Selasa,7 Disember 2010-Bersempena 1 Muharam 1432 Tahun Hijriyah telah diadakan satu majlis sambutan Maal Hijrah anjuran Unit Pembangunan Insan (UPI) bertempat di Dewan PCM. Majlis yang bertemakan ‘Mencari Spirit yang Hilang’ itu telah bermula pada jam 9.30 pagi dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi Majlis,Syed Mohammad Syamim. Antara objektif program ini adalah untuk memperingati peristiwa penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah,mengambil pengajaran(ibrah) dari sirah nabi dan para sahabat serta menyediakan satu medium bagi warga pelajar Sains Kesihatan Mansurah untuk berkumpul demi merapatkan ukhuwah .
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada ketua UPI,saudara Muhamad Arif Mamat Noor.Di dalam ucapannya beliau menyatakan hijrah itu bukanlah sekadar berpindah dari sesuatu tempat ke tempat yang lain sebaliknya juga membawa maksud perubahan dari segi akhlak. Majlis kemudiannya mempersilakan Ustaz Abdul Kadir selaku penasihat UPI menyampaikan ucapan. Seterusnya,majlis diteruskan dengan ucapan dan upacara perasmian oleh Pengerusi PCM 2010/2011, saudara Ahmad Azizi Md Jusoh. Beliau menekankan di sini bahawa hijrah itu menuntut pengorbanan jiwa,harta,masa dan tenaga,hendak atau tidak kita pasti akan menghadapi kesukaran.
Usai sesi ucapan, sebuah video yang memaparkan kehidupan remaja masa kini serta sarat dengan pengajaran dan isi tersirat telah ditayangkan . Setelah itu telah diadakan sesi soal jawab bersama saudari Nurul Ain Jaafar. Beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi bertuah telah dipilih untuk menjawab soalan-soalan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Sesi soal jawab ini telah dikendalikan dengan baiknya oleh saudari Nurul Ain Jaafar dan para responden telah memberikan respon yang menarik dengan idea dan pengalaman peribadi dengan cara yang tersendiri! Tahniah kepada para responden,kerana anda mampu berfikir dan berkongsi kisah pengalaman hidup anda bersama mahasiswa/wi yang lain,demi kebaikan bersama! Sememangnya benarlah,mahasiswa/wi Mansurah telah matang dan bijak dalam berkata-kata.
Kemuncak program adalah sesi forum yang telah dikendalikan oleh saudara Wan Abdul Hadi ditemani 3 orang ahli panel iaitu saudara Mohd Iskandar Sau’udi(siswa Manchester semester 5),Ustazah Azyan Syazwani Ahmad Adri(panel jemputan dari Kuliah Pengajian Agama al-Azhar) dan saudari Sabrina Ismail Jali(siswi Semester 3 Program Manchester) . Antara persoalan yang dikupas adalah punca kelemahahan umat Islam pada abad ini dan terdapat 3 faktor yang telah diberi oleh ahli panel kita yang berwibawa dan berkeyakinan. Pertama,apabila terhakis keimanan dan ketaqwaan dalam diri seseorang.Kedua,apabila lalai dengan habuan dunia serta ketiga,apabila malas menguasai diri.
Ahli panel turut disoal mengenai bentuk-bentuk persediaan yang diperlukan oleh semua individu khususnya pengamal perubatan agar proses perubahan ke arah yang lebih baik dapat dicapai. Antara yang dikongsi oleh ahli panel adalah mempersiapkan diri dari segi minda,jiwa dan fizikal.Terdapat 4 kewajipan yang perlu dikuasai remaja masa kini,iaitu- Kewajipan memahami Islam secara sahih,kewajipan beramal dengan Islam,kewajipan berdakwah kepada Islam dan kewajipan bersatu di atas nama Islam.
Majlis telah berakhir pada jam 11.45 pagi. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana pengajaran yang akan diselami akan berbeza mengikut peredaran masa dan zaman walaupun kita menyingkap tabir sejarah yang sama berulang kali. Keindahan mengkaji sejarah,hanya yang mendengar dan cuba untuk memahaminya sahaja yang akan mengerti. Oleh itu,pada program dan sesi akan datang, diharapkan agar lebih ramai lagi mahasiwa dan mahasiswi Mansurah dapat hadir ke program sebegini. Salam Maal Hijrah.Semoga hari ini lebih baik dari semalam.
‘Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah,dengan harta dan jiwa mereka,adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan’ – Al-Taubah:20
‘ILMUAN BERBAKTI,TEGUH SEHATI’
‘At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah’
Disediakan oleh : Siti Fatimah Marosadee Pataepannang
0 Comment