[ARTIKEL] Peribadi Mulia Melahirkan Insan Yang Hebat



Dalam satu kisah, memaparkan peribadi unggul seorang pemimpin iaitu Umar Abdul Aziz. Dikatakan pada suatu malam biasanya Umar keluar untuk mengetahui keadaan rakyatnya dengan ditemani seorang pengawal. Ini adalah antara rutin harian Umar sejak beliau dilantik menjadi khalifah. Ketika memasuki sebuah masjid, Umar mendekati seseorang yang sedang tidur lalu tersadung olehnya.

Suasana pada waktu itu gelap. Lelaki itupun mengangkat kepalanya dan berkata, “Gilakah engkau?” Lantas Umar menjawab, “Tidak!”. Kemudian melihat keadaan itu pengawal Umar cuba untuk memukul lelaki tersebut, namun Umar berkata, “Jangan, dia hanya bertanya kepadaku apakah aku gila? Akupun jawab saja, tidak.”

Renunglah kisah tersebut dengan teliti. Betapa tenangnya Umar walaupun seorang khalifah dan mampu untuk menghukum lelaki yang bercakap kasar terhadapnya namun masih mampu bersabar malah melarang pengawalnya daripada mengambil tindakan. Kalaulah kita yang terlibat dalam kisah tersebut, mampukah kita meneladani Umar?

Walaupun ia salah satu kisah pendek diantara timbunan kisah agung seorang khalifah yang bernama Umar Abdul Aziz, tentu sekali ia mampu untuk dijadikan contoh terbaik buat sesiapa sahaja sekarang ini yang bergelar pemimpin bahkan terselit dengan pengajaran dan teladan. Mereka yang telah ataupun yang bakal diangkat oleh rakyat atau sesuatu kelompok manusia sebagai pemimpin wajar untuk mengikuti jejak Umar Abdul Aziz ini.

Turunlah ke bawah dan tinjaulah denyut nadi rakyat. Pemimpin yang baik ialah yang mampu memikul tanggungjawab dengan ikhlas dan sentiasa takut kepada hitungan di akhirat kelak. Pemimpin yang baik tidak sombong dengan orang yang dipimpinnya serta dari awal lagi telah me’waqaf’kan dirinya untuk mereka.

Firman Allah : “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” [Surah Luqman (31) : Ayat 18]

Sesungguhnya kisah-kisah insan hebat masa silam terkandung pelbagai hikmah dan panduan buat generasi akan datang, terutama untuk kita sebagai umat akhir zaman. Bacalah, kajilah, renungilah dan teladanilah mereka. Peribadi mulia melahirkan insan yang hebat.

Rasulullah SAW pernah ditanya tentang perkara yang membuatkan ramai manusia dimasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda berkata : “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” [Hadith Riwayat Tarmidzi]


Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment