[MOTIVASI] - Niat & Azam

Ombak Tsunami ‘final exam’ semakin dirasai oleh mahasiswa mahasiswi perubatan Universiti Mansurah. Semua siswa dan siswi, dari perubatan konvensional, Manchester, pergigian dan farmasi, masing-masing kelihatan begitu tekun belajar bagi menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Namun, pergolakan di Mesir yang telah mencipta satu revolusi yang sangat hebat dalam kalangan penduduk Mesir sedikit sebanyak telah menjejaskan pengajian siswa dan siswi Malaysia Mesir. Kesannya, dengan tarikh peperiksaan yang tidak dianjak, waktu yang diberikan untuk ‘study leave’ tidak begitu panjang seperti tahun-tahun sebelumnya . Walaupun ada ura-ura mengatakan tarikh peperiksaan telah dianjakkan, namun ianya masih lagi tidak mencukupi bagi sesetengah pihak memandangkan masih banyak silibus yang belum dihabiskan dan itu bermakna waktu kuliah masih penuh walaupun peperiksaan semakin menghampiri.

Senario yang dialami oleh siswa dan siswi ini tidak mustahil akan menyebabkan mereka merasai pelbagai tekanan. Jika sesuatu tekanan hidup tidak dibenteng dan diatasi dengan akidah dan iman yang mantap, maka akan banyak anasir-anasir yang negatif akan begitu mudah menyelusup masuk kedalam kehidupan kita sebagai seorang hamba ALLAH yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan.

Justeru itu, apakah yang harus dilakukan oleh seseorang mahasiswa dan mahasiswi apabila mereka berhadapan dengan tekanan dalam hidup secara umumnya dan berhadapan peperiksaan secara khususnya?

Disini ada satu tips untuk dikongsi bersama. Caranya sangat mudah dan biasa dilakukan oleh kita, cuma mungkin hanya kerana kita tidak melakukakannya dengan sepenuh hati, maka ia seumpanya tidak memberi apa-apa kesan. Apakah sebenarnya tips yang dikatakan itu???

Caranya seperti ini:

Jika Anda dimarahi seseorang, dilanda tekanan, jika, berada didalam kemurungan, stress, atasi semuanya dengan ucapan lafaz istighfar sepenuh hati.

Ucapkan istighfar dengan nada suara berbisik, pejamkan mata dan rasai rasa kehambaan.

Hadirkan rasa sesalan seikhlas hati.

Lafaz istighfar apabila diucap dengan hati yang ikhlas memohon kemaafan akan dapat membuat rasa tertekan, rasa terpukul, kecewa, rasa tidak bersemangat hilang secara perlahan-lahan.

Amalkan selalu saranan ini agar dapat merasai kesannya secara mendalam..

Maka dapat disimpulkan dengan hanya mendekatkan diri dan mengingati ALLAH akan membuat hati kita sentiasa tenang. Kenapa tidak,cuba anda fikirkan, masalah dan kesulitan hidup,bukankah semua itu ALLAH yang berikan? Maka kenapa tidak kita dengan penuh rasa kehinaan kembali kepada ALLAH dan memohon hanya kepadaNYA untuk diberikan kekuatan dalam menghadapi segala permasalahan dan tekanan hidup.

Sebagaimana firman ALLAH swt :

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat ALLAH.Ingatlah,hanya dengan mengingati ALLAH,hati menjadi tenang. (Ar Ra’d:28)”

Namun dalam keasyikan kita menelaah pelajaran, masih ada dalam kalangan sahabat-sahabat kita yang masih lagi terumbang-ambing kehidupannya. Apabila ditanya masalah yang mereka hadapi, ada yang menjawab mereka masih tidak ada hala tuju didalam kehidupan mereka. Kabur tentang matlamat hidup sendiri merupakan satu masalah yang besar. Teringat kata-kata seorang ustaz,”apabila manusia mengatakan tidak tahu untuk apa mereka hidup di dunia dan tidak tahu apa yang akan mereka akan hadapi di akhirat kelak, maka itu pasti berkait dengan masalah akidah yang masih belum mencapai tahap yang selamat”.

Awas! ketahuialah keadaan ini amat berbahaya pada kita. Perlu diingatkan penciptaan kita tidak sama sebagaimana penciptaan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Akal yang dianugerahkan oleh Allah menjadikan kita makhluk ciptaanNya yang terbaik berbanding makhluk lain. Subhanallah! Maka gunakanlah ia dengan sebaik mungkin dan selari dengan syariat Islam. Dan ingatlah tidak diciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadat dan menyembah ALLAH SWT.

Apabila matlamat hidup sudah kita tetapkan dengan jelas, maka akan timbul satu persoalan apakah kaitannya belajar dengan matlamat hidup menyembah ALLAH? Jawapannya adalah setiap perbuatan manusia seandainya diniatkan kerana ALLAH pasti akan diganjari pahala, bahkan tidur sekiranya diniatkan untuk berehat seketika bagi mengumpulkan tenaga untuk beribadat selepas bangun juga dianggap ibadat. Perkara dunia apabila diniatkan untuk akhirat maka ia tetap dikira oleh ALLAH sebagai saham untuk hambaNya di akhirat kelak. Lihatlah, betapa ALLAH itu Maha Sempurna.

