Kenyataan Rasmi Berkaitan Proses Evakuasi


Assalamualaikum wbt,

Segala puji dirafakkan kehadrat Ilahi, sebaik-baik perancangan adalah perancanganNya dan kita hanyalah hamba kepadaNya. Selawat dan salam buat penghulu segala Nabi, Rasulullah s.a.w serta keluarga baginda dan para sahabat r.a.

Sahabat-sahabat sekalian,

Alhamdulillah, itulah ucapan yang seharusnya meniti di bibir kita dan meresap ke dalam jiwa atas segala nikmat dan rahmat yang Allah berikan kepada kita semua. Majoriti warga PERUBATAN kini telahpun selamat sampai ke tanah air dan pastinya berbagai liku-liku dan cabaran yang telah kita semua hadapi sepanjang Proses Evakuasi yang juga dikenali sebagai ‘Ops Piramid’ ini dijalankan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih pada semua pihak yang telah bertungkus-lumus bagi memastiikan keselamatan kami warga penuntut ilmu di bumi Anbiya ini selamat daripada huru-hara yang timbul akibat demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir menuntut keadilan mereka. Terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia, pihak Kedutaan besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan seluruh yang terlibat termasuk wakil-wakil agensi dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah yang turut sama membantu bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia khususnya di Mansurah ini terjamin.

Saya mewakili suara pihak Pengurusan Proses Evakuasi yang diuruskan oleh PERUBATAN Cawangan Mansurah mengucapkan ribuan terima kasih buat sahabat-sahabat dan seluruhnya yang telah memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi memastikan proses evakuasi ini berjalan dengan lancar. Juga kami memohon kemaafan atas segala kekurangan dan kelemahan semasa kami menguruskan proses evakuasi ini.

Akhir kalam, Persatuan PERUBATAN sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia dan menunggu keputusan berkenaan dengan tarikh dan masa yang sesuai untuk warga PERUBATAN pulang semula ke Mesir bagi meneruskan pengajian yang tertangguh. Insya Allah sebarang makluman terkini akan disebarkan melalui media rasmi PCM. Semoga kita sentiasa menjadi seorang penuntut ilmu sama ada kita berada di Malaysia lebih-lebih lagi di Mesir. Manfaatkanlah setiap masa yang ada ini dan ingatlah sentiasa bahawa perjuangan kita di medan ilmu ini masih belum selesai bahkan mungkin cabaran di masa mendatang semakin sukar.

Siiru ‘ala barakatillah,

At-Taqwa,As- Syifa', Ar-Rahmah
ILMUAN BERBAKTI TEGUH SEHATI

AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/2011


Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment