Kepadatan pelajar sains kesihatan di Mansurah yang telahpun mencecah 1000 orang menuntut Unit Perumahan PCM berusaha mencari sebuah dewan yang mampu menampung jumlah yang ramai ini. Pencarian berakhir apabila dewan baru itu dijumpai, terletak berhadapan dengan Masjid 6th Oktober. Mengikut anggaran kasar,dewan baru PCM itu dikatakan dapat menampung hampir 350 orang pelajar pada satu-satu masa.
Persiapan akhir sedang rancak dijalankan pada ketika ini oleh pihak yang dilantik khas bagi mengubah suai dewan supaya lebih mesra pelajar. Dewan baru PCM yang berkeluasan kira-kira 200 meter persegi itu turut mempunyai dua buah tandas untuk kemudahan semua ahli. Untuk rekod, pada ketika ini semua aktiviti PCM berjalan di sebuah rumah 4 bilik yang disewa khas berlokasi di Tir'ah. Namun pertambahan pelajar secara mendadak tidak mampu lagi menampung semua ahli pada suatu-suatu masa.
Ketika pihak MediaPERUBATAN dibawa ke sana untuk meninjau keadaan dewan, persiapan akhir masih rancak dilakukan. Banyak kayu berteraburan dan dinding kayu juga masih belum dicat.Keadaan tandas juga baru 10 peratus siap. Hal ini menimbulkan sedikit keraguan dan tanda tanya kepada pihak MediaPERUBATAN. Adakah dewan tersebut dapat digunakan seperti tarikh yang diwar-warkan sebelum ini? Dan kenapa pula proses ubah suai berjalan terlalu perlahan?
MediaPERUBATAN kemudian menghubungi Saudara Mohd Rafiq Abd Hir, Ketua Unit Perumahan PCM sesi 09/10 yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dewan baru ini untuk mendapat penjelasan lanjut. Dalam pertemuan ringkas, beliau menyatakan keyakinan bahawa dewan tersebut akan boleh digunakan sepenuhnya bermula minggu hadapan. Tambah beliau lagi, kunci dewan akan diserahkan pada hari khamis ini. Pada masa yang sama, beliau juga sedang berurusan dengan pihak polis mesir (Amnu Daulah) untuk mendapat kelulusan bagi penggunaan dewan untuk dijadikan tempat perkumpulan pelajar Malaysia kelak.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Jawatankuasa Usaha Dana Dewan atau lebih dikenali dengan JAKUD iaitu Saudara Mohd Abu Ubaidah Mustapa Kamal berkata, beliau bersyukur kerana jawatankuasa ini banyak memainkan peranan untuk membantu mengumpul dana bagi membayar sewa dewan setiap bulan. Beliau memberitahu, setakat ini dana telah berjaya dikumpul sama ada tajaan individu mahupun syarikat dari Malaysia.
Mengakhiri perbualan,beliau menitipkan pesan kepada mana-mana ahli PCM yang berhasrat untuk menaja bayaran sewa dewan, mereka masih boleh berbuat demikian dengan cara menghubungi beliau sendiri ataupun melalui Timbalan JAKUD, Saudari 'Siti Fatimah Marosadee Pataepanang@Mohd Salleh.
oleh:mediaPERUBATAN MANSURAH
0 Comment