Basah & Gelap Bukan Penghalang

23 Disember, Mansurah - Walaupun terdapat perubahan tempat pada saat-saat akhir, Mentor Council, di bawah kelolaan Unit Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/11 berjaya mengadakan satu Seminar Mentor di Dewan Persada Jazirah Al-Ward. Seminar yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di Dewan PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) berubah tempat kerana dewan tersebut mengalami sedikit kerosakan dengan keadaan air yang bertakung di dalamnya.

Pendaftaran para peserta bermula pada pukul 4.15 petang dan mereka diberikan dengan sajian makanan semasa masuknya waktu solat maghrib bagi meraikan peserta yang berpuasa sunat. Para peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana diuji lagi dengan ketiadaan bekalan elektrik selama satu jam bermula daripada masuknya waktu solat maghrib.

Seminar ini dimulakan dengan bacaan doa lalu diselangi dengan bacaan Asma Al-Husna dan dendangan nasyid oleh semua peserta. Ucapan pembuka majlis disampaikan oleh saudara Muhamad Arif bin Mamat Noor, Ketua Unit Pembangunan Insan PCM 2010/11, lalu diteruskan dengan ucapan Ketua Mentor Council, saudara Ammar bin Abd Khalil. Seminar ini dirasmikan oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/11 sendiri, saudara Ahmad Azizi bin Md Jusoh dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Slot yang pertama dimulakan dengan sesi Muhasabah Mentor yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Unit Pembangunan Insan PCM 2010/11, saudari Nurul ‘Adilah binti Shuhardi. Kemudian, satu diskusi kitab atau ceramah berkaitan Dakwah Fardiah telah disampaikan oleh Dr. Shamsul Bakri bin Osman, Timbalan Pengerusi 1 PERUBATAN Cawangan Zagazig 2009/10, menggantikan penceramah jemputan, Ustaz Mujahid Fadzil.

Seminar diteruskan lagi dengan slot yang ketiga, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh saudara Mujahid Sabri bin Mohd. Peserta lelaki telah dibahagikan kepada empat kumpulan, manakala peserta perempuan dibahagikan kepada tujuh kumpulan, dan setiap kumpulan mempunyai seorang fasilitator. Peserta diminta untuk merangka satu jadual pengurusan masa untuk tempoh satu minggu bagi tugasan yang pertama dan pada tugasan yang kedua, perserta diminta untuk menyediakan satu lakonan berkumpulan. Tugasan pertama yang diberikan itu dibentang di hadapan fasilitator yang bertugas terlebih dahulu. Kemudian, slot ini dimeriahkan lagi dengan pembentangan setiap tugasan di hadapan khalayak ramai bagi kumpulan-kumpulan yang terpilih sahaja.


Seminar pada akhirnya dikendalikan oleh saudara Ammar bin Abd Khalil, dengan taklimat gerak kerja berpandukan lampiran yang telah diberikan kepada peserta serta misi dan visi Mentor Council 2010/11 dengan satu tayangan video. Seminar bersurai pada pukul 11.30 malam.

‘ILMUAN BERBAKTI,TEGUH SEHATI’

‘At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah’

Muhammad Zaki bin Zainal Abidin,

Ketua Unit Penerbitan & Penerangan,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/11.

Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment