Assalamualaikum,
Syukur kepada Allah Taala kerana izinNya , kita telah memasuki Bulan Ramadhan yang penuh barakah.
Sedar atau pun tidak, kita sudah pun mengakhiri sesi pengajian sesi 2009/2010. Keputusan peperiksaan bagi semua mahasiswa perubatan dan pergigian sudah pun diumumkan. Kepada yang berjaya, kami mengucapkan tahniah , dan kepada yang belum berjaya , kami mengharapkan usaha yang berterusan dan semangat yang tegar untuk bangkit semula meneruskan perjuangan.
Dalam semangat Ramadhan ini, Marilah sama-sama kita berubah ke arah yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Di dalam Ramadhan ini juga , marilah sama-sama kita menghapuskan penghambaan kita kepada nafsu atau sesiapa sahaja, kepada pengabdian diri kepada Allah Taala.
Sesuai dengan tujuan asal kedatangan Islam seperti diungkap oleh Rib’I bin Amir di hadapan Raja Rom,
“ Tuhan mengutuskan kami, untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki daripada penyembahan hamba kepada hamba kepada penyembahan kepada Allah, daripada cengkaman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”
Islam diutuskan adalah untuk menghapuskan segala ideologi yang bersikap penghambaan kepada dunia, materialistik , takut kepada sesetengah pihak, dan menukar kepada takut dan gerun hanya kepada Allah SWT.
Di dalam semangat Ramadhan kali ini, marilah sama-sama kita menjadi mahasiswa yang terbaik. Mahasiswa yang hidup , yang bebas daripada cengkaman fikiran sesetengah ideologi dan kejumudan pemikiran, dan menjadikan Islam sebagai asas kepada segala pencambahan pemikiran kerana sifat Islam sememang luas merangkumi segala aspek kehidupan. Di dalam sejarah mahasiswa, mahasiswa merupakan kelompok ketiga di dalam masyarakat yang boleh mempengaruhi masyarakat biasa. Sekiranya mahasiswa dibendung pemikirannya, maka mereka mungkin tidak dapat mempengaruhi dan mengubah masyarakat yang baik.
Keputusan peperiksaan kali ini menunjukkan sedikit peningkatan yang baik dari sudut peratusan mumtaz dan jayyid jiddan,jayyid. Tidak kurang juga ramai di kalangan kita gagal dalam pelbagai subjek. Kami , PERUBATAN Cawangan Mansurah sedia membantu kepada sesiapa sahaja terutamanya dalam menyediakan kelas-kelas intensif kepada sahabat-sahabat yang bakal menghadapi peperiksaan Dur Thani.
Semoga usaha yang sedikit dapat membantu kalian dalam mencapat kejayaan.
Akhir kata, Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik permulaan untuk kita berubah dan menjadi golongan yang menepati saranan Allah tentang hikmah berpuasa iaitu golongan yang bertaqwa.
“Cahaya Ramadhan Sinar Perubahan”
Ihya 2010
Muhammad Hanif bin Mahamud
Timbalan Pengerusi 1,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 09/10
0 Comment