Kempen Biah Solehah:Budaya Ilmu



Satu petang yang hening, ketika aku sibuk mengemaskan mejaku di pejabat, tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada kakakku, "Tau tak, abang masuk hospital? Dia ada di HTAR sekarang, sorang-sorang.". Aku terkejut kerana baru beberapa hari lepas aku berjumpa dengannya. Dia datang ke Shah Alam dari Terengganu untuk mencari pekerjaan. Dengan berbekalkan kelulusan Ijazah Fiqh Wa Usul, Jami'ah Mu'tah Jordan dia cuba untuk mencari rezekinya di sini. Setelah beberapa kali aku menemaninya untuk mengikuti temuduga kerja, aku kembali memfokuskan tugasan harianku. Namun, panggilan itu membuatkan aku rasa bersalah, seperti tidak bertanggungjawab lagakku andai aku tinggalkan dia keseorangan. Keadaan kakakku yang mengandung dan suaminya yang bekerja menyukarkan keadaan. Lalu, aku nekad untuk cuba sebaik mungkin berkhidmat untuk abangku.

Waktu itu sudah maghrib, aku baru tiba di hospital. Selesai solat di surau yang disediakan, Alhamdulillah, aku dibenarkan masuk walaupun di luar waktu melawat. Sesampai sahaja di katil abang, sungguh aku kasihan melihat tubuhnya yang agak kurus dan pucat. Dia mempunyai masalah kekurangan darah. Rupanya, abang sedang menunggu aku untuk membantunya berwudhu'. Alhamdulillah, dia masih lagi bersemangat untuk melaksanakan solat wajib dan sunat di atas katil dengan tabung darah yang tersangkut di tepi katil. Kebanyakan daripada pesakit di wad itu berbangsa India. Aku tidak pula berhasrat untuk bermalam di situ, segan pula rasanya berada di wad lelaki. Aku tinggalkan beberapa keperluan untuk abang. Esoknya aku datang semula ke hospital, membawa keperluan yang penting. Kesukaran untuk berwudhu' memerlukan aku untuk membekalkan spray air untuknya.

Alhamdulillah semasa aku masih lagi menuntut di IPT, aku ada mengikuti Bengkel Feqah Perubatan anjuran MESTA, (Medical Student Association) Fakulti Perubatan di kampusku. Bengkel 2 hari tersebut banyak membuka mindaku tentang "Mudahnya Islam". Banyaknya rukhsah atau keringanan yang dibenarkan dalam Islam bila berhadapan dengan situasi tertentu. Sebagai contoh, jika kita mengalami patah pada anggota tubuh dan perlu disimenkan , anggota yang tertutup simen tersebut boleh disapu dengan debu tayamum, maka kewajipan solat itu masih lagi terpelihara dan boleh dilaksana.

Namun, sedih juga melihatkan pesakit di hospital menjadikan alasan kesakitan mereka sebagai halangan untuk beribadat pada Allah. Sedangkan kita tahu bahawa sakit itu adalah ujian daripada Allah dan ujian ini adalah peluang yang sediakan pada kita untuk diampunkan dosa, dinaikkan darjat di sisi Allah dan juga Allah ingin mengurniakan pahala yang banyak jika kita bersabar menerimanya. Namun, alangkah malangnya jika ujian kesakitan itu menjadikan kita lebih jauh dari Allah. Apatah lagi dengan keadaan sakit, lebih mengingatkan kita pada detik kematian. Seingat aku, dalam program tersebut, doktor yang membuat perbentangan itu membuka mata para hadirin bahawa tugas seorang doktor bukan sekadar memeriksa tahap kesihatan seta mencadangkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian, namun doktor juga berperanan penting untuk melaksanakan dakwah. Apatah lagi terhadap pesakit yang sedang diuji itu dan juga pesakit yang mempunyai risiko yang tinggi dalam berhadapan dengan detik kematian.

