[BERITA] - Trofi Kemenangan Milik Pasukan ''Mansoura-Manchester''

15 April 2011, Mansurah - Jika sebelum ini, Revolusi Mesir telah mengundang mehnah dan tribulasi kepada perjalanan aturcara Mansoura Premier League (MPL) ditangguhkan sehingga ke akhir tahun, namun ianya tidak mematahkan semangat Unit Sukan dan Aktiviti Luar, PERUBATAN Cawangan Mansurah untuk mengadakan satu perlawanan bola sepak ‘All Stars-Clash of the Titans’ yang melibatkan pertembungan antara pasukan ALL-STAR CONVENTIONAL ,ALL-STAR MANCHESTER, ALL-STAR DENTIST dan ALL-STAR SUPERSENIOR.

All-Star Mansoura-Manchester

All-Star Conventional

All-Star SuperSenior

All-Star Dentistry

Perlawanan yang berlangsung pada hari Jumaat, 15 April 2011 bertempat di Padang Stadium Universiti Mansurah itu telah menemukan 4 pasukan yang mana masing-masing berusaha keras merebut tempat untuk ke slot final dan seterusnya menjulang trofi kemenangan.

Bahang kehangatan perlawanan mulai terasa walaupun musim panas baru sahaja memasuki fasa awalnya. Perlawanan dimulakan seawal jam 2 petang dengan kehadiran penonton yang bersorak riang memberi semangat kepada pasukan masing-masing. Perlawanan pertama antara pasukan All-Star Conventional menentang pasukan All-Star Dentist sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat dan pengkritik sukan apatah lagi All-Star Conventional merupakan pasukan yang telah banyak merangkul kejuaraan dalam pertandingan sebelum ini. Jangkaan awal bahawa pasukan All-Star Conventional akan memenangi perlawaan ini ternyata tepat. Saudara Amin berjaya merobek gawang gol pasukan All-Star Dentist dengan 2 gol,manakala masing-masing 1 gol daripada Saudara Hairizal dan Saudara Imran menjadikan keputusan pesta gol 4 - 0 dan menjamin slot pasukan All-Star Conventional untuk ke final.

Perlawanan diteruskan dengan pasukan All-Star Manchester menentang pasukan All-Star SuperSenior. Kedua-dua pasukan ini dilihat akan memanaskan lagi pentas ‘Clash of the Titans’.Dari awal separuh masa pertama lagi, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan ke gawang lawan namun selepas wisel penamat dibunyikan kedudukan hanya seri 1-1. Selepas penalti, akhirnya maruah All-Star SuperSenior tercalar jua akibat kekalahan tipis 4-5 kepada pasukan All-Star Manchester.


Penentuan tempat ketiga dan keempat pada sebelah malam pula menghangatkan lagi suasana pada malam tersebut. Pasukan All-Star Dentist dengan semangat berkobar-kobar turun menentang pasukan All-Star SuperSenior yang mahukan kemenangan untuk mengembalikan maruah pasukan mereka yang tergadai. Saudara Arifudin, Saudara Abdullah Tahir dan Saudara Faisal Arif adalah mereka yang telah berjaya mengucar-kacirkan benteng pasukan All-Star Dentist dengan jaringan 3-0. Kekecewaan jelas terpancar pada raut wajah pemain All-Star Dentist,namun para pemain pasukan tersebut berjanji untuk memperbaiki prestasi pasukan pada masa akan datang.

Penentuan tempat pertama dan kedua membuatkan penonton tidak senang duduk. Kualiti permainan yang ditunjukkan harus dipuji memandangkan kedua-dua pasukan mahukan kemenangan dalam pertandingan ini. Pada awal masa, kedudukan 1-0 berpihak kepada pasukan All-Star Manchester, namun Saudara Azzam dari pasukan All-Star Conventional berjaya mencuri tumpuan dengan jaringan di lewat babak kedua seterusnya permainan diheret ke sepakan penalti.

Saudara Syamir menjadi tunjang kekuatan pasukan All-Star Manchester dengan berjaya menidakkan sepakan pasukan lawan dan akhirnya keputusan 4-1 berpihak kepada pasukan All-Star Manchester. Saudara Syamir juga dipilih oleh pihak urusetia sebagai ‘Man of the Tournament’ pada kali ini.

Keputusan Penuh ‘All-Stars: Clash of the Titans’

Juara: All-Star Manchester

Naib Juara: All-Star Conventional

Ketiga: All-Star SuperSenior

Keempat: All-Star Dentist

Majlis penutup dan penyampaikan hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi PCM Saudara Ahmad Azizi bin Md Jusoh. Dalam ucapannya, beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan aktiviti ini dan memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang program serta beliau juga berjanji untuk mengadakan lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti riadah selepas ini.

Tuntasnya, aktiviti ini telah berjaya mencapai objektif untuk menyuburkan ikatan persaudaraan sesama pelajar .Majlis bersurai pada pukul 9.45 malam setelah semua pemain bergambar bersama trofi kemenangan masing-masing.


Disediakan oleh,

Azrizan Bakir,

mediaPERUBATAN Mansurah.


Album gambar sekitar perlawanan (Klik pada pautan) :

Facebook

Picasa



Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment