[Artikel] Azab Tanpa Sedar

"Kenal tak Justin Bieber ?"

Sebut sahaja nama itu , pasti secara automatik anda akan terbayang seorang remaja berkulit putih belasan tahun , berambut perang dan memakai pakaian berwarna ungu dan putih yang sedang menari sambil menyanyi lagu Baby . Penyanyi yang berasal daripada Stratford, Ontario, Canada ini telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia hanya dengan memuat naik video nyanyiannya di laman Youtube , sehinggakan dia pernah terpaksa membatalkan persembahannya di beberapa tempat demi menjaga keselamatannya gara – gara peminat – peminatnya yang kebanyakannya terdiri daripada gadis remaja bertindak di luar kawalan .

Baiklah , kalau bercerita tentang Justin Bieber ini mungkin 3 mukasurat pun tidak mencukupi , sekarang saya nak tanya ,

“ Kenal tak Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais ? “

*Terdiam , hanya satu sahaja perkataan yang menjelma dalam fikiran : Ulama’ ? “*

Mungkin jika saya bertanyakan soalan ini kepada pakcik – pakcik , makcik – makcik atau sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke tanah suci Mekah , paling kurang pun mereka akan menjawab "Imam Masjidil Haram" . Kawan – kawan , tokoh agama yang berasal daripada Riyadh , Arab Saudi ini pernah dianugerahkan sebagai "Islamic Personality Of the Year" pada tahun 2005 . Beliau sudah menghafal Al Quran sejak berumur 12 tahun lagi . Dari sudut pendidikan , beliau mempunyai ijazah PHD dalam bidang Syariah Islamiyyah dari Universiti Umm al Qura’ . Seringkali kita dapat menatap wajahnya di kaca televisyen pada bulan Ramadhan , ketika siaran langsung solat tarawih di Masjidil Haram dipaparkan .

Jadi ? Apa yang cuba saya sampaikan dengan menceritakan peribadi dua personaliti yang berbeza di atas ?

Baru – baru ini tanah air kita Malaysia telah menjadi salah satu destinasi dalam siri konsert Justin Bieber My World Tour . ‘Wall’ pada laman Facebook penuh dihujani dengan komen , status dan sebagainya mengenai kunjungan remaja berumur 17 tahun ini . Malah , menurut akhbar utama , seramai 17 ,000 rakyat Malaysia telah menghadiri konsert yang telah diadakan di Stadium Merdeka pada malam 21 April lepas . Wah . Nampaknya peminat – peminat yang digelar ‘ Beliebers ‘ di Malaysia juga tidak kurang hebatnya .

Namun , ramai antara kita yang tidak tahu , bahawa pada masa yang sama Syeikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais juga berada di Malaysia untuk lawatan selama 5 hari . Penulis sendiri pun mendengar khabar berita daripada seorang kenalan di Malaysia , dan selepas itu barulah sedikit demi sedikit berita mengenainya terpampang di blog – blog serta akhbar online . Pelik bukan , kunjungan orang yang berilmu , tambahan pula ilmu agama kita pandang dengan sebelah mata sahaja berbanding selebriti .

AZAB TANPA SEDAR

Beberapa minggu lepas kita digemparkan dengan berita tsunami besar di Jepun . Bencana alam yang berlaku di negara matahari terbit tersebut telah meragut banyak nyawa di samping kerugian yang besar jumlahnya . Kita amat mengenali Jepun sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya menganut agama Shinto , dan berkembang pesat terutamanya dari sudut teknologi dan maklumat serta dalam bidang hiburan . Sesetengah individu , apabila membaca tragedi yang melanda negara itu pasti membuat kesimpulan bahawa inilah azab yang ditimpakan Allah atas sebab kekafiran mereka . Malah , ada juga yang menambah ,

“Nasib baiklah aku duduk di Malaysia , negara Islam , insyaAllah bala daripada Allah tidak menimpa di sini .”

Penulis ingin menimbulkan persoalan , benarkah kita di Malaysia tidak diazab oleh Allah ? Pada pandangan mata kasarnya , ya . Setakat ini , kita belum ditimpa apa – apa musibah yang dahsyat sepertimana yang berlaku pada negara – negara lain , namun pada hakikatnya , kita juga sedang diazab tanpa kita sedari . Maaf , saya bukanlah berniat untuk berkasar , namun dengan perbandingan antara dua personaliti di atas sudah menunjukkan petanda – petandanya . Azab yang ditimpakan ke atas kita ialah , kurangnya para ulama’ (orang yang pandai agama) dan ramainya orang yang jahil dalam agama .

Mungkin perkataan jahil itu nampak kasar , tetapi kita harus menerima hakikat tersebut . Terlalu banyak contoh yang boleh disenaraikan , antaranya kita semakin mengabaikan hukum – hakam Islam dalam pelbagai aspek kehidupan . Perhubungan antara lelaki dan perempuan tidak dijaga , punca rezeki yang halal atau haram dipandang ringan , malah kita juga tidak memahami dan berusaha untuk memahami bacaan – bacaan dalam solat , apatah lagi ayat – ayat suci Al Quran . Ilmu – ilmu berkaitan dengan agama tidak dipelajari , dan seringkali orang yang cuba mempelajari ilmu agama ini direndah – rendahkan . Jika azab bencana yang menimpa di Jepun tadi jumlah korbannya sudah mencapai dalam beberapa ribu , azab yang menimpa kita ini lagi banyak mangsanya .

KENAPA DITIMPAKAN AZAB SEDEMIKIAN ?

“Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Atau jika tidak, Allah akan menurunkan azab ke atas kamu semua, kemudian kamu berdoa kepadaNya, maka doa kamu tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadith di atas sudah cukup menerangkan mengapa kita diazab sedemikian . Amar makruf nahi mungkar yang menjadi kewajipan buat kita semakin lama semakin diabaikan , dan kita berasa tanggungjawab ini hanya layak diserahkan kepada pihak – pihak tertentu seperti jabatan agama dan sebagainya . Saban hari kita tiada lagi rasa benci apabila melihat kemungkaran , dan kita semakin malas untuk menyeru untuk berbuat kebaikan . Cuba perhatikan di sekeliling kita , perkara – perkara maksiat semakin berleluasa dan seolah – olah ianya merupakan satu perkara biasa dalam masyarakat sekeliling . Kenapa ? Kerana tiada yang mencegah serta memberi peringatan kepada mereka , menyebabkan mereka berasa perkara yang mereka lakukan itu tidak salah disebabkan kejahilan mereka .

TERLALU MENCINTAI KEDUNIAAN

Bersabda Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam “Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan makanannya.” Maka seseorang bertanya: ”Apakah karena sedikitnya jumlah kita?” ”Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih mengapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud 3745)

Semasa penulis berkunjung ke sebuah kedai buku di tanah air sewaktu cuti dahulu , penulis sempat menyaksikan perbualan antara seorang ayah dan anak , di mana sang anak meminta ayahnya untuk membelikan buku yang berada di tangannya . “Iskandar Zulkarnain” terpampang pada muka hadapan buku tersebut . Sang ayah mengambil buku tersebut , menelitinya dan berkata kepada anaknya :

“Adik nak ke buku ni ? Masuk exam ke ?”

Penulis hanya tersenyum selepas mendengar perbualan tersebut . Begitulah realiti kehidupan sekarang . Ramai orang terlampau mengejar keduniaan sehingga mereka lupa tentang soal akhirat . Ramai yang berusaha untuk cemerlang dalam peperiksaan dunia , namun mereka lupa untuk berusaha untuk cemerlang di akhirat . Ibubapa sibuk menghantar anak – anak ke pusat – pusat tuisyen , menghabiskan masa dan wang mereka demi melihat anak – anak menggenggam segulung ijazah , tetapi mengabaikan pendidikan agama dalam diri anak – anak , menyebabkan mereka kurang memahami ajaran Islam yang sebenar . Tambahan pula , budaya barat yang diagung – agungkan juga membuat mereka berasa kurang izzah akan Islam . Majlis hiburan yang diadakan walaupun sejauh manapun mereka sanggup pergi , namun untuk ke majlis – majlis ilmu , walaupun di masjid sebelah rumah dibiarkan sepi . Maka , tinggallah Islam sekadar menghiasi kad pengenalan mereka sahaja .

KESIMPULAN

Selaku seorang muslim , banyak yang kita harus muhasabah tentang pengamalan Islam dalam kehidupan kita . Kita mudah mengucapkan di mulut , “Islam is the way of life” , namun adakah apa yang kita lakukan dari perkara yang kecil sehingga perkara yang besar itu bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar . Tanamkan semangat menuntut ilmu terutama ilmu agama yang menjadi kewajipan buat kita serta laksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar yang diberikan kepada kita . Ambillah iktibar dari azab yang ditimpakan ke atas kita tanpa kita sedari ini , dan semoga Allah mengampunkan dosa – dosa kita yang lalui disebabkan kejahilan diri kita sendiri . Wallahualam .


Desediakan oleh : AMMAR B MOHAMAD ZIYADI ( Tahun 2 Konvensional )

Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment