Ingatlah Allah Di Kala Senang & Susah


Bismillahirrahmanirrahim..

Bahang imtihan makin terasa buat semua warga Mansurah. Tidak ada yang terkecuali sama ada pelajar perubatan Konvensional, Manchester, Pergigian, dan Farmasi. Jika bukan peperiksaan akhir semester, mungkin ada yang sibuk unutk menghadapi ujian pertengahan tahun. Lumrah sebagai seorang pelajar, tidak akan lari dari peperiksaan. Helaian buku mula diselak satu persatu. Tidak mahu ada yang tersilap pandang, tidak terbaca dan tidak sempat diusik. Kadangkala hati terdetik, bagaimana jika tiada peperiksaan?

Peperiksaan itu penting, penting kerana apa? Analoginya saya gambarkan bahawa Abu belajar dengan bersungguh-sungguh, lalu dia melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan yakin. Keseluruhan nota dan halaman buku telah dihafal. Alhamdulillah, peperiksaan tamat dan kemudian setelah beberapa minggu, keputusan peperiksaan pun diumumkan. Abu berjaya mendapat keputusan yang baik dengan pangkat mumtaz. Setelah itu beralih pula kepada peperiksaan semester kedua. Sekali lagi berhempas pulas menghafal dan menelaah pelajaran. Kemudian peperiksaan semester seterusnya. Perkara dunia tidak akan berhenti, akan terus berputar dan berputar, kembali ke tempat yang sama.


"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." [Surah Al-Dzaariyaat 51 : Ayat 56]


"Katakanlah : Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." [Surah Al-An’aam 6 : Ayat 162]

"Padahal mereka tidak diperintah melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid... " [Surah Al-Bayyinah 98 : Ayat 5]

Justeru, setiap amalan yang dilakukan wajib dimulakan dengan niat yang betul selaras dengan tujuan utama kita diciptakan untuk beribadah semata-mata kerana Allah. Belajar kerana Allah, niat untuk berjaya didalam peperiksaan supaya mendapat keredhaan kedua ibu bapa, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Mudah bukan? Pengakhirannya kita ditujukan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi, musim peperiksaan boleh diertikan sebagai musim untuk kita mengenal kembali diri kita dan siapa pencipta kita. Hah! Baru kamu tahu langit tinggi atau rendah. Hati menjadi gentar, gusar dan takut. Peluang sebeginilah yang mesti kita ambil untuk muhasabah kembali setiap amalan yang kita lakukan sebelum ini.

Solat dan zikrullah mampu mendamaikan jiwa. Ia pasti lebih baik daripada meditasi yang dilakukan di Negara barat kerana solat dan zikrullah datang daripada Allah dan Rasul. Ia benar-benar mendamaikan dan menenangkan, asalkan dilakukan dengan khusyuk.

Pada suatu ketika, seorang lelaki bertemu sahabat Rasulullah SAW, Abdullah ibn Masud dan berkata : “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.”

Abdullah menjawab : “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar bacaan orang lain.

“Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah.

“Ketiga, kamu mencari satu waktu sunyi. Contohnya, pada waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati.

“Jika selepas melakukan semua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Lelaki itu pun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca al-Quran, didapati jiwanya berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.

Jika kita bersolat dan berzikir dengan khusyuk, jantung berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya.

Siapa yang tidak takut menghadapi peperiksaan. Namun, sebatikan diri dengan ibadah yang menenangkan supaya segala ilmu yang kita hafal dan pelajari diberkati ilahi.


Akhir kalam, selamat menghadapi peperiksaan dengan sabar.


Marilah sama-sama kita bermujahadah sekaligus meningkatkan amal ibadah, menjadi lebih professional berlandaskan ilmu-ilmu yang dianugerahkan oleh Allah buat bekalan di akhirat kelak. Tidak mustahil satu hari nanti ilmu yang kita pelajari akan disebarkan pula kepada generasi Islam yang mendatang. Sekian. Wassalam.


Artikel dipetik daripada blog --->http://raudhatulnadwah.blogspot.com/


-Unit Pembangunan Insan PCM 2010/11-

Tags: , , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.