Alangkah baiknya jika seorang doktor muslim itu tidak hanya merasa cukup dengan sempurna kewajipan dirinya sebagai seorang muslim dari segi pakaian, amalan dan akhlaknya namun dia juga perlu melampiaskan nikmat Islam ini kepada pesakit mereka. Apatah lagi, biasanya para doktor cukup dipandang tinggi oleh masyarakat. Apa sahaja yang keluar daripada mulut seorang doktor amat mudah untuk di percayai dan diyakini. Mungkin yang boleh dilakukan oleh seorang doktor adalah, jika berurusan dengan pesakit muslim, boleh ditanyakan kepada pesakit itu samada sudah mengerjakan solat ataupun belum . Disamping itu juga boleh menyuntik semangat para pesakit dengan kata-kata yang menyejukkan hati agar mereka lebih berlapang dada menerima ujian Allah ini. Jika terkeluar daripada seorang doktor,
"Pak cik sabar ye, Allah sedang uji pak cik. Setiap kesabaran pak cik dalam menanggung ujian ini Allah akan ganjarkan kebaikan dan pahala yang banyak pada pak cik . Allah uji pak cik kerana Allah sayangkan pak cik. Kerana dalam kesakitan itu, Allah sediakan pahala untuk pakcik, keampunan di atas dosa-dosa dan juga mungkin Allah uji pak cik agar pak cik berpeluang dinaikkan darjat di sisi Allah" Maka pasti saja pesakit tersebut mungkin tidak begitu merasa tertekan dengan musibah yang melanda. Keluarga pesakit yang berhadapan dengan suasana tegang itu juga mungkin lebih tenang apabila mendengar suntikan kata-kata penawar dari seorang doktor.

Sekadar pengetahuanku, terdapat ramai bakal doktor yang berkelulusan sama ada dalam Malaysia sendiri, ataupun di Timur Tengah dan juga Barat. Sesetengah mereka yang sedang megikuti pengajian dalam ilmu perubatan, mereka hanya sekadar ingin menguasai ilmu perubatan tersebut. Namun, bila berhadapan dengan realiti sebenar medan mereka, amatlah penting untuk bakal doktor ini mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit.

Jadi, sebagai seorang doktor muslim, amatlah penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu asas feqah yang berkaitan dalam bidang perubatan. Terlalu banyak persoalan yang perlu dihadapi. Jika di timur tengah, terdapat banyak peluang kuliah tafaquh yang ada. Namun, bagaimanakah para bakal doktor ini boleh menyalurkan ilmu yang diperolehi itu supaya sesuai untuk diaplikasikan dalam lapangan perubatan? Inilah yang menjadi cabaran buat mereka. Tidak kurang juga mereka yang mengambil bidang perubatan di Malaysia dan juga di beberapa negara di sebelah Barat. Hari ini, group circle yang ada dikalangan para pelajar tidak menjadi asing lagi. manfaatkanlah ianya untuk menyuburkan kefahaman, mengasah kemahiran berfikir serta menyerlahkan potensi diri. Di situlah datangnya kekuatan bersama sama sahabat dan teman untuk memahami serta menghayati islam.

Namun, dalam keghairahan untuk menyiapkan diri dengan 'nilai tambah' pada diri seorang doktor , janganlah dilupakan asasnya tanggungjawab dan amanah rakyat yang terpikul di bahu. Kecemerlangan akademik juga menjadi pengukur sejauh mana kefahaman seorang pelajar perubatan tentang ilmu yang sedang mereka pelajari. Mereka perlu tekun dan bersungguh sungguh memanfaatkan masa pengajian untuk menghadam ilmu tersebut dengan sebaiknya.Bukan sahaja untuk memperoleh keputusan yang cemerlang malah supaya mereka mampu berdepan dengan situasi-situasi sewaktu di alam kerjaya nanti.

Jika belajar sekadar seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, kemungkinan besar akan terdapat kejadian doktor teragak-agak untuk membuat keputusan bagi menyelamatkan pesakit yang dalam kecemasan.Jadi tiada kualiti bagi seorang doktor disitu disebabkan sikap sambil lewa dengan akademik sewaktu dalam tempoh pengajian.Kesimpulannya,pelajar-pelajar perubatan hari ini perlu bijak menguruskan diri supaya mampu mempersiapkan diri untuk menjadi seorang doktor professional muslim. Kehadiran mereka amatlah dinanti oleh rakyat di tanah air.

Disediakan Oleh:
Nor Radziah bt. Mohd Salleh

Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment