Bismillah.
Baru-baru ini, ramai pula ustaz yang bertanyakan keadaan gigi mereka. Ada yang katanya longgar, ada yang bernanah, ada yang gusi mudah berdarah, ada yang warna hitam muncul di gigi.
Jawab saya mudah saja : "Enta pi buat regular check up dengan doktor gigi."
Habis bising mereka kata mahal lah, takut lah, cuak dengan 'drill', takut doktor cabut gigi lah dan macam-macam lagi alasan.
Apapun, saya bukanlah yang selayaknya untuk memberikan jawapan yang tepat berkaitan rawatan secara spesifik. Soalan yang paling popular yang selalu ditanyakan ialah "Kenapa gusi berdarah?" Mari kita lihat kenapa.
Apakah penyakit periodontal?
Penyakit 'periodontal' atau penyakit gusi ialah jangkitan bakteria kronik yang melibatkan gusi dan tulang yang menyokong gigi. Penyakit periodontal boleh melibatkan sebatang gigi atau lebih.
Apakah puncanya?
Penyakit 'periodontal' disebabkan oleh bakteria di dalam plak (selaput gigi yang melekit dan tidak berwarna). Jika tidak dibersihkan menggunakan berus gigi dan flos setiap hari, plak boleh bertambah (dan menjadi keras membentuk tartar) dan bakteria ini juga akan menjangkiti tisu gusi dan tulang yang menyokong gigi. Jika proses ini berterusan, gigi menjadi semakin longgar. Poket gusi iaitu suatu ruang akan terbentuk di antara gigi dan gusi, dan membenarkan lebih banyak bakteria berkumpul.
Siapa yang berisiko?
Penyakit gusi boleh memberi kesan kepada mana-mana kumpulan umur, termasuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia paling banyak melibatkan orang dewasa. Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko ialah:
• Merokok, ber-syisya atau mengunyah tembakau
• Penyakit seperti kencing manis
• Gigi serong dan tidak teratur
• Tampalan gigi yang telah rosak
• Kehamilan atau penggunaan pil pencegah hamil
Apakah tanda-tanda penyakit periodontal?
Penyakit ini boleh berlaku tanpa tanda peringkat awal. Oleh itu, pemeriksaan gigi yang kerap sangat penting untuk diagnosis awal.
Tanda-tanda biasa termasuk:
• Gusi merah, bengkak dan lembut
• Gusi berdarah sewaktu memberus gigi
• Gusi menyusut dari gigi
• Nafas berbau atau rasa di dalam mulut yang tidak menyenangkan
• Nanah di antara gigi dan gusi
• Wujud ruang di antara gigi
• Gigi longgar
Apakah peringkat-peringkat penyakit periodontal?
Gingivitis adalah peringkat awal penyakit 'periodontal' yang hanya melibatkan gusi sahaja dan masih boleh dirawat. Jika dibiarkan tanpa rawatan, gingivitis boleh menjadi lebih kronik dan menyebabkan periodontitis.
Bagaimanakah cara merawat penyakit gusi ini?
• Penyakit peringkat awal boleh dirawat sebelum ia menjadi kronik dengan mendapatkan pemeriksaan doktor gigi yang kerap.
• Peringkat awal penyakit gusi boleh dirawat dengan memberus gigi dan mem'flos' dengan betul.
• Penjagaan kesihatan gigi yang baik akan mencegah pembentukan plak.
• Pembersihan secara professional oleh doktor gigi adalah satu-satunya cara untuk menanggalkan plak yang telah mengeras menjadi tartar.
• Jika keadaan menjadi teruk, prosedur membersihkan akar gigi boleh dibuat. Akar gigi yang bersih dan rata dapat mengelakkan plak dari melekat pada permukaannya.
• Jika keadaan anda lebih kronik, dapatkan khidmat rawatan dan nasihat dari pakar pergigian anda.
Jadi jagalah kesihatan gigi dan gusi anda sebaiknya. Jika anda mengamalkan pembersihan mulut yang optimum (berus gigi dua kali sehari, berkumur dengan ubat kumur dan flos), membuang tabiat yang tidak sihat (merokok/megambil tembakau), dan makan diet yang seimbang dan mematuhi masa, selain selalu berjumpa doktor gigi anda, ini akan mengurangkan kos perbelanjaan rawatan yang lebih rumit dan menjimatkan masa anda.
Sayangilah kesihatan mulut dan badan anda.
Oleh:
Nur Muhammad Abrar
dentsonline.blogspot.com
dentsonline.blogspot.com
0 Comment