Dato' Saifuddin-PERUBATAN: Isu Hak Berpolitik Siswazah Mesir Menjadi Topik Utama

(Dato' Saifudin mencurahkan nasihat serta harapan kepada siswazah Mesir)

6 Oktober 2011, Kuala Lumpur – Suasana petang Khamis yang redup menyaksikan pertemuan penuh makna wakil Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) diketuai oleh Muhammad Abu Ubaidah Mustapa Kamal bersama Lina Emilia Ahmad Dani, Nurul Hafiza Mohd Azmi dan Siti Umairah Misnan bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah beserta pegawai-pegawai khasnya bertempat di Starbucks Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

Pertemuan ini dimulakan dengan pengenalan PERUBATAN dan PERUBATAN Cawangan Mansurah. Seterusnya adalah penerangan dan penyerahan proposal berkaitan beberapa isu berkenaan mahasiswa mesir. Pertemuan ini yang bertujuan untuk membuka minda mahasiswa Mesir telah dirancang sejak awal lagi oleh barisan pimpinan, namun disebabkan beberapa kekangan maka tidak memungkinkan pimpinan pusat turut serta lalu diwakilkan kepada PERUBATAN Cawangan Mansurah sahaja.

Antara isu yang dibawakan dalam proposal PERUBATAN ini adalah berkenaan kebebasan mahasiswa bersuara. Warga Malaysia secara umumnya maklum mengenai sekatan kepada mahasiswa oleh pihak atasan dalam menyuarakan pandangan . Ini jelas dilihat dalam hal perhimpunan sempena BERSIH 2.0 sebagai contoh, arahan berbaur ugutan, keengganan membenarkan mahasiswa berurusan di Education Malaysia (EM) dan isu kritikan berkenaan penafian hak Ustaz Mohd Firdaus Madzlan daripada Darul Ifta’ Misriyyah secara membuta tuli. YB Dato’ secara peribadi kurang bersetuju dengan tindakan yang telah diambil dan berjanji untuk mengkaji semula kes ini.

(YB Dato' Saifuddin mendengar khusyuk penjelasan isu berkenaan siswazah Mesir)


(Proposal yang mengandungi pengenalan isu,
pendirian PERUBATAN serta cadangan untuk tindakan)

Isu kewujudan agensi swasta yang bermasalah turut dibangkitkan dan pihak kami menawarkan alternatif untuk mempromosikan pendaftaran melanjutkan pelajaran ke Mesir melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan lebih berkesan di masa hadapan, agar isu polemik ini dapat ditangani sewajarnya.

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan Education Malaysia (EM) Egypt pula, beberapa cadangan yang dikemukakan adalah mengkaji semula penghantaran dan menilai prestasi gerak kerja pegawai dalam perkhidmatan kepada mahasiswa mahasiswi di Mesir bagi mengelakkan unsur ketidakprofesionalisme dalam perkhidmatan dan perlu sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, selain menambah bilangan pegawai sedia ada dan berusaha mewujudkan cawangan baru EM di Mansurah, agar gerak kerja hubungan dua hala dapat dipertingkatkan lagi.

Kami sempat berbincang dan bertukar pendapat bersama YB Dato’ akan rasional keterlibatan pelajar luar negara khususnya Mesir dalam politik kepartian memandangkan tiada keterikatan secara khusus dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU), serta cadangan Pengarah EM untuk mewujudkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di samping keberadaan PERUBATAN dan PMRAM serta persatuan-persatuan lain. Antara cadangan yang disambut baik oleh YB Dato’ adalah lawatan berkala beliau ke Mesir dan secara khusus ke Mansurah.

Secara keseluruhannya, berkenaan proposal yang dihantar, beliau memahami isu yang disampaikan dan menerima cadangan tindakan yang disuarakan oleh pihak PERUBATAN. Beliau juga berjanji untuk menyemak dan menyiasat semua isu serta memastikan tindakan yang diambil adalah profesional dan mengambil kira pandangan dan aduan semua pihak yang terlibat.

Beliau juga tidak lupa menyampaikan amanatnya kepada seluruh mahasiswa Mesir agar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu akademik dan juga ilmu pembinaan sahsiah diri. Ini dilihat penting memandangkan antara kelemahan utama mahasiswa kini adalah kurang pemikiran kritis dan kemahiran komunikasi. Kesempatan berada di luar negara harus dimanfaatkan sebaiknya dengan melibatkan diri dalam komuniti secara aktif seperti aktiviti persatuan kerana ini adalah medan yang terbaik untuk menimba pengalaman bagi mendepani cabaran mendatang.

Pertemuan yang tamat pada pukul 7.45 malam ini diakhiri dengan sesi bergambar penyerahan proposal PERUBATAN kepada YB Dato’ Saifuddin. Ditemui di Mansurah, Muhammad Abu Ubaidah menyatakan penghargaan kepada Dato' Saifuddin di atas kesudian mengadakan pertemuan dan kesediaan untuk membantu siswazah Mesir,"Dengan izin Allah, perbualan dan wawancara saya bersama Dato' Saifuddin akan dihidangkan untuk siswazah Mesir" katanya mengakhiri temuramah.

Disediakan Oleh:

Nurul Hafiza bt Mohd Azmi






Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment