Laporan i-TOP

30 Oktober 2010, Sabtu – Sebuah program Intro To PERUBATAN (i-TOP) khusus untuk pelajar baru sesi 2010/2011 telah diadakan di Darul Rahmah dibawah kelolaan Ahli Jawatankuasa PSMB’10/11 bermula jam 4.30 petang. Seramai 41 orang mahasiswa baru masing-masing berjumlah 8 siswa dan 33 siswi telah menyertai program ini.

Program dimulakan dengan kata aluan daripada Pengerusi Majlis, Saudari Sabrina bt Ismail Jali, semester 3 Program Perubatan Manchester. Diiringi montaj gambar-gambar para pelajar baru seawal kedatangan ke Mesir, nyanyian lagu tema PSMB’10 yang berjudul “Akrab Persahabatan” dialunkan dengan begitu semangat oleh semua. Tidak lengkap rasanya majlis tanpa amanat dan nasihat daripada pimpinan Pelajar. Program diteruskan lagi dengan sesi ucapan daripada Pengarah PSMB’10/11, Saudara Mohammad Rafiq b Abdul Hir. Seterusnya ucapan perasmian program oleh Saudara Muhamad Ikram b Ishak, Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah Sesi 09/10. Majlis ditangguhkan seketika untuk para hadirin menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah di Darul Rahmah dan diteruskan semula jam 6.30 petang.

Pelbagai slot menarik telah menyusul untuk fasa kedua program. Bermula dengan Pengenalan Saf Kepimpinan PCM Sesi ‘09/10 dikendalikan oleh Pengerusi PCM, kemudian taklimat berkenaan hal ehwal kebajikan pelajar yang antara lain menyebut tentang penyediaan Tabung Kasih Sayang kepada warga PERUBATAN sekiranya menghadapi sebarang musibah atau kesukaran. Taklimat ini telah disampaikan oleh Exco Kebajikan, Saudara Muhammad Mu’az b Mustapa. Majlis diteruskan lagi dengan Taklimat Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) oleh Pengarah JAKSI, Saudara Muhamad Izzat b Kamal. Beliau menyentuh isu keselamatan pelajar Malaysia yang semakin meruncing belakangan ini terutama bagi siswi, dan peri pentingnya para mahasiswa untuk cakna dengan garis panduan keselamatan dan penggunaan khidmat musyrif yang telah dikeluarkan bagi menjaga keselamatan bersama.

Seterusnya Pengenalan Smart Circle telah disampaikan oleh Saudara Ahmad Azizi b Md Jusoh, Exco Unit Pembangunan Insan. Smart Circle merupakan salah satu platform para mahasiswa untuk membina tarbiyah diri menjadi seorang doktor muslim kelak. Konsep saling melengkapi dan menolong dalam segenap perkara serta amar makruf nahi mungkar dengan bertunjangkan ukhuwwah fillah dalam kalangan individu ahli PERUBATAN yang cuba diterapkan diharap dapat merealisasikan Biah Solehah yang sedang disemai dalam kalangan warga Malaysia di bumi Mansurah ini.

Program yang berlangsung selama hampir tiga jam setengah ini begitu padat dengan pengisian yang bermanfaat kepada para mahasiswa baru khususnya dan yang lama amnya, selain diselang-selikan dengan empat tayangan video yang telah disediakan dengan jayanya oleh Unit Penerbitan dan Penerangan. Objektif utama program ini dilaksanakan nampaknya tercapai, iaitu untuk memperkenalkan PERUBATAN Cawangan Mansurah serta memberi pendedahan awal berkenaan kebajikan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan PCM secara keseluruhannya, biarpun penyertaan daripada para pelajar baru sedikit mengecewakan. Majlis berakhir jam 7.45 petang dan para mahasiswa dibekalkan dengan makanan untuk dibawa pulang.

Diharapkan program ini dapat memberi pemahaman yang sebenar tentang kepentingan berpersatuan bagi menyelaraskan semua gerak kerja dibawah satu lembayung pimpinan PERUBATAN Cawangan Mansurah. Semoga penyertaan daripada mahasiswa dapat ditingkatkan dalam menjayakan program bermanfaat seumpama ini pada masa yang mendatang. Bertepatan dengan tema PSMB’10/11 Mendisiplin Peribadi, Memartabat Kesatuan diharap dapat digarap dalam pembawakan imej pelajar perubatan muslim serta keutuhan kesatuan dalam kalangan kita di sini.

Raja Khairunnisa Aqilah Raja Mohd Naguib
Timbalan Setiausaha
Program Sambutan Mahasiswa Baru (PSMB) 10/11
Perubatan Cawangan Mansurah (PCM)
Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment