3 November 2010, Darul Rahmah, Mansurah - Siri kuliah pagi yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Khas Madrasah Imam Nawawi telah mencipta satu sejarah baru yang nyata meninggalkan impak kepada warga mansurah.
Sejarah tercipta gara-gara masalah kesihatan yang berlaku kepada pengisi kelas madrasah pada hari Rabu iaitu Ustaz Fadhil Hasanuddin. Menurut maklumat yang diterima,Ustaz Fadhil mengalami komplikasi kesihatan sejak beberapa hari lalu, menyebabkan pihak pengurusan madrasah terpaksa mencari 'Bidan Terjun' untuk mengisi kekosongan tersebut. Untuk maklumat, kelas pengajian di Madrasah Imam Nawawi pada masa ini berjalan sebanyak tiga kali seminggu, dengan menampilkan tenaga pengajar berlainan bagi setiap kitab.
Mengikut jadual yang dikeluarkan pihak madrasah sebelum ini, Ustaz fadhil telah ditetapkan akan menjadi pengisi bagi kelas Fiqh Sirah yang dijalankan pada pagi Rabu setiap minggu,bermula jam tujuh pagi selama empat puluh lima minit.
Bidan Terjun yang dimaksudkan ialah saudara Mohd Nabil Abdullah. Ketika ditemui, beliau memberitahu telah dihubungi pihak madrasah sehari sebelum kelas iaitu pada hari Selasa, menyebabkan persediaan terpaksa dibuat pada saat-saat akhir.
Pada hari tersebut beliau telah membentangkan kitab I'jaazul Ilmi (Mukjizat Al-Quran dan Sunnah menurut perspektif sains). Tajuk yang dipilih ialah Al-Ankabut, bermaksud labah-labah yang juga Surah ke dua puluh sembilan dalam Al-Quran. Beliau memulakan kelas dengan membacakan sepotong ayat dari surah Al-Ankabut, memberi makna sebagaimana berikut;
“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah.Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah,sekiranya mereka mengetahui” (Al-Ankabut,41)
Beberapa kajian saintis barat telah dipetik bagi meyakinkan para hadirin bahawasanya ilmu Al-Quran adalah selari dan memang terbukti benar. Beliau turut memberikan contoh-contoh yang mudah supaya para pelajar lebih jelas dan yakin akan kekuasaan Allah.
Walaupun dikatakan kurang persediaan, namun hilai tawa para pelajar yang menghadiri kelas pengajian pada hari itu dek termakan humor yang keluar dari mulut saudara Nabil membuktikan beliau bukan semata ‘bidan terjun’, sebaliknya memang berbakat dalam menyampaikan mesej-mesej berguna .
Hadirin khusyuk mendengar butir bicara penceramah
Pengarah madrasah, Saudara Mohd Zaim Abdul Aziz ketika dihubungi menyatakan suasana ini memberi impak yang positif pada semua. Beliau optimis bahawa dalam tempoh masa yang sesuai, akan ada lebih ramai tenaga pengajar baru dari kalangan warga PCM sendiri selaku mahasiswa Sains Kesihatan akan lahir. Ini menepati cita-cita semua untuk menjadi Doktor Muslim yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang pengajian, tetapi juga mempunyai pakej tambahan dalam ilmu agama.
Pada minggu terdahulu, Saudara Wan Mohd Safwan Wan Salleh juga terpilih menjadi ‘bidan terjun’ yang diambil oleh pihak madrasah untuk mengisi kekosongan tenaga pelajar yang uzur pada saat-saat akhir.Beliau membawa tajuk Lebah juga dari kitab I'jaazul Ilmi. Semoga dengan kesediaan sesama pelajar sendiri berkongsi ilmu, semua mahasiswa akan semakin bersemangat untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu di celahan debu Mesir ini.
Liputan oleh: Fattah hamzah
0 Comment