Oleh yang demikian, niatkanlah belajar itu kerana ALLAH. Pelajarilah ilmu perubatan untuk membantu pesakit dan orang-orang yang memerlukan. Bukankah ianya adalah salah satu kebajikan? Didalam firman Allah;

Bantu membantulah kalian di atas kebaikan dan ketakwaan” (Al-Maidah:2)

Kita haruslah berusaha semampu yang mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan akhir ini. Pasanglah azam untuk berjaya dengan cemerlang demi memberikan sumbangan untuk Islam satu hari nanti. Bagi mereka yang masih kabur dalam menetapkan azam dalam kehidupan, di sini ada beberapa tips khusus buat anda.

Berikut adalah senarai 5 tips ringkas bagaimana menetapkan azam baru, sesuai dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan kita.

1. Niatkan Azam Itu Kerana Allah.

Niatkan azam Anda kerana Allah. Anda mahu capai azam yang Anda set kerana Allah. Tanamkan kepercayaan yang DIA mahu melihat Anda menjadi muslim serta muslimah berjaya supaya dengan kejayaan itu, Anda boleh ajak muslim dan dan muslimah lain untuk berjaya seperti Anda. Andalah menjadi bukti bahawa kejayaan adalah possible, bukan impossible. Anda menjadi bukti Allah buka jalan kepada sesiapa saja yang berusaha.

2. Anggap Kerja Keras Ke Arah Pencapaian Azam Sebagai Ibadah.

Usaha memburu kejayaan sebenarnya satu ibadah, yakni ibadah sunat. Tiap kali berusaha, niatkan kerana Allah supaya apa yang Anda buat menjadi ibadah. Moga apa yang Anda lakukan di balas dengan pahala, sebab menjadi ibadah. Moga dengan itu, jalan untuk Anda berjaya dipermudahkan, tanda keredhaan Allah kepada usaha Anda. Bekerja dan berusaha untuk mencapai apa jua azam adalah cara untuk Anda mendekati Tuhan. Tanpa niat, apa yang Anda lakukan tidak menjadi ibadah.

3. Lebihkan Hablum Minannas, Jangan Kurangkan Hamblum Minallah.

Apa yang jua yang Anda capai,pastikan Anda mendahulukan Yang Maha Esa. Berbaktilah kepada orang sekeliling supaya dengan itu Anda mendapat redha Allah. Set azam untuk berbakti kepada insan di sekeliling Anda walaupun masa untuk diri anda sendiri tidak mencukupi.Jangan jadikan waktu yang suntuk ini untuk anda bersikap mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan hak-hak anda terhadap orang sekeliling. Erti takwa yang sebenar adalah rasa terdorong untuk berbakti kepada orang sekeliling sebanyak mungkin (hablum minannas) dalam masa yang sama tetap menjaga hubungan erat dengan Tuhan (hablum minallah). Pastikan azam Anda tu mendorong Anda untuk berbakti kepada orang sekeliling, supaya jalan untuk Anda mencapai azam Anda dibuka serta dipermudahkan.

4. Set Untuk Kebaikan Bersama.

Apa jua yang Anda mahu capai sebagai azam Anda, niatkan untuk kebaikan bersama bukan untuk kepentingan peribadi Anda seorang. Islam galakkan kita buat sesuatu untuk kebaikan bersama Anggap kejayaan yang Anda mahu capai adalah untuk kebaikan bersama. Jika Anda mahu menjadi suami cemerlang, niatkan untuk kebahagiaan isteri dan anak-anak Anda.Begitu juga jika Anda mahu Berjaya dalam peperiksaan,niatkan juga untuk berikan hadiah kepada insan tersayang seperti ibubapa dan adik beradik anda dan niatkanlah juga untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan khidmat anda satu hari nanti.Dan yang paling penting,jadikan kecemerlangan akademik anda hari ini untuk menarik minat manusia lain kepada ajaran Islam.

5. Elak Dikuasai Ego, Elak Merasa Diri Lebih Bagus.

Jangan set azam semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Jangan set azam semata-mata untuk bermegah. Jangan set azam Anda pada orang biasa-biasa untuk membuat mereka kagum pada Anda. Amalkan 4 tips di atas langkah demi langkah . Anda akan mempunyai dorongan motivasi untuk bergerak mencapai azam Anda. Tapi jika azam tu di set hanya untuk menunjuk-nunjuk, untuk bermegah, untuk bermewah-mewah, usaha Anda ke arah azam itu akan mengalami kesukaran.

Anda tak akan ada motivasi. Anda akan hilang semangat, hilang inspirasi. Anda akan tertekan. Anda tak mencapai satu apapun, Anda akan gagal, usaha lagi, gagal lagi. Jika Anda kerap gagal, pasti ada ‘something wrong’ dengan nawaitu Anda. Mungkin Anda mahu berjaya sebab Anda nak menunjuk-nunjuk kehebatan dengan rasa megah, bukan untuk berbakti.

Selamat beramal. Bitaufiq wannajah! - Unit Pembangunan Insan PCM 2010/11

Penulis: BINTUYUSOF

Tags: , , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment