Puji dan syukur yang tidak terhingga buat Ilahi, selawat dan salam buat junjungn mulia Nabi Muhammad SAW, penerus-penerus perjuangan baginda, para alim ulama’, para penuntut ilmu, ahli-ahli PERUBATAN Cawangan Mansurah yang dikasihi, moga-moga beroleh keberkatan dan keampunan daripada Allah ‘Azzawajalla di penghujung Ramadhan ini.
Sayu mengenangkan Ramadhan bakal meninggalkan kita. Adakah kita masih diberi peluanag untuk menerima kunjungan Ramadhan pada tahun hadapan?? Moga-moga diberi kesempatan oleh Ar-Rahman. Tapi tahun ini bagaimana?? Madrasah Ramadhan adakah berakhir apabila menjelangnya syawal?
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah,
Tidak ada bulan-bulan yang menghimpunkan segala kebajikan dan kebaikan seperti yang terdapat pada bulan Ramadhan. Ia menghimpunkan segala kebaikan dunia dan lebih-lebih lagi akhirat. Umat islam dapat belajar dari madrasah terbuka ini lalu mempraktikkannya sepanjang tahun.
Diantara pokok penting yang diajar oleh madrasah Ramadhan ialah bagaimana umat islam dilatih untuk sabar. Sesungguhnya kesabaran yang paling tinggi ialah melawan kehendak hawa nafsu ammarah. Nafsulah mendorong seseorang ke arah keburukan dan maksiat lantas meninggalkan perintah Allah SWT. Perkara inilah yang dipelajari oleh seseorang muslim dari puasanya dan apa yang dilatih oleh madrasah Ramadhan.
Puasa sebenarnya memperkenal seseorang muslim itu dengan dirinya sendiri. Bagaimana ketika syaitan dibelenggu dan tidak mampu untuk memperdaya orang yang berpuasa, sedangkan seorang muslim itu masih lagi enak dengan segala maksiat dan dosa. Ini menunjukkan bahawa bukan lagi syaitan yang menjadi pendorong kepada kemaksiatannya bahkan dirinya sendiri.
Dari situ, maka kenallah kita akan diri kita yang perlukan tarbiah untuk menyucikan hati dan mengikis sifat-sifat mazmumah. Kita hamba boleh tersasar dari mengingati Allah apabila dikuasai syaitan,dunia, dan nafsu. Nafsulah sebagai penghalang yang paling besar dan paling sulit untuk diubati. Hanya puasa yang mampu menundukkan nafsu untuk taat dan patuh kepada Allah SWT. Ini kerana nafsu manusia lemah apabila seseorang itu lapar dan dahaga. Inilah yang membuktikan madrasah ini memainkan peranannya dalam mendidik seorang insan.
Madrasah Ramadhan juga mengajar umat islam untuk ikhlas dalam apa jua bentuk amalan yang dilakukan. Puasa merupakan ibadah di antara hamba dan tuhannya. Ia tidak seumpama ibadah lain seperti solat dan zakat yang dapat disaksikan oleh manusia. Sedangkan puasa hanya Allah mengetahui dan menjadi saksi atas puasa hambanya. Kesannya, kita dapat mempraktikkan ikhlas dalam ibadah-ibadah yang lain juga.
Bakal-bakal doktor muslim dan muslimah,
Kita selaku bergelar pelajar perubatan, sedarkah kita bahawa madrasah Ramadhan telah mengajar kita tentang pengurusan masa?? Yang sentiasa menjadi cabaran untuk kita pada masa hadapan bukan?? Mari kita sama-sama renungkan bagaimana??
Tibanya Ramadhan, kita diajar bagaimana untuk menguruskan urusan dunia dan akhirat bermula dari sebelum subuh hinggalah saat untuk memejamkan mata diwaktu malamnya. Ia mengajar pengisisan ibadah dibuat sebagai satu tuntutan yang hak dari seorang hamba kepada penciptanya. Demikian juga masa untuk menguruskan hal dunia untuk belajar, mencari rezeki dan sebagainya. Sedikit sebanyak kita terdidik untuk mampu menguruskan masa kita apabila tiba waktu sebenar kita bergelar doktor kelak tanpa melupakan tugasan kita sebagai seorang ‘abid dan juga seorang doktor.
Banyak pula galakan untuk melatih diri melaksanakan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, sedekah, berbaik sangka, pemaaf, memperbaiki akhlak dan lain-lain lagi. Persoalannya adakah ini hanya perlu dilaksanakan pada bulan Ramadhan sahaja? Pastinya tidak, oleh hal yang demikianlah, Ramadhan digelar madrasah untuk melatih kita dan menjadi titik permulaan untuk melakukan perubahan.
Persoalan yang paling besar ialah apakah latihan dan tarbiyah dari madrasah Ramadhan ini dapat dipraktikkan dan diteruskan apabila Ramadhan melabuhkan tirainya menjelang Syawal? Katakanlah TIDAK pada diri kita. Marilah kita sama-sama berazam untuk meneruskan pentarbiahan Ramadhan ini dalam kehidupan kita sehari-hari.
Para At-Tobib harapan agama dan bangsa,
Buat akhirnya, hiasilah Syawal dengan takbir dan tahmid serta amalan terpuji. Marilah kita saling menziarahi teman dan taulan di cawangan sendiri mahupun di muhafazah-muhafazah lain. Inilah peluang terbaik untuk kita meribat kembali ukhuwah yang telah terjalin dan mungkin semakin pudar kerana kesibukan kita menuntut ilmu. Bersyukurlah dengan kemenangan Syawal setelah madrasah ramadhan ditempuhi dengn sebaiknya. Jadikanlah kesinambungan antara Ramadhan dan Syawal sebagai tarbiah untuk kita menjadi hamba Allah yang diredhai sepanjang hayat. Utamakan pengajian dan berusahalah untuk maju. Ingatlah bahawa kita adalah bakal-bakal doktor yang akan mencorakkan bidang kedoktoran di Malaysia kelak. Penuhilah diri dengan ilmu kedoktoran dan yang akan melengkapinya lagi adalah ilmu agama.
Kami menyusun jari memohon ampun dan maaf atas salah, silap dan ketelanjuran daripada ahli PCM yang kami kasihi samaada yang kami sedari mahupun tidak.
SALAM AIDILFITRI ALMUBARAK KEPADA SEMUA AHLI PCM YANG BERADA DI MESIR MAHUPUN DI MALAYSIA...SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN YANG PENUH KEBERKATAN.
ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI
‘AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH’
TIMBALAN PENGERUSI 2 PCM 09/10
0 Comment