• Subscribe to my RSS
  • Education Malaysia Of Egypt
  • Mansoura University
  • Contact Us
PERUBATAN Cawangan Mansurah
  • Muka Utama
  • PERUBATAN Induk
  • Cawangan
    • PERUBATAN Cawangan Tanta
    • PERUBATAN Cawangan Zaqaziq
    • PERUBATAN Cawangan Iskandariah
  • Mengenai PCM
  • Carta Organisasi PCM
  • Takwim 2012
    • Takwim PERUBATAN Pusat
    • Takwim PCM 2011
  • PERKHIDMATAN
    • Senarai Muysrif Mengikut Kawasan
    • Tempahan Pengangkutan Unit Kebajikan
    • Tabung Kasih Sayang 2011
    • Peta Lokasi Hospital Dan Alat Bantuan Kecemasan
    • Khidmat Akad Dan Perpindahan Rumah Sewa
    • Senarai Aset PCM
    • Etika Peminjaman Aset PCM
  • Galeri PCM
    • Album PICASA
    • Album Facebook
    • TvMansurah
Showing posts with label Kenyataan Rasmi. Show all posts


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ekoran dari permasalahan kenaikan pembayaran bil elektrik dalam kalangan mahasiswa/wi Mansurah, Unit Perumahan PERUBATAN Cawangan Mansurah Sesi 11/12 amat prihatin akan masalah yang dihadapi. Banyak aduan dan permasalahan yang telah diterima oleh pihak kami, setelah diteliti dan dianalisis pihak kami menyertakan beberapa langkah yang dapat diambil bagi mengelakkan perkara ini dari berlaku:

1. Sila pastikan penggunaan elektrik di rumah tidak menggunakan tenaga elektrik yang terlalu tinggi. Kurangkan penggunaan 'heater','sakhonah', dan perkakas elektrik yang lain.

2. Sila pastikan meter elektrik rumah anda berfungsi secara baik. 70% daripada masalah ini berpunca dari meter elektrik yang tidak selari dengan pengunaan elektrik yang digunakan. Minta juga untuk bertanya dan merujuk kepada 'baba' (tuan rumah)

3. Berlaku penyelewangan atau penipuan oleh pegawai 'kahroba' yang mengira bacaan elektrik. Jika anda melihat pegawai itu mengira bacaan meter rumah anda, sila pastikan mereka mengira mengikut bacaan yang betul.

4. Sila laporkan jika terdapat kecurigaan terhadap mana-mana pegawai ‘kahroba’, tuan rumah, ataupun orang arab yang boleh disyaki terlibat dalam permasalahan ini.

Beberapa bil elektrik telah pun dikumpul dan akan dihantarkan ke syarikat elektrik untuk mengadukan berkenaan permasalah ini. Isu ini juga akan dipanjangkan kepada wakil rakyat di Mansurah sebagai salah satu langkah usaha untuk menangani masalah ini.

Dengan ini kami dari Unit Perumahan PCM mengharapkan agar perkara ini dapat diambil perhatian oleh seluruh mahasiswa/wi Mansurah supaya dapat mengelakkan masalah-masalah lain dari berlaku, memandangkan isu ini melibatkan majoriti komuniti pelajar Malaysia di Mansurah ini. Sebarang permasalahan bolehlah merujuk kepada saya sendiri selaku Ketua Unit Muhamad Syazni Asraff (0114-5654730) atau timbalan saya, Nurul Karimah Ab Ghani (0111-5044106).

Cara pembacaan Bil Elektrik:
Gambar contoh bil elektrik (Sila klik untuk paparan lebih besar)
1. Bacaan meter terkini
2. Bacaan meter sebelum
3. Bacaan meter penggunaan elektrik sepanjang bulan (perbezaan antara 1 dan 2.)
4. Pengiraan sistem taarif bacaan meter 3. *Boleh rujuk di sini - *Klik sini* dan *Klik sini 2*
5. Pengenaan cukai dari syarikat elektrik
6. Hutang atau bayaran ansuran sebelum ini
7. Jumlah bayaran (4.+5.+6.)
8. Bayaran untuk pembersihan sampah
9. Jumlah bayaran (4.+5.+6.) *sama seperti 7. kecuali ada bayaran yang ditolak
10. Jumlah bayaran (8.+9.) *Terjemahan ayat: "Hanya Lapan Puluh Sembilan Junaih dan Tiga Puluh Lima Piaster"
11. No kod Bil
12. No kod Jadual/Sistem
13. Bilangan bulan yang dikira
14. Tarikh bulan yang dikira *Sistem pengiraan syarikat - Setiap tarikh bulan yang dinyatakan adalah pengiraan penggunaan 2 bulan sebelumnya. Contoh: Tarikh di Bil (2012/03) Bulan Mac, pengiraan Bil adalah penggunaan pada bulan (2012/01) Bulan Januari. Sumber, Pegawai Syarikat Kahroba Mansurah 
15. & 16. Merujuk kepada Tuan Rumah ("Baba")
Terjemahan ayat di mukasurat belakang bil:
“Electricity company”
1.You have to pay as soon as you the get the bill.
2.If you are not in the house to pay the bill you have to go to the company to do so. If you don’t, within 15 days we have to cut off electricity from your premises. If you want to have back the electricity, you have to pay the unpaid bill.

-Disediakan oleh : Muhamad Syazni Asraff (0114-5654730) *Untuk tujuan rujukan

UNIT PERUMAHAN
PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH
SESI 2011/12
ILMUWAN BERBAKTI TEGUH SEHATI
“AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t kita masih lagi diletakkan dalam kurniaan nikmat yang tidak terhingga banyaknya termasuklah nikmat kesihatan dengan tubuh badan yang cergas. Selawat dan salam keatas nabi junjungan kita kerana berkat perjuangan baginda yang gigih menjadikan kita masih lagi seorang muslim yang utuh akidahnya insya-Allah.

Tanggal 30hb Mac 2012, Jumaat bakal menanda satu lagi warna pada kanvas PERUBATAN dengan penganjuran PERUBATAN Sport’s Day (PSD) Ikhwah yang menyaksikan Iskandariah sebagai tuan rumah. Sudah pasti PSD pada tahun ini akan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Namun persoalannya, siapakah yang bakal mencorakkannya?

PSD Ikhwah yang terakhir telah dibuat sekitar 2 tahun yang lalu bertempat di Mansurah, di mana ketika itu pelbagai acara dan pertandingan telah diadakan. Persaingan yang sangat sengit dan hebat di antara setiap peserta dari semua cawangan benar-benar menyemarakkan jiwa kesukanan yang ada dalam diri ahli PERUBATAN.

Peserta kontinjen PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) sewaktu itu telah menunjukkan semangat daya saing yang tinggi dan sangat bersungguh untuk mengharumkan nama PCM di persada PERUBATAN seluruh Mesir. Perkara ini bukan hanya menggembirakan hati warga Mansurah, bahkan jua  berjaya mengangkat nama Mansurah ke persada yang lebih tinggi dalam kalangan Mahasiswa Sains Kesihatan di Mesir.

Warga Mansurah yang dikasihi sekalian,
Selaku Pengerusi PCM sesi 2011/2012, saya berbesar hati kerana pada tahun ini penyertaan yang diberikan oleh semua peserta ikhwah dalam setiap acara masih lagi dalam keadaan yang sangat memberangsangkan. Justeru, semangat yang berkobar-kobar ini perlu kekal sehingga semua acara selamat dipertandingkan di Iskandariah kelak.

Perlu diingatkan bahawa adat pertandingan pasti ada kalah dan menang. Namun begitu, kemenangan atau kekalahan yang dimiliki perlulah dari hasil usaha yang gigih dan juga permainan yang kekal bersih dari awal hingga akhir. Ini kerana di antara objektif penganjuran PSD ini adalah ingin memupuk semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan ahli dan juga untuk melahirkan ahli PERUBATAN yang bersemangat waja. Jadikan matlamat asal penganjuran PSD ini tercapai, bukan hanya statik pada kayu ukur menang atau kalah sahaja. Selain itu, objektif ukhuwah dan kesatuan tidak kurang pentingnya untuk dihayati dan diaplikasikan oleh seluruh ahli PERUBATAN.

Jika diteliti kembali 5 agenda yang telah dibentangkan oleh Presiden PERUBATAN, saudara Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidy sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan ke-8 PERUBATAN yang lalu, agenda kebajikan, profesionalisme dan kesatuan mampu diterapkan dengan baik sekiranya semua ahli cakna dan sedar kepentingannya dalam pelaksanaan PSD pada kali ini. Maka, jadilah ahli PERUBATAN yang mampu memberi sumbangan pada ahli PERUBATAN yang lain.

Sokongan moral yang padu mesti ditunjukkan oleh semua warga Mansurah terhadap peserta yang bakal bertanding. Jadi, selaku ahli yang cakna, walaupun anda tidak menyertai sebarang acara, marilah kita beramai-ramai memeriahkan PSD pada kali ini dengan cara turun ke Iskandariah untuk menzahirkan sokongan padu kepada kontinjen Mansurah dengan memakai pakaian bertemakan BIRU, selain mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa sains kesihatan seMesir.

SEMBOYAN TELAH BERBUNYI
Maka saya berbesar hati meletakkan harapan yang tinggi pada kalian yang bakal mengharumkan nama PCM sekali lagi pada PSD tahun ini. Berusahalah bersungguh-sungguh dalam mengenggam kemenangan kemudian doa dan tawakal mestilah disertakan dalam setiap tindak-tanduk kita kerana itulah yang menjadi bukti kehambaan kita kepada Allah dalam setiap perkara agar kita mampu berlapang dada terhadap apa jua natijah yang bakal terhasil kelak.

Selamat Bertanding, Selamat Berjaya dan Selamat Berukhuwah.
“TOGETHER WE’LL GLORIFY THIS MOMENT”













Yang benar,
Mohammad Iskandar Bin Sa’uadi
Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/2012



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dgn limpah kurniaNya kita semua masih kekal dalam nikmat-nikmat yang tidak pernah putus sejak kita lahir. Selawat dan salam juga atas junjungan baginda kerana dengan berkat usaha baginda maka hari ini segala usaha dakwah ini masih dapat diteruskan sebagai salah satu cara menunjukkan betapa kita juga umat nabi yang menjalankan tugas-tugas nabi dalam menyampaikan seruan kebenaran.

“Mewarnai Landskap Mahasiswa”

Saya mulakan bicara ini dengan satu tema yang cuba dibawakan oleh PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) pada sesi 2011/2012 pada tahun ini iaitu “Mewarnai Landskap Mahasiswa”. Hanya 3 perkataan yang dipilih supaya dapat merangkumkan agenda-agenda penting yang telah diputuskan di peringkat Majlis Pengerusi. Agenda-agenda tersebut termasuklah:
  1.  Agenda kebersamaan iaitu untuk meraikan ahli yang pelbagai dan menekankan konsep ahli-pimpinan dan juga pimpinan-ahli.
  2. Daripada ahli untuk ahli. Suatu konsep mudah yang digunapakai menerangkan tentang seorang ahli yang memberikan sesuatu (idea, tenaga & wang) akan terpalit faedahnya untuk ahli yang lain.
  3. Penerapan fikrah kesatuan dan Islami dalam semua gerak kerja PCM juga individu-individu yang menggerakkannya.
  4.  Mencorak fenomena mahasiswa/wi ideal.

Seperti mana yang kalian sudah maklum bahawa di Mansurah, mahasiswa/wi sains kesihatan datang dari pelbagai latar belakang keluarga, institusi pengajian, dan juga suasana pengamalan agama. Maka, selaku pemimpin kami harus bijak untuk mengatur strategi agar PCM mampu menjadi wadah permulaan bagi mereka yang baru dalam proses mengislah diri dan pada masa yang sama sebagai suatu platform yang stabil bagi mereka yang memang sudah bergiat aktif dalam persatuan. Tindakan ini kami namakan sebagai proses 
MEWARNAI LANDSKAP MAHASISWA.
Secara jujurnya proses ini bukanlah satu proses yang mudah malah memerlukan kudrat individu yang ramai untuk menjayakannya. Jadi kesedaran semua ahli PCM terhadap isu ini adalah amat penting agar kesemua agenda yang digariskan dapat dibawa dengan baik dan mendapat hasil yang memuaskan.

PENGLIBATAN

PCM sedang bergerak kearah menjadi sebuah persatuan yang matang. Baik dari aspek pengendalian persatuan itu sendiri mahupun aspek mematangkan ahli dengan agenda-agenda mahasiswa/wi seperti pembinaan pemikiran individu bertaraf antarabangsa berlandaskan syariat Islam. Maka sekali lagi kami ingin tekankan bahawa strategi yang tersusun adalah perlu dalam memastikan misi dan visi ini tercapai serta yang tidak kurang penting juga adalah penglibatan semua ahli supaya kita sama-sama dapat melihat perkara ini bergerak kearah realiti.

IDEALISTIK -> REALISTIK

Justeru, besarlah harapan kami agar kita semua sebagai mahasiswa/wi yang idealistik mampu sama-sama membina kekuatan fikiran, sosial, spiritual dan jasmani yang kuat agar idea yang acapkali idealistik mampu diterjemahkan agar menjadi suatu yang realistik. Sekali lagi, semua ini adalah proses yang panjang dan PCM secara komited membuka seluas-luasnya dan sebanyak-banyak yang mungkin platform di dalam PCM agar semua warga Mansurah akan mendapati bahawa mereka adalah sebahagian daripada PCM.

‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’

Sebagai penutup, ingin kami tiitipkan satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Ustaz Hasrizal yang lebih kita kenali sebagai Ustaz Saiful Islam di dalam blognya, saifulislam.com supaya dapat difikirkan bersama iaitu ‘Erti Hidup Pada Memberi’. Jika dihayati sirah dari zaman nubuwwah lagi kemudian di zaman kegemilangan Islam sehingga ke era yang moden ini, maka kita akan dapati individu yang hebat diantara faktor yang boleh diambil iktibar ialah kehidupannya yang diabadikan untuk memberi dan tidak sama sekali mengharap sebarang balasan. Moga, kita juga mampu melakar sejarah sebagai seorang individu yang hebat dan banyak berjasa kepada Islam terutamanya.

Selamat berpartisipasi ke dalam PERUBATAN Cawangan Mansurah.

Sekian. Wasalam.

MOHAMMAD ISKANDAR BIN SA’UADI
PENGERUSI,
PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH SESI 2011/2012

MAJLIS PENGERUSI terdiri daripada:

 MOHAMMAD ISKANDAR BIN SA’UADI 
(Pengerusi PCM)


MUHAMAD ARIF BIN MAMAT NOOR
 (Timbalan Pengerusi I PCM)


NIK NURFARIHA BINTI MOHAMMED ZALAMI
 (Timbalan Pengerusi II PCM)



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Merujuk kepada program Islamic Pratical Session (IMPULSE): Pengurusan Jenazah 2012, yang akan diadakan pada 16 Mac 2012  ini, dukacita saya ingin memohon maaf kepada para mahasiswa dan mahasiswi Mansurah yang telah dan ingin mendaftar sebagai peserta, namun gagal mendapat tempat di dalam program ini.

Untuk pengetahuan umum, pihak kami cuba sedaya mampu untuk menempatkan seramai mungkin peserta, tetapi atas faktor kapasiti tempat (Qaah Ibnu Sina-QIS dan Darul Rahmah-DR) yang tidak dapat menampung jumlah peserta yang ramai, maka pihak kami terpaksa menghadkan dan menerima penyertaan daripada tempahan pendaftaran terawal sahaja. Selain itu, kami ingin memastikan bilangan peserta yang termasuk di dalam senarai ‘sedang menunggu’ mencecah 44 orang siswa dan 20 orang siswi.

Sehubungan dengan itu, saya sebagai Pengarah program Islamic Practical Session (IMPULSE): Pengurusan Jenazah 2012 ingin memohon maaf sekali lagi atas perkara ini. Kami berharap semua pihak dapat menerima penjelasan daripada pihak kami dengan berlapang dada dan fikiran yang terbuka. Sesungguhnya apa yang berlaku itu adalah ketentuan daripada Allah S.W.T dan pihak kami hanya mampu merancang dan berusaha untuk memberikan yang terbaik khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi Mansurah.

Sekiranya terdapat keizinan masa dan peluang pada masa yang akan datang, InsyaAllah kami berharap program ini akan diadakan lagi selepas ini. Kami juga berharap agar mahasiswa dan mahasiswi sekalian akan terus menyokong dan membantu perjuangan kami pada masa yang akan datang. Kerjasama, toleransi dan sokongan kalian amatlah dihargai dan sekalung ucapan terima kasih kami ucapkan. Semoga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan kita.

Wallahualam.

“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”


Muhammad Abdul Alim Bin Zakaria,
Pengarah Program Islamic Practical Session(IMPULSE): Pengurusan Jenazah 2012
PERUBATAN Cawangan Mansurah  2011/12



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Merujuk kepada iklan tempahan pembelian produk pada awal bulan Januari yang lalu, dukacita di sini ingin saya ingin memaklumkan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Mansurah yang telah membuat tempahan sweater PCM, bahawa sweater tersebut dijangka akan tiba lewat dari tarikh yang telah dinyatakan sebelum ini.

Seperti yang semua sedia maklum, pihak kami telah menyatakan bahawa sweater itu akan diperoleh pada awal bulan Februari yang lalu. Namun, sehingga kini sweater itu masih tidak diberikan dan telah menimbulkan pelbagai pertanyaan, spekulasi serta ketidakpuasan hati daripada semua pihak. 

Hal ini adalah kerana pihak kami masih belum menerima sweater tersebut daripada kilang cetakan di Malaysia. Pihak yang bertanggungjawab di Malaysia memaklumkan bahawa masalah berlaku bertitik tolak akibat bilangan cuti umum yang padat di Malaysia sepanjang bulan Januari dan Februari yang lalu menyebabkan kilang cetakan tidak dapat beroperasi dalam tempoh masa tersebut.

Walaupun begitu, kami sentiasa mengikuti perkembangan pembikinan sweater tersebut dan pihak kami telah dimaklumkan bahawa sweater tersebut telah pun siap sepenuhnya. Sweater tersebut dijangka akan tiba di bumi Mansurah selewat-lewatnya menjelang akhir bulan Mac ini.

Sehubungan dengan itu, saya merangkap Ketua Unit Ekonomi PCM Sesi 2011/2012 ingin memohon ampun dan maaf sekali lagi atas kelewatan ini. Kami berharap semua pihak dapat bersabar dan sesungguhnya setiap yang terjadi itu adalah di luar kawalan dan jangkaan kami. 

Pihak kami juga berharap agar mahasiswa dan mahasiswi sekalian akan terus menyokong dan membantu perjuangan kami pada masa akan datang. Tanpa kalian siapalah kami. Segala sokongan, toleransi serta kerjasama kalian kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Mudah-mudahan Allah SWT memudahkan segala urusan kita.

Wallahualam.

“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”













Mohamad Zulhilmi bin Rusdi,
Ketua Unit Ekonomi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/12



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur kepada Allah SWT kerana telah melancarkan segala perjalanan program Le Tour De Sinai 2012 fasa pertama yang melibatkan mahasiswa. Akan tetapi sebaliknya berlaku kepada fasa kedua program ini untuk mahasiswi.

Berkenaan rombongan ke Semenanjung Sinai bagi peserta mahasiswi yang dibatalkan saat-saat akhir, ia adalah sepenuhnya berkaitan keselamatan ahli dan situasi semasa disana. Rombongan mahasiswi melibatkan seramai 94 orang peserta dan AJK itu sepatutnya bertolak dari Mansurah pada pukul 12.30 pagi 5 Februari 2012.

Saat kesemua peserta telah berkumpul di Qaah Ibnu Sina dengan kelengkapan masing-masing, pada pukul 11. 50 malam saya menerima panggilan dari pejabat polis Mansurah dan diberitahu bahawa perjalanan program ini iaitu ke Semenanjung Sinai dibatalkan. Menyusul beberapa minit kemudian, satu panggilan lain dari syarikat pengangkutan yang digunakan semasa program ini memberitahu saya bahawa mereka tidak diberi kebenaran oleh pihak polis untuk membawa pelajar Malaysia ke sana.

Panggilan demi panggilan saya lakukan ke pejabat polis dan syarikat pengangkutan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya. Pihak polis mengambil berat akan keselamatan pelajar Malaysia berikutan situasi huru-hara di Semenanjung Sinai serta beberapa kes jenayah berat yang berlaku di sana kebelakangan ini.

Berikutan beberapa perkara tersebut, saya selaku Ketua Unit Sukan & Aktiviti Luar (UNISAL) PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) sesi 2011/12 merangkap Pengarah Program Le Tour De Sinai 2012 mengambil keputusan untuk membatalkan fasa kedua program ini setelah berbincang dengan syarikat pengangkutan yang turut melibatkan pihak polis pada 2 petang 5 Februari 2012.

Jutaan kemaafan daripada saya selaku wakil penganjur Le Tour de Sinai 2012 kepada semua peserta mahasiswi yang terlibat kerana perkara ini adalah diluar kawalan dan jangkauan kami. Ini merupakan kali kedua program ini dibatalkan semenjak tahun lepas pada bahagian mahasiswi atas faktor keselamatan dan keadaan huru-hara di beberapa kawasan di Mesir.



Insya-Allah dalam masa terdekat kami akan memulangan semula wang pendaftaran setiap peserta akan tetapi bukan jumlah yang sepenuhnya berikutan ada sebahagian wang yang sudah digunakan untuk membeli bahan-bahan masakan dan makanan tersebut diberikan juga kepada peserta.


Saya yakin dan sentiasa berdoa supaya ada hikmah disebalik perkara yang berlaku. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita insya-Allah.



Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati

At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah


















MUHAMMAD IMRAN BIN JAAMAT
Ketua,
Unit Sukan & Aktiviti Luar (UNISAL),
PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH (PCM) 2011/2012.




Assalamualaikum w.b.t.,

Bersempena cuti musim sejuk, berikut disenaraikan pemangkuan jawatan bagi ahli jawatankuasa tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/12 yang telah dipersetujui bersama di peringkat pimpinan.

Tempoh pemangkuan bermula pada 29 Januari 2012 sehingga 18 Februari 2012. Jawatan yang disenaraikan adalah tertakluk kepada unit atau jabatan yang ketiadaaan ajkt sahaja, manakala yang lain kekal seperti biasa.


