Kalam Semangat Pengerusi PCM Bersempena PERUBATAN Sport's Day (PSD): Semboyan Telah Berbunyi


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t kita masih lagi diletakkan dalam kurniaan nikmat yang tidak terhingga banyaknya termasuklah nikmat kesihatan dengan tubuh badan yang cergas. Selawat dan salam keatas nabi junjungan kita kerana berkat perjuangan baginda yang gigih menjadikan kita masih lagi seorang muslim yang utuh akidahnya insya-Allah.

Tanggal 30hb Mac 2012, Jumaat bakal menanda satu lagi warna pada kanvas PERUBATAN dengan penganjuran PERUBATAN Sport’s Day (PSD) Ikhwah yang menyaksikan Iskandariah sebagai tuan rumah. Sudah pasti PSD pada tahun ini akan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Namun persoalannya, siapakah yang bakal mencorakkannya?

PSD Ikhwah yang terakhir telah dibuat sekitar 2 tahun yang lalu bertempat di Mansurah, di mana ketika itu pelbagai acara dan pertandingan telah diadakan. Persaingan yang sangat sengit dan hebat di antara setiap peserta dari semua cawangan benar-benar menyemarakkan jiwa kesukanan yang ada dalam diri ahli PERUBATAN.

Peserta kontinjen PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) sewaktu itu telah menunjukkan semangat daya saing yang tinggi dan sangat bersungguh untuk mengharumkan nama PCM di persada PERUBATAN seluruh Mesir. Perkara ini bukan hanya menggembirakan hati warga Mansurah, bahkan jua  berjaya mengangkat nama Mansurah ke persada yang lebih tinggi dalam kalangan Mahasiswa Sains Kesihatan di Mesir.

Warga Mansurah yang dikasihi sekalian,
Selaku Pengerusi PCM sesi 2011/2012, saya berbesar hati kerana pada tahun ini penyertaan yang diberikan oleh semua peserta ikhwah dalam setiap acara masih lagi dalam keadaan yang sangat memberangsangkan. Justeru, semangat yang berkobar-kobar ini perlu kekal sehingga semua acara selamat dipertandingkan di Iskandariah kelak.

Perlu diingatkan bahawa adat pertandingan pasti ada kalah dan menang. Namun begitu, kemenangan atau kekalahan yang dimiliki perlulah dari hasil usaha yang gigih dan juga permainan yang kekal bersih dari awal hingga akhir. Ini kerana di antara objektif penganjuran PSD ini adalah ingin memupuk semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan ahli dan juga untuk melahirkan ahli PERUBATAN yang bersemangat waja. Jadikan matlamat asal penganjuran PSD ini tercapai, bukan hanya statik pada kayu ukur menang atau kalah sahaja. Selain itu, objektif ukhuwah dan kesatuan tidak kurang pentingnya untuk dihayati dan diaplikasikan oleh seluruh ahli PERUBATAN.

Jika diteliti kembali 5 agenda yang telah dibentangkan oleh Presiden PERUBATAN, saudara Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidy sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan ke-8 PERUBATAN yang lalu, agenda kebajikan, profesionalisme dan kesatuan mampu diterapkan dengan baik sekiranya semua ahli cakna dan sedar kepentingannya dalam pelaksanaan PSD pada kali ini. Maka, jadilah ahli PERUBATAN yang mampu memberi sumbangan pada ahli PERUBATAN yang lain.

Sokongan moral yang padu mesti ditunjukkan oleh semua warga Mansurah terhadap peserta yang bakal bertanding. Jadi, selaku ahli yang cakna, walaupun anda tidak menyertai sebarang acara, marilah kita beramai-ramai memeriahkan PSD pada kali ini dengan cara turun ke Iskandariah untuk menzahirkan sokongan padu kepada kontinjen Mansurah dengan memakai pakaian bertemakan BIRU, selain mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa sains kesihatan seMesir.

SEMBOYAN TELAH BERBUNYI
Maka saya berbesar hati meletakkan harapan yang tinggi pada kalian yang bakal mengharumkan nama PCM sekali lagi pada PSD tahun ini. Berusahalah bersungguh-sungguh dalam mengenggam kemenangan kemudian doa dan tawakal mestilah disertakan dalam setiap tindak-tanduk kita kerana itulah yang menjadi bukti kehambaan kita kepada Allah dalam setiap perkara agar kita mampu berlapang dada terhadap apa jua natijah yang bakal terhasil kelak.

Selamat Bertanding, Selamat Berjaya dan Selamat Berukhuwah.
“TOGETHER WE’LL GLORIFY THIS MOMENT”













Yang benar,
Mohammad Iskandar Bin Sa’uadi
Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/2012

Tags: , , , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment