KENYATAAN RASMI MENGENAI LIFE LINE FOR GAZA
Firman Allah S.W.T
“Perumpaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah akan melipatgandakan kepada sesiapa yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas Pengetahuan dan Maha Mengetahui” :(Al-Baqarah : 261)
Bismillah walhamdulilah,
Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya , PERUBATAN Cawangan Mansurah 09/10 telah selesai kempen dan kutipan dana bagi membantu saudara-saudara kita yang berada di Gaza, Palestin.
Sesungguhnya kempen ini bukanlah sekadar kempen sahaja, dan bukan bermakna habisnya kempen ini kita akan lupa kepada nasib ummat Islam yang memperjuangkan Tanah Suci Al-Quds. Kempen ini bertujuan untuk meneruskan kesinambungan daripada usaha-usaha yang terdahulu yang memperjuangkan Al-Quds yang kini sedang dirobek oleh rejim zionis serta konco-konconya.
Pertamanya, saya mewakili seluruh AJK perlaksana LIFELINE 4 GAZA yang diketuai oleh Iskandar , mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua mahasiswa Sains Kesihatan di Mansurah yang menderma, menyokong, mengerah tenaga dalam menjayakan kempen ini. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri dalam menyokong usaha-usaha dalam membebaskan AL-Quds dan membela nasib saudara kita di sana dan mungkin ada di kalangan kita tidak mampu untuk memberi duit sebanyak LE 100 akan tetapi memadailah dengan sedaya mampu.
Jumlah kutipan Dana LIFELINE 4 GAZA untuk Muhafazah Mansurah adalah sebanyak LE 62,870.75 iaitu mungkin yang terbesar berbanding dengan muhafazah yang lain memandangkan jumlah mahasiswa Sains Kesihatan di Mansurah mencecah 1000 orang. Dana itu telah diserahkan kepada wakil PERUBATAN dan akan di pindahkan kepada akaun Penganjur Induk LIFELINE 4 GAZA. Tahniah sekali lagi saya ucapkan. Semoga sumbangan ikhlas yang diberikan oleh semua mahasiswa dapat sedikit sebanyak menampung kehidupan saudara-saudara kita di sana.
Seterusnya, saya ingin mengucapkan kemaafan kepada semua mahasiswa kerana di peringkat AJK pelaksana tidak dapat membuat pelbagai program atau kempen LIFELINE 4 GAZA melainkan ceramah dan kutipan derma. Ini kerana isu keselamatan di Mesir sendiri yang menyebabkan PCM menghadkan kutipan di kuliah dan membuat pameran dan sebagainya. Untuk pengetahuan semua ,Isu Palestin merupakan isu yang amat sensitif di Mesir dan tambahan pula pilihanraya Presiden Mesir semakin hampir. Justeru itu saya mengingatkan kepada mahasiswa supaya tidak membawa keluar bahan-bahan yang berkaitan dengan kempen dan tidak memakai baju yang berkaitan dengan boikot Israel , atau seumpama dengannya.
Akhir sekali, peperiksaan semakin menghampiri kita, saya harap semua mahasiswa dapat menumpukan sepenuhnya kepada mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan dan hilangkan segala benda yang menghalang konsentrasi pembelajaran.
Berikut jumlah kutipan di setiap Muhafzah:
1) Tanta-LE 47,426
2) Kaherah-LE 85,515
3) Zaqaziq-LE 12,730
4) Mansurah-LE 62,994
JUMLAH KESELURUHAN-LE 208,953
Taqwa, Syifa', Rahmah ,
Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
Wallahualam
Muhammad Hanif bin Mahamud,
Timbalan Pengerusi 1,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 09/10
0 Comment