Rasulullah bersabda,”Siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran),ia akan mendapat satu kebaikan yang nilainya sama dengan 10 kali ganjaran (pahala).Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf,tetapi alif satu huruf,lam satu huruf,dan mim satu huruf"
(HR-Tirmidzi)
9 September 2010,Khamis-Satu majlis khatam Al-Quran telah diadakan di Darul Rahmah bersempena dengan Ramadhan yang bakal berakhir.Majlis ini diadakan rentetan daripada program tadarus Al-Quran yang telah bermula sejak 1 Ramadhan.Pelajar yang mendaftarkan diri akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seterusnya setiap kumpulan hendaklah menghabiskan beberapa juzuk Al-Quran yang berlainan.
Majlis bermula pada pukul 4.30 petang dan dipengerusikan oleh saudara Muhammad Abu Ubaidah. Majlis di dahului dengan ucapan daripada pemangku pengerusi PCM,saudara Ahmad Azizi Jusoh.
Usai ucapan, majlis diteruskan dengan pembacaan Al-Quran diketuai saudara Amar Khalil.Bacaan yang berlangsung selama 30 minit itu dimulai dengan surah Ad-Dhuha sehinggalah surah Al-Fatihah.Semua yang hadir kemudiannya sama-sama mengaminkan doa khatam Al-Quran yang turut dibaca oleh saudara Amar Khalil.
Program tidak berakhir setakat itu sebaliknya diteruskan dengan pembahagian ‘shantoh raya’ kepada setiap rumah.Sementara menunggu waktu berbuka dan sajian masih belum tiba maka para tetamu disajikan dengan sedikit pengisian melalui tayangan video.Video yang ditayangkan berkaitan dengan program-program yang telah dijalankan sepanjang sebulan Ramadhan dan sedikit video tentang isu semasa seperti kes buang bayi yang semakin meruncing serta kes bakar Al-Quran yang berlaku di Amerika Syarikat.
Tepat jam 6.08 petang,azan Maghrib berkumandang menandakan Ramadhan telah berlalu dan digantikan dengan kehadiran 1 Syawal.Para tetamu disajikan dengan sedikit makanan ringan terlebih dahulu diikuti dengan solat Maghrib secara berjemaah.Di sebabkan oleh sedikit masalah teknikal,juadah berbuka tidak dapat disediakan pada waktu yang ditetapkan.Maka, para AJK pelaksana meneruskan program dengan bertakbir beramai-ramai.Kemudian Ustaz Kadir dijemput untuk memberikan sedikit pengisian sambil menunggu juadah berbuka.
Selesai solat Isyak,para AJK mengedarkan makanan yang telah ditempah.Para tetamu menjamu selera beramai-ramai dan majlis kemudiannya berakhir pada pukul 8.30malam.
Diharapkan program sebegini akan dijalankan lagi pada masa hadapan demi memberikan manfaat sesame kita.Semoga Ramadhan yang berlalu tak kan melunturkan semangat kita untuk terus menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
Laporan disediakan oleh:
Siti Fatimah Bt Marosadee Pataepannang
0 Comment