AJKT SISWA
Jabatan Setiausaha: 
Muhamad Arif bin Mamat Noor (memangku Muhammad Zaki bin Zainal Abidin)

 Jabatan Bendahari: 
Mohamad Zulhilmi bin Rusdi (memangku Khairul Anuar bin Khalid)



AJKT SISWI
Timbalan Pengerusi 2
Nurul Afifah binti Alias (memangku Nik NurFariha binti Mohamed Zalami)


Jabatan Bendahari
Nur Ain binti Zulaliza (memangku Nurul Fadhiila Amni binti Raidi)



Sebarang permasalahan bolehlah merujuk kepada mana-mana pemangku yang disenaraikan.
Selamat bercuti. Semoga masa lapang yang ada diguna sewajarnya dan ibadat kita diterima Allah S.W.T, insyaAllah.



Sekian,
‘ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI’
“At-Taqwa, As-Syifa, Ar-Rahmah”

Yang menjalankan tugas,
Nurul Afifah binti Alias
Timbalan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/12


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tahun 2011 sudah melabuhkan tirainya dan dalam tempoh setahun ini pelbagai perkara dan kenangan yang mungkin berlaku menyebabkan kita semua tidak akan dapat melupakannya termasuk insiden ‘thaurah’ atau demonstrasi besar-besaran yang juga memberikan kesan yang ketara terutamanya pada rakyat Mesir sendiri. Kini tahun 2012 pula menjelma sebagai satu episod permulaan bagi mereka yang baru hadir di bumi Mesir dan juga untuk PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) mengorak langkah dalam memantapkan pembawakan terhadap ahli.

Maka, selari dengan perubahan-perubahan yang ingin dilakukan, PCM juga sudah memasang azam (objektif) yang ingin dicapai dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang selaras dengan pembawakan PCM pada sesi ini iaitu “Mewarnai Landskap Mahasiswa”.

TAWAQUF 
Sebagaimana semua maklum, setiap kali musim peperiksaan tiba maka PERUBATAN khususnya PCM akan mengumumkan tarikh tawaquf sebagai satu pendekatan untuk memberi ruang pada ahli menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran mereka. 

Maka, tawaquf pada musim peperiksaan musim sejuk ini akan bermula pada 2 Januari 2012 bersamaan 9 Safar 1433 Hijrah, dan diharapkan semoga semua ahli PCM mampu menggunakan waktu ini sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran dan menjaga kesihatan dengan baik.

Walaubagaimanapun, pengecualian tawaquf diberikan kepada program-program bersifat akademik dan program berkala. Adapun program yang dilakukan oleh mahasiwa/wi yang tidak melalui peperiksaan akhir semester juga dibenarkan.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN
PERUBATAN Cawangan Mansurah dengan berbesar hati mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan di musim sejuk pada kali ini. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita. Apa yang paling penting adalah setiap usaha yang dilakukan perlu disertai dengan tawakal diakhirnya. Berserah dengan segala ketentuan Allah.

SELAMAT TAHUN BARU MASIHI
Sebagai meraikan pelbagai azam baru yang dibuat sempena tahun baru ini, maka PCM juga mengucapkan selamat tahun baru kepada semua ahli PCM dan semoga mampu melaksanakan segala apa yang difikirkan untuk dicapai pada tahun ini. Moga semua perkara itu mendapat keberkatan dan keredaan Allah.
Sekian. Wallahua’lam.



Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati

At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah



MOHAMMAD ISKANDAR BIN SA’UADI
Pengerusi,
PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH (PCM) 2011/2012






Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir 
P E R U B A T A N
Taqwa, Syifa', Rahmah
Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Umum mengetahui suasana di Mesir sekarang ini berada dalam keadaan kurang stabil di beberapa tempat terutamanya di Medan Tahrir, Kaherah sejak 18hb November 2011 Jumaat yang lalu dan menyebabkan kemalangan jiwa yang berterusan.

PERUBATAN mengharapkan supaya seluruh mahasiswa mahasiswi terus berpegang dan mematuhi segala perkara yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan Keselamatan Bil 2 Tahun 2011 yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan disebarkan melalui laman-laman rasmi PERUBATAN.

Untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka ini, PERUBATAN telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan PERUBATAN di Kaherah dan juga di seluruh cawangan untuk bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan yang tidak diingini. PERUBATAN meminta agar seluruh pihak tidak mendekati kawasan-kawasan yang berlaku konflik pertempuran dan ketegangan yang berlaku untuk mengelakkan apa-apa bentuk kecederaan jiwa yang tidak diingini.

PERUBATAN menyeru supaya seluruh mahasiswa untuk terus berwaspada dan berhati-hati dengan suasana keselamatan di tempat masing-masing bagi menghadapi kemungkinan yang tidak dijangka berkenaan konflik rakyat Mesir yang sedang berlaku sekarang ini.

PERUBATAN menasihatkan agar seluruh ahli bertenang dan tidak panik serta tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan atau berita yang masih belum dipastikan kesahihannya melalui pihak yang lebih berautoriti terutamanya Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Ini bagi memastikan supaya segala maklumat yang disampaikan kepada ahli adalah tepat dan ini akan memudahkan seluruh pihak. Mahasiswa boleh merujuk laman web rasmi Education Malaysia Egypt dan laman rasmi PERUBATAN untuk mendapatkan perkembangan terbaru dan situasi semasa berkenaan keselamatan di Mesir.

Segala maklumat atau aduan kecemasan bolehlah talian telefon berikut:

Ketua Jawatankuasa Keselamatan PERUBATAN:
Mohd Hazwan bin Rusli
0111- 8709934
 
Presiden PERUBATAN:
Syafiq bin Hamdani
0114 - 0839115
 
Buat akhirnya, PERUBATAN mengharapkan agar seluruh mahasiswa dapat mendoakan keselamatan mahasiswa di seluruh Mesir, supaya keadaan kembali tenang dan kita dapat meneruskan kembali pengajian dengan aman harmoni seperti biasa.

Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah

Yang menjalankan tugas,

Syafiq B Hamdani
Presiden
PERUBATAN
2011/2012

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA
KAHERAH

GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011 
KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR
1.         Maklumat Am 
1.1.      Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warga Malaysia di Republik Arab Mesir. Ia adalah merupakan susulan kepada Garis Panduan Keselamatan Bil. 1 Tahun 2011 yang dikeluarkan oleh KBMK pada 7 Mac 2011 berdasarkan kepada situasi politik dan ekonomi semasa Mesir.
2.         Keadaan dan Maklumat Semasa

(A)       Ringkasan Suasana Semasa

2.1.      Semua pejabat Kerajaan, institusi pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem pengangkutan awam secara amnya masih beroperasi seperti biasa.

2.2.      Pasukan polis telah mula kembali bertugas secara berperingkat. Namun, waktu tindak balas (response time) oleh pihak polis tidak menepati keperluan sebarang kecemasan. Kes-kes jenayah seperti kes-kes pecah rumah, pergaduhan serta jenayah yang melibatkan samseng jalanan semakin kerap dilaporkan. Keyakinan rakyat Mesir terhadap pasukan polis awam masih belum pulih sepenuhnya.

2.3.      Pihak tentera masih berada di beberapa kawasan dan premis strategik seperti di luar bangunan-bangunan kerajaan. Peranan pihak tentera mengawal keamanan di bandar-bandar dilihat kurang berkesan dan tidak banyak membantu mengurangkann kes-kes jenayah.

2.4.      Kekacauan ataupun keganasan masih berlaku termasuklah keganasan agama (sectarian violence) tetapi tertumpu kepada bandar-bandar dan kawasan-kawasan tertentu. Tunjuk perasaan dan mogok juga berlaku di tempat-tempat dan pada masa-masa tertentu. Tindakan tunjuk perasaan dan mogok yang diadakan oleh banyak golongan rakyat atas pelbagai alasan termasuk menuntut kenaikan gaji, mendesak Kerajaan Sementara (Interim) Mesir dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) membuat pelbagai perubahan politik, ekonomi dan sebagainya dengan segera dan sebagainya, tidak membantu pemulihan ekonomi Mesir. Kehadiran para pelancong asing juga semakin berkurangan.

2.5.      Beberapa kejadian tidak diingini yang menimpa mahasiswa-mahasiswi Malaysia baru-baru ini seperti perselisihan faham dengan tuan rumah yang disewa, kemalangan dan kematian sewaktu mengikuti aktiviti bukan akademik di luar pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, boleh dijadikan teladan supaya warganegara Malaysia, khususnya mahasiswa-mahasiswi lebih mengambil berat tentang aspek keselamatan mereka dalam situasi semasa di Mesir.

2.6.      Terdapat beberapa institusi seperti pusat-pusat pengajian swasta dan pejabat-pejabat korporat syarikat-syarikat antarabangsa telah mengumumkan akan menutup operasi mereka pada tarikh-tarikh tertentu semasa Pilihanraya Parlimen Mesir diadakan sebagai langkah berjaga-jaga.

(B)       Peralihan kepada Pemerintahan Awam

2.7.      Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan Kerajaan Sementara (Interim) Mesir telah menetapkan bahawa Pilihanraya Parlimen Mesir akan diadakan secara berperingkat mulai bulan November 2011 sehingga bulan Mac 2012. Pilihanraya Parlimen yang terdiri daripada People's Assembly dan Majlis Shoura ini telah dimulakan dengan penamaan calon mulai 12 hingga 24 Oktober 2011.

2.8.      Secara ringkasnya, Pilihanraya People's Assembly akan diadakan secara berperingkat mengikut Governorates (Muhaffazah) pada 28 November 2011, 14 Disember 2011 dan 3 Januari 2012. Pilihanraya Majlis Shoura pula akan diadakan pada 29 Januari 2012.

2.9.      Setiap peringkat Pilihanraya People's Assembly akan melibatkan sembilan (9) Governorates (Muhaffazah) seperti berikut:

2.9.1.   Peringkat Pertama pada 28 November 2011 - Cairo, Alexandria, Damietta, Fayoum, Port Said, Kafr El-Sheikh, Assiut, Luxor dan Red Sea.

2.9.2.   Peringkat Kedua pada 14 Disember 2011 - Giza, Menoufiya (Shibin El-Kom), Sharqiya (Zaqazik), Beheira (Damanhur), Beni Suef, Ismailiya, Suez, Sohag dan Aswan.

2.9.3.   Peringkat Ketiga pada 3 Januari 2012 - Gharbiya (Tanta), Daqahliya (Mansurah), Minya, Qalioubiya, North Sinai, South Sinai, Marsa Matrouh, Qena dan New Valley.

3.         Langkah-langkah Keselamatan

3.1.      Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat berikut:

(A)       Pencegahan 

3.1.1.   Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti Dataran Tahrir, premis Kerajaan strategik seperti Kementerian Penerangan (Maspero), Pejabat Perdana Menteri, Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz) dsb;

3.1.2.   Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti;

3.1.3.   Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai politik dalam Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal ehwal rakyat Mesir semata-mata;

3.1.4.   Menghadkan sebarang pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti terutamanya pada hari Jumaat yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara Malaysia;

3.1.5.   Mengelakkan dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;

3.1.6.   Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan yang kini bersemangat 'revolusi'. Elakkan dari mengambil tindakan bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;

3.1.7.   Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti facebook, yahoo messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

3.1.8.   Mahasiswa-mahasiswi dan para pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti sama ada secara individu ataupun berkumpulan di luar kawasan tempat pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti di luar kawasan kediaman dan kampus sehingga pilihanraya selesai melainkan setelah mendapatkan sokongan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

(B)       Persediaan

3.1.9.   Setiap warganegara Malaysia (yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

3.1.9.1.      mengisi borang secara atas talian (online) di http://www.kln.gov.my/web/guest/ekonsular ; atau

3.1.9.2.      mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel; malcairo@kln.gov.my ; atau

3.1.9.3.      menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

3.1.10. Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di http://www.educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@gmail.com.

3.1.11. Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir;

3.1.12. Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dsb serta barang berharga di tempat yang selamat;

3.1.13. Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.14. Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga (3) hari sepanjang tempoh pilihanraya. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;

3.1.15. Memperkukuhkan tahap keselamatan tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian. Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat dan dikunci  sebelum meninggalkan rumah;

3.1.16. Memastikan supaya dokumen pengenalan diri seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Bagi pemegang pasport Malaysia pula, perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;

3.1.17. Tidak keluar rumah atau tempat tinggal pada hari-hari pilihanraya dijadualkan dan keputusan diumumkan, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah dan sebagainya. Namun sedemikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui kawasan-kawasan pengundian dijalankan dan keputusan pilihanraya diumumkan yang menjadi tempat perhimpunan orang ramai;

3.1.18. Memastikan anda dapat dihubungi dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi warganegara Malaysia selain mahasiswa-mahasiswi / pelajar) dan Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan (bagi para mahasiswa-mahasiswi/ pelajar Malaysia).

4.         Hal-hal Lain

4.1.      Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

4.2.      Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.

4.3.      Selaras dengan amalan diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir. Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Agensi-agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.

Kedutaan Besar Malaysia
Kaherah
17 November 2011

Last Updated (Friday, 18 November 2011 07:47)

Sumber :  Portal Rasmi Education Malaysia

Older Posts Home

Announcement

Video from UPPPCM Youtube Channel



Official Blogs

Web's Content

Follow this blog
    • Majlis Tertinggi PCM 2011/2012
    • Penasihat & Unit-unit Khas PCM 2011/2012
    • Madrasah Imam Nawawi, Unit Pembangunan Insan PCM
2010/11 PERUBATAN Cawangan Mansurah. All rights reserved.
Designed by Publication And Information Unit