Perutusan Hari Professional PERUBATAN


Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir P E R U B A T A N
Taqwa, Syifa', Rahmah

Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamualaikum w.b.t


Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka kepada kecantikan. Hadis di atas adalah sebahagian daripada nilai akhlak yang Baginda Nabi Muhammad ajarkan kepada kita bahawasanya Allah itu cantik dan sangat suka kepada hambanya yang menjaga kecantikan. Kecantikan yang dimaksudkan tidak hanya terbatas kepada rupa paras semata, bahkan yang lebih penting adalah cara ia menampilkan dirinya di khalayak, di samping memiliki hati sebersih dan semurni pakaian yang menutupi dirinya.


Sahabat-sahabat sekalian,


Apakah persepsi anda apabila suatu hari, anda dirawat oleh seorang doktor yang tidak kemas, datang kepada anda dengan berbajut t-shirt , berseluar jeans, dan bersandal? Adakah anda yakin bahawa dia seorang doktor berkelayakan? Dan adakah anda yakin dengan perkhidmatan dan nasihat yang diberikannya? Tentu sekali tidak! Lebih malang lagi, jika anda tahu bahawa dia adalah seorang doktor lepasan universiti dari Mesir!


Begitu juga halnya sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan, cara pemakaian kita akan diperhati oleh masyarakat sekeliling kita. Sebagai bakal doktor pada masa hadapan, gaya pemakaian kita haruslah kemas dan meyakinkan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, hal ini bertitik tolak dari tabiat pemakaian kita semasa di alam mahasiswa lagi. Maka atas sebab itu, timbullah idea di kalangan kami selaku AJKT Tertinggi PERUBATAN seluruh Mesir untuk menganjurkan Hari Profesional PERUBATAN bagi menjadikan gaya pemakaian kemas dan meyakinkan sebagai satu tabiat mahasiswa sains kesihatan Malaysia di Mesir. Tambahan pula, di Mesir ini, tiada satu ketetapan khusus tentang etika pemakaian di Universiti.
Biarpun definisi ‘profesional’ itu lebih luas merangkumi nilai-nilai dalam diri sehinggalah gaya penampilan luaran, namun gaya pemakaian merupakan elemen penting bagi meningkatkan keyakinan diri sendiri dan juga orang lain terutamanya pesakit terhadap diri kita.

Antara objektif pelaksanaan Hari Profesional ini adalah ;

1. Melatih mahasiswa supaya berpakaian kemas ke kuliah

2. Melatih mahasiswa supaya sentiasa mementingkan penampilan dan kekemasan diri

3. Sebagai lambang persepakatan dan kesatuan dalam kalangan mahasiswa PERUBATAN seluruh Mesir
Bertemakan ‘I Am Professional!’, Hari Profesional ini akan dilaksanakan pada setiap hari ISNIN SETIAP MINGGU, dengan mensasarkan penglibatan seluruh mahasiswa Sains Kesihatan Malaysia seluruh Mesir.

Berikut merupakan kod etika pemakaian yang telah dipersetujui;


Kod pakaian : formal


Mahasiswa lelaki

•Berkemeja lengan panjang dan berseluar panjang slack (tidak memakai jeans)

•Memakai tali leher

•Berstokin dan berkasut kulit yang bertutup (bukan selipar, sandal atau kasut sukan)

•Berambut kemas

•Memakai blazer jika ingin nampak lebih kacak

•Memakai minyak wangi

Mahasiswa perempuan

•Berbaju kurung

•Memakai tudung dengan kemas dan tidak menampakkan dada

•Kasut bertutup (bukan selipar, sandal atau kasut sukan)
•Pakaian tidak menjolok mata, ketat atau jarang
•Jika anda bermake-up, memakai aksesori atau pewangi hendaklah secara sederhana
.

Akhirnya, setinggi harapan diletak agar semua mahasiswa PERUBATAN dapat mematuhi etika yang telah ditetapkan ini. Lebih cantik lagi jika ia menjadi amalan setiap hari, bukan sahaja pada hari yang telah ditentukan. Semoga usaha kecil ini dapat melahirkan generasi graduan yang sedar akan kepentingan penampilan diri apabila pulang ke Malaysia kelak, insyaAllah.
Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

1 Comment

  1. saya sgt2 sokong usaha ni... utk kebaikan semua pihak!..;)
    harap hari professional yg membincangkan ttg etika2 seorg doktor dan cara2 respon kpd pesakit dlm kalangan masyarakat dpt dijadikan kenyataan satu hari nanti...

Post a Comment