Mata melilau ke kiri kanan, atas bawah melihat suasana selepas Asar. Kalau di tanah air, memang nikmat petang-petang begini pabila minuman berais menuruni tekak, berselang dengan kuih-muih yang sebut sahaja nama, pasti dapat. Seronok. Tapi dia belajar bila di rantau orang, perut hanya perlu diisi 1/3 makanan, lagi 1/3 air, dan bakinya angin. Terfikir sudah berapa belas tahun perutnya seksa memproses muatan melebihi 2/3 setiap hari. Kasihan perut. Matanya meliar lagi, dan berasa seperti terkena kejutan elektrik melihat sepasang teruna dan dara berjalan berduaan nun di jalan bawah sana. Kedudukan di tingkat atas menyukarkan untuk mengecam identiti mereka, namun yang dia pasti, mereka bukan berstatus halal nikah atau mahram untuk berjalan berduaan begitu. Sebak, kala semua orang sibuk mengusung buku begini, sesetengah masih lagi ada masa mengulit teman berlawan gender ke sana ke mari. Tambah parah bila ada sebuah kereta lalu, mereka terdorong ke bahu jalan, tanpa sengaja lengan bersentuh, lagi malang bila ada sebuah masjid pula di sebelah. Dari jauh hanya mampu mengetap bibir geram, serasa seperti Rumah Allah itu terpalit kotor, lahiriahnya tak nampak. Geram,tapi hanya mampu diam.
Di hari lain pula. Berteksi pulang ke rumah, sudah tak tahan rasanya menanggung bahang panas sang matahari tegak di atas kepala. Memang berjalan kaki membakar lemak, tapi dengan suhu 40 darjah ini, bukan hanya lemak terhidrasi, air dan pigmen kulit turut menerima padah. Tidak mengapalah bersedekah 2 Genih pada Ammu teksi, tak luak mana syiling di saku. Tapi tiba-tiba, mata yang tidak boleh duduk senyap ini ternampak pula sepasang uda dan dara melintas jalan, betul-betul di depan mata. Menghindar bahaya, tangan muslim itu memegang tangan muslimah ketika melintas jalan. Sedih lagi, sudahlah tidak kenal mereka, tidak tahu pula bagaimana mahu menegur. Kesudahannya, tidak buat apa-apa. Geram, tapi hanya mampu senyap.
Pada minggu seterusnya. Rajin pula doktor mahu membuat kelas tuisyen kala masa-masa kritikal menghitung hari menjelang peperiksaan ini. Tapi tidak mengapa, jangan merungutlah wahai diri, doktor bermurah hati mengajar ilmu mengorban masa untuk kamu pun masih membebel itu ini. Sabar, insyaAllah ada berkatnya. Tapi yang tak seronoknya, bila sudah keluar rumah, kebarangkalian untuk bertemu dengan masyarakat melayu itu tinggi, dan banyak jugalah panorama tak ingin dilihat tertonton. Lagi, dia terserempak pula kumbang dan bunga berdua, mungkin baru pulang mengisi perut, tapi yang tak sedapnya kala malam-malam pukul 9 begini, bukankah lagi elok berada di rumah? Membebel lagi, hanya dalam hati. Geram, tapi tiada tindakan.
Entahlah, tak tahu sampai bila mahu terus diam senyap begini. Geram terluah hanya di bibir, tapi tangan langsung tak bergerak membantu menghilang resah. Selalu terngiang di telinga kata-kata seniornya, sudah berapa lama kita hidup? Kalau 23 tahun, maka selama itulah kita guna kaedah mencegah dengan hati, itu selemah-lemah iman. Tapi sampai bila? Sampai bila imannya lemah di situ, di takuk lama tak berganjak? Pernah juga dia ingin menegur, tapi selalu kekuatan dan semangatnya hilang tiba-tiba. Kenapa? Kenapa dia terlalu takut akan dimarahi, padahal dia cuba buat perkara yang betul? Kadang-kadang mengalir juga air mata, terfikir imannya terlalu lemah, perkara se’simple’ itu tak mampu dia buat, ada hati mahu jadi orang hebat! Perasan,sungguh perasan bagus dirinya!
Buat kawan-kawan yang dia sayangi, percayalah, bukan niat dia mahu menjeling atau buat muka buruk atau mahu jaga tepi kain orang bila lihat pasangan-berlawan-jantina-tanpa-ikatan-sah bila terjumpa, tapi dia tak tahu cara bagaimana mahu dilakukan, supaya ada hati tidak terbakar panas dan terasa kerana teguran, ada kawan yang tidak terjauh dan lari kerana marah. Buat pasangan-berlawan-jantina-tanpa-ikatan-sah ini, jika ada cara yang kalian fikir terbaik untuk dia guna buat menegur, tolonglah, bagitahu supaya dia tidak terus resah memikir. Supaya saudara sama-sama Islam yang dia sayang tahu bagaimana batas-batas sebenar hubungan lelaki dan perempuan yang dibenar dalam Islam. Dia takut, kelak di hari perhitungan, apakah mampu untuk dia atau mereka menahan api neraka yang jauh bagai langit dan bumi suhu panasnya dari bahang musim panas di Mesir sekarang ini! Nauzubillah, kita semua tak tahu bagaimana cara pengakhiran hidup kita di bumi Tuhan ini!
*Dia di dalam petikan adalah seorang pelajar yang cuba meluah rasa, terpanggil untuk bersuara bila terus-terusan melihat suasana rakan-rakan sekeliling yang makin hanyut. Mungkin video di bawah boleh sama-sama direnung, insyaAllah~ *
Dibawa khas kepada anda, bersempena KEMPEN BIAH SOLEHAH,
cintai Rasulullah, pemangkin biah solehah.
Disediakan Oleh:
Unit Penerbitan & Penerangan 09/10
Unit Penerbitan & Penerangan 09/10
0 Comment