Assalamualaikum warahmatullah,
Bismillah wa Alhamdulillah,segala puji bagi Tuhan sekalian alam atas segala nikmat dan rahmatnya yang melimpah ruah menyebabkan kita berada dalam nikmat iman dan Islam. Juga, selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga baginda serta para pembawa risalah kebenaran.
Di kesempatan ini, saya mewakili barisan pimpinan AJK PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) mengucapkan ahlan wa sahlan, selamat datang buat seluruh mahasiswa/i yang baru menjejakkan kaki ke bumi Mansurah ini. Tahniah saya ucapkan buat kalian kerana terpilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Mansurah ini. Hakikatnya inilah perancangan Allah buat kalian sehingga mempertemukan kita di bumi anbiya’ ini untuk sama-sama mengaut mutiara-mutiara ilmu di dataran Mansurah ini.
Kami bagi pihak PCM mengharapkan semoga mahasiswa/i baru sekalian dapat menyesuaikan diri dengan suasana/ biah di Mansurah ini. InsyaAllah, sebagai sebuah persatuan mahasiswa, PCM sentiasa komited dengan agenda kebajikan yang telah diperjuangkan saban tahun. Kerana itu, jawatan kuasa khas iaitu Jawatankuasa Program Sambutan Mahasiswa/i Baru (PSMB) telah ditubuhkan bagi memastikan mahasiswa/i baru terjaga kebajikan mereka terutamanya hal-hal berkenaan dengan akademik,keselamatan dan lain-lain.
Selain daripada fokus utama kita di sini iaitu untuk belajar ilmu perubatan, sama-samalah kita saling mengeratkan jalinan ukhuwwah Islamiyyah, menghidupkan suasana harmoni, beramah mesra terutama antara senior dan junior. Moga-moga berkat kebersamaan kita sesama muslim dengan saling tegur-menegur, nasihat-menasihati, sentiasa bantu-menbantu maka rahmat Allah akan sentiasa melimpahi bumi Mansurah ini.
Semoga kesempatan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Berusahalah bersungguh-sungguh sepertimana insan-insan yang kita sayangi telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan kita di Universiti Mansurah ini. Letakkanlah impian setinggi bintang walau kaki terpasak di bumi, kerana kita telah dikurniakan dengan segala kemampuan dan kehebatan untuk mencapai apa yang kita impikan.
Akhir kalam, semoga kita bakal menjadi seorang doktor yang sentiasa memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat, tanah air dan kepada agama Islam yang kita cintai ini. Sekian, siiru ‘ala barakatillah.
“ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI”
“AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”
AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH
Pemangku Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2009/2010
0 Comment