[JAKSI] - Istidraj, kita golongan yang mana?

Ilmu itu adalah Nur yakni cahaya, dan seperti yang kita azali tahu cahaya tidak akan dapat menembusi benda-benda yang legap. Begitu juga jika kita analogikan dengan hati-hati yg gelap, mana mungkin cahaya bisa menembusinya.


Golongan Pertama

Celikkan mata dengan persekitaran kita di sini. Ada yang 'bercouple', tidak menjaga batas aurat, lompong solatnya tetapi boleh pula berjaya. Sedangkan ada yang masih terkial-kial walaupun sudah berusaha. Fitrah hidup mengajar kita bahawa sesiapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya.

Tetapi hakikatnya tidak selalu begitu. Mereka yang sering mengabaikan tuntutan sebagai hamba seolah-olah bahagia dengan jalan hidupnya sedangkan sebahagian yang lain hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar?

Adakah apa yang kita imani selama ini tidak benar?

Justeru mari kita mengupas satu topik baru.

Adakah anda tahu apa itu ISTIDRAJ?

Istidraj adalah apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya. Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.

Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat! Lihat apa kata Qarun. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.

Istidraj itu luar biasa.

Luar biasa itu bukan untuk mengangkat penerimanya.

Ia adalah satu keluarbiasaan yang membinasakan golongan yang menjamahnya.

Di saat kita melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian ditakdirkan berjaya pula di dalam peperiksaan dan kehidupan.. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kita? Allah sayang aku..sebab tu aku sentiasa murah rezeki. Begitukah? Padahal tanpa kita sedar diri kita sentiasa di bawah murka dan laknat Allah..itulah ISTIDRAJ.


Golongan Kedua

Bagaimana pula tentang SINDROM ALLAH HANYA ADA BILA IMTIHAN??? Apabila musim imtihan tiba, semua jadi baik macam malaikat. Dating? Bergayut dengan pasangan? Butang 'PAUSE' ditekan. Apabila ditanya, jawabnya, ' Kan exam ni,nanti Allah tak bagi lulus…' Masing-masing bukan tidak maklum dan tahu sahaja bahawa redha Allah itu penting untuk mendapat kejayaan..

Mari kita koreksi. Perlunya pada redha Allah itu hanya untuk peperiksaan sahajakah??.. Fatrah imtihan ini seolah-olah menjadi asbab untuk kita berteleku di tikar sembahyang. Tetapi habis sahaja peperiksaan, sejadah hilang terbang entah ke mana..Ke mana?? Kita masing-masing tahu jawapannya..


Golongan Ketiga

Pernahkah kita mendengar dialog-dialog sebegini??

"Ish.. Rendahnya markah aku ni. Pensyarah ni memng kedekut bagi markah. Soalan pun susah." Seorang pelajar merungut sebaik sahaja melihat kertas peperiksaan yang tercatat markah yang rendah. Lantas, jari menuding ke sana ke mari. Menyalahkan orang itu dan ini, sehingga lahir pula rasa sakit hati dan tidak bersyukur.

Sahabat, marilah jadi insan begini. Jika markah itu rendah, mari tudingkan jari pada diri sendiri. Kita yang tak belajar, kita yang tidak menyerahkan sepenuh penghargaan kepada Allah.

"Ish Linda! Saya dah belajar betul-betul. Struggle habis, tak tidur malam dah niiii!"

Baik., baik, Kamu dah belajar sungguh-sungguh. Tapi, cukup tak doa kamu kepada Allah? Solat fardhu terjagakah di awal waktu? Solat sunat Dhuha dan sunat-sunat lain, sudahkah dibuat dengan keikhlasan hati?

Ingatlah duhai sahabat...

"Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka kemanapun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui." - [Al-Baqarah : 115]

Kita tidak pernah akan lepas daripada dugaan dan ujian, maka setelah berusaha, serahkan segalanya pada Allah, hakikatnya Dia yang memberi keputusan, baik atau tidak.

Hanya pada Dia seharusnya manusia berserah diri, bukan kepada pensyarah, bukan kepada sahabat. Hanya Dia. Allah.

"Allah..." Tangan saya menggeletar sewaktu ingin memeriksa keputusan peperiksaan semester lepas.

Menggeletar kerana saya seolah-olah pasti bahawa keputusan saya tidak akan sebagus mana.

"Bismillah..." Sebelah mata ditutup, tidak sanggup melihat keputusan yang bakal terpampang di hadapan mata.

Dalam beberapa saat sahaja, laman web portal pelajar mempamerkan keputusan.

Entah kenapa, mata saya terus mencari gred keputusan.

"Alhamdulillah..." Air mata saya bergenang. Tangan saya masih menggeletar, menggeletar bukan lagi kerana takut tetapi kerana keputusan yang terpampang lebih daripada apa yang saya bayangkan.

Maka sahabat.. Adakah keputusan yang saya terima itu adalah hasil usaha saya sendiri?

Tidak…

Mana mungkin saya mampu belajar jika Allah tidak mengizinkannya.

Mana mungkin saya mampu menghafal jika Allah tidak membenarkannya.

Mana mungkin saya bisa menyiapkan segala tugasan jika Allah tidak memudahkannya.

Justeru, jangan pernah walau sekali merasakan apa yang kita ada pada hari ini adalah hasil usaha kita sendiri. Sekali Allah tidak meredhainya, maka hancurlah semua. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." - [Al-Imran : 159]


Kita golongan yang mana?

Bukan pertama, bukan kedua dan bukan juga ketiga…

Jadilah golongan keempat. Terhindar dari istidraj, mencari redha Allah dan keberkatan dalam setiap hela nafas serta bersangka baik dengan Sang Maha Pencipta. Bersyukur atas segala pemberiaanNya dan meyakini bahawa setiap segala sesuatu yang terjadi adalah kurniaan terindah buat kita selaku hambaNya yang hina.

Akhir kalam..Berusaha!

Sumber: Klik Di Sini



Tags:
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment