[ISRA' MIKRAJ] - Dekstop Background & Artikel

Berikut merupakan Desktop Background & artikel bersempena mengenang kembali 27 Rejab peristiwa Isra' Mikraj Nabi Muhammad SAW.


Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui . – Al Israa , Ayat 1

Peristiwa Isra ‘ (perjalanan di malam hari) dan Mikraj (perjalanan naik ke langit) yang dilalui oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW merupakan sebuah peristiwa yang perlu kita hayati selaku seorang muslim dalam memantapkan keimanan kita . Peristiwa ini secara kasarnya dilihat mempunyai agenda yang memakan masa yang cukup panjang namun semuanya disingkapkan menjadi satu malam sahaja . Dari perjalanan yang bermula di Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa , sehinggalah perjalanan ke Sidratul Muntaha , semuanya menunjukkan bahawa Allah mampu melakukan segala yang dikehendakiNya , dan hanya keimanan sahaja yang membenarkannya .

Penulis tidak berniat menerangkan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini mengikut analogi dan secara terperinci kerana penulis bukanlah orang yang layak , cuma ingin mengajak rakan – rakan untuk sama – sama menghayati dan mengambil ibrah daripