[Artikel] Di Peringkat Manakah Puasa Anda ?


Alhamdulillah, syukur kepada Allah, kerana masih memberi peluang kepada kita untuk menikmati bulan Ramadhan yang mulia ini. Cuba kita bayangkan, andai nyawa kita diambil sebelum kita berbuka puasa pada hari ini. Bersediakah kita? Adakah puasa kita hari ini diterima olehNya? Adakah puasa kita hari ini diliputi pahala dan amalan? Ataupun hanya diselaputi dosa dan maksiat semata? Tanya diri anda, kerana hanya anda dan Allah sahaja yang tahu.


Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyebut, terdapat tiga peringkat puasa, iaitu :

1. Puasa al-umum : Menahan perut dan kemaluan dari memenuhi kehendak syahwat. Puasa pada tahap ini adalah paling rendah, iaitu puasa orang awam. Puasa sebegini hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa.

2. Puasa al-khusus : Menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan dosa. Puasa di tahap ini adalah di tingkatan kedua iaitu puasa orang khas. Mereka juga akan cuba menjaga akhlak dan melakukan pekara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.

3. Puasa Khusus al-khusus : Menahan hati dari keinginan yang buruk dan dari memikirkan sesuatu selain dari Allah secara total. Mereka menganggap puasa mereka akan terbatal jika mereka memikirkan perkara-perkara selain dari Allah dan hari akhirat. Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk dalam bekalan akhirat dan bukan urusan dunia. Di tahap ini adalah di tingkatan ketiga iaitu puasa yang paling khas sebagai contoh puasa para nabi, al-Siddiqin dan al-Muqarrabin. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada ALLAH.




Bagaimana untuk mencapai puasa tahap yang ketiga ini?

Menurut Imam al-Ghazali juga bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh maka perlu menyempurnakan 6 perkara iaitu:

1. Menundukkan pandangan dan menahan dari melihat perkara yang tercela dan dibenci oleh syariat serta dari segala perkara yang boleh menggangu dan melalaikan hati dari mengingati Allah S.W.T.

2. Memelihara lidah dari menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran.

3. Menahan dari mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan maka haram juga didengar. Justeru, Allah Menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya:

4. Menahan anggota tubuh badan dari melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki dari perkara yang dilarang dan menahan perut dari perkara-perkara syubhat ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahannya dari makanan halal tetapi berbuka dengan makanan haram.

5. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan tersebut. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah dari perut yang penuh dengan makanan halal. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu mematahkan keingginan syahwatnya dan mengalahkan musuhnya sedangkan ketika berbuka ia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika ia berpuasa pada siang harinya. Hingga sesetengah mereka memakan makanan yang tidak biasa dimakannya ketika hari tidak diwajibkan berpuasa.

6. Hendaklah timbul dalam hatinya rasa takut dan penghargaan kepada Allah, kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima oleh Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya, ataupun puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang yang celaka.

Kedudukan atau peringkat puasa kita sebenarnya ditentukan oleh diri kita sendiri. Peringkat pertama, kedua atau ketiga? Pilihlah mana-mana yang kita kehendaki atau yang kita suka, kerana semuanya terletak ditangan kita. Semakin banyak usaha yang kita lakukan untuk kualitikan puasa, semakin tinggi peringkat yang Allah akan beri pada kita. Akhir sekali, berpuasalah seolah-olah Ramadhan kali ini, atau puasa pada hari ini, adalah puasa Ramadhan terakhir yang Allah beri untuk kita. Selamat Beramal!



Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment