klik gambar untuk ke galeri
Pada hari Jumaat 1 oktober 2010, bertempat di padang Istad Gamaah, berlangsungnya satu acara yang menyatukan ikatan persahabatan antara siswa baru Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Mansurah yang terdiri daripada jurusan Perubatan, Pergigian dan juga Farmasi. Acara yang menggegarkan padang Istad Gamaah dari jam 6 petang sehingga tengah malam itu dikenali sebagai program Kau Kenal Aku. Proram ini telah menghimpunkan siswa dari pelbagai agensi; MedicMesir, GMN dan juga Yayasan Terengganu serta tidak lupa juga abang-abang fasilitator yang teruja dan gembira kerana berpeluang untuk berkenalan dengan adik-adik baru.
Sebelum program bermula, para siswa yang tiba awal meluangkan masa dengan beriadah bersama senior dalam perlawanan bola sepak. Program yang dipengerusikan oleh saudara Izzat Hadi dimulakan dengan ucapan Timbalan Pengerusi PCM 1, saudara Hanif Mahmud. Beliau menyuntik semangat para peserta program agar terus bersemangat dalam mengejar cita-cita menjadi seorang doktor disamping menimba ilmu-ilmu yang terdapat di bumi anbia ini.
Program berhenti berehat seketika untuk memberi laluan kepada para siswa untuk menunaikan solat maghrib. Solat maghrib yang diimamkan oleh saudara Nik Fareez telah diadakan di padang Istad Gamaah bagi menunjukkan agama Islam itu mudah dan kewajiban solat itu tidak akan gugur walau di mana jua kita berada.
Majlis kemudiannya bersambung selepas solat maghrib dengan nyanyian lagu tema PSMB iaitu ‘Akrab Persahabatan’. Seterusnya, pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung yang melibatkan para siswa serta fasilitator yang terlibat. Para peserta memulakan aktiviti pertama mereka dengan membuat satu bulatan besar dan menaaruf diri mereka. Sambil itu mereka mengikat benang di jari dan memberikan gulungan benang tersebut kepada siswa yang jauh dari mereka lalu membentuk satu ikatan yang menyerupai jaring labah-labah. Jaring labah-labah ini melambangkan bahawa terbentuknya satu ikatan persahabatan antara siswa-siswa.
Walaupun kelihatan penat setelah menjalani aktiviti harian pada siang hari, para siswa masih terus bersemangat untuk meneruskan acara ‘Si Tempang dan Si Buta’. Acara ini bertujuan untuk mengajar para siswa baru agar sentiasa bersama untuk mambantu dan melengkapkan kekurangan yang ada dalam diri. Program ini diikuti dengan acara ‘3 dalam 1’. Aktiviti ini menguji semangat kerjasama,toleransi dan keteguhan ukhuwwah yang baru dibina antara siswa dalam mengharungi sebarang ujian dan rintangan yang mendatang.
Sebelum majlis berakhir, satu sesi ‘Hati ke Hati’ diadakan bagi memberi peluang kepada siswa-siswa baru untuk merungkai segala kemusykilan yang menyelubungi benak fikiran mereka. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Rabitha, Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr dan para peserta dihidangkan dengan nasi lemak sebagai hidangan makan malam. Majlis berakhir jam 12.30 tengah malam.
Semoga aktiviti yang berunsurkan kesukanan seumpama ini mempunyai kesinambungannya dengan aktiviti yang lebih mencabar agar para siswa dapat meningkatkan kecergasan fizikal di samping mangasah kecerdasan mental mereka. InsyaAllah, matlamat kita untuk mengukuhkan kesatuan dan akrab persahabatan yang dibina dapat dicapai.
Disediakan oleh
Khairul Anuar b Khalid
0 Comment