untuk mengekalkan legasi khazanah ilmiah Islam dengan menulis banyak kitab dan ensiklopedia.

Ibnu Al-Nafis terkenal dengan peribadinya yang mulia dan bermaruah, ketokohan yang tinggi dan takutkan Allah dalam segala amal perbuatannya. Apabila beliau hidup dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, maka dibukakan baginya pintu-pintu ilmu pengetahuan yang cukup luas. Beliu tidak pernah berkahwin kerana terlampau sibuk dalam menuntut ilmu, mengajar dan menjalankan penyelidikan, ditambah pula dengan zaman pergolakan yang dihadapinya menyebabkan dia sibuk dengan usaha menyelamatkan umat islam dan khazanahnya.

Ibnu Al-Nafis wafat pada 17 Disember 1288 atau 11 Zulkaedah 687H. Menceritakan diwaktu saat-saat terakhir hidupnya, Ibnu Al-Nafis telah diserang oleh satu penyakit. Sahabat-sahabat yang terdiri dari kalangan doctor pakar perubatan telah berbincang dan membuat kesimpulan bahawa beliau harus menggunakan arak (alkohol) untuk mengubati penyakitnya itu. Namun, Ibnu Al-Nafis menolak saranan itu sambil berkata, “Aku tak ingin bertemu Allah Taala sedangkan pada tubuhku ada secebis daripada arak”.  

Lantaran itu, beliau kembali ke rahmatullah setelah enam hari menderita penyakit itu. Di akhir hayatnya, Al-Nafis telah menyumbangkan rumah, perpustakaan dan klinik yang dimilikinya kepada Hospital Masuriyah agar digunakan bagi kepentingan masyarakat.

Disediakan oleh,
Mohd Azrizan bin Bakir
Jurnalis,
Unit Penerbitan dan Penerangan (UPP)
PERUBATAN Cawangan Mansurah

Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment