Suai Kenal Adik Kakak

Pada pagi jumaat yang hening bersamaan 1 oktober 2010, dataran Istad Gamaah, Universiti Mansurah menjadi saksi penyatuan hati para mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Mansurah yang terdiri daripada pelbagai jurusan sama ada Perubatan, Pergigian mahupun Farmasi. Program Kau Kenal Aku (ice breaking) yang bertunjangkan ukhuwwah dan kesatuan ini merupakan program lanjutan PSMB’10 dan telah menemukan mahasiswi baru daripada agensi MedicMesir, Yayasan Terengganu serta agensi Global Medic Network dengan para senior yang begitu teruja dan berbesar hati dengan kehadiran ahli keluarga baru PERUBATAN ke bumi Mansurah ini.

Program bermula seawal jam 8 pagi dengan nyanyian lagu tema PSMB’10 yang berjudul “Akrab Persahabatan” oleh para peserta program serta fasilitator yang terlibat. Meskipun pada awalnya, para mahasiswi baru tampak agak diam dan malu-malu, namun apabila pandangan mata mula bertaut antara satu dengan yang lain lantas bibir mengukir senyum dan salam yang dihulur bersambut, mereka menjadi semakin selesa dan mesra. Program diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu oleh para peserta iaitu senamrobik. Aktiviti regangan otot dalam bentuk muzikal ini telah dipimpin oleh Instructor senamrobik yang tidak asing lagi, Puan Nur Akmal bt Ibrahim,mahasiswi Perubatan tahun tiga. Beliau turut menyuntik semangat para peserta program agar terus bersemangat dan gigih berusaha disamping berdoa dan meletakkan setinggi-tinggi tawakkal kepada Allah sepanjang pendakian menuju kejayaan dalam medan ilmu ini.

Program diteruskan lagi dengan ucapan yang disampaikan oleh Saudari Qatrunnada bt Mohd Farid, mahasiswi Semester 9,Program Perubatan Manchester selaku wakil PERUBATAN Cawangan Mansurah. Perkongsian yang disampaikan oleh beliau berkenaan kisah penindasan umat Islam di rantau ini serta usaha pembelaan oleh seluruh umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara sedikit sebanyak telah berjaya mencapah minda para mahasiswi baru berhubung peri pentingnya kesatuan yang dibina atas dasar deen Islam walau latar belakang yang berbeda dan besarlah harapan perkara ini dapat direalisasikan dalam kalangan kita di sini.

Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk para peserta. Para peserta telah dibahagikan kepada enam kumpulan dan memulakan aktiviti pertama mereka iaitu Ikatan Labah-labah. Melalui aktiviti ini para mahasiswi dapat berkenalan dengan lebih dekat malah soalan-soalan uji ingatan yang diberikan oleh fasilitator merancakkan lagi aktiviti ini. Atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, para mahasiswi daripada Yayasan Terengganu hanya dapat menyertai program sehingga aktiviti taaruf ini sahaja. Mereka turut terkilan malah turut mula merasa kemanisan ukhuwwah yang baru dibina. Walaubagaimanapun program tetap diteruskan. Aktiviti Santap Mantap mengambil alih acara. Di mana para mahasiswi baru telah dijamu dengan masakan air tangan para fasilitator masing-masing dengan berkonsepkan suapan untuk sahabat. Aktiviti ini menggalakan para mahasiswi untuk saling mempercayai dan mengasihi antara satu sama lain serta sedia untuk menghulurkan tangan meringankan bebanan sahabat andainya diperlukan pada suatu masa akan datang.

Meskipun matahari mula meninggi, para mahasiswi masih terus bersemangat dengan meneruskan acara Perang Belon diikuti dengan Binaan Kasih. Kedua-dua aktiviti ini menguji kebijaksanaan para mahasiswi untuk mengatur strategi yang terbaik agar berjaya mempertahankan aset kumpulan masing-masing daripada ancaman pihak luar. Aktiviti Jigsaw Puzzle kemudiannya menyusul merupakan acara penutup pada hari itu. Analogi kelompongan salah satu puzzle membuahkan ketidaksempurnaan pada gambar yang ingin dihasilkan bertepatan dengan objektif utama program iaitu setiap individu berperanan penting dalam mewujudkan kesatuan antara kita.

Sebelum majlis berakhir, ucapan penutup telah disampaikan oleh Saudari Nur Liyana bt Che Ali, mahasiswi Perubatan tahun lima selaku Timbalan Pengarah Program Kau Kenal Aku. Para senior yang hadir turut diperkenalkan kepada mahasiswi baru dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Rabitha, Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr. Majlis berakhir jam 12.30 tengah hari.

Diharapkan aktiviti kecergasan fizikal di samping mengasah kecerdasan mental para mahasiswi seumpama ini dapat di teruskan malah diisi dengan aktiviti yang lebih menarik dan mencabar. Semoga penyertaan daripada mahasiswi pada masa akan datang dapat ditingkatkan. Marilah kita bersama-sama memartabat kesatuan dalam kalangan kita di sini.

Disediakan oleh,

Raja Khairunnisa Aqilah Bte Raja Mohd Naguib.

Tags: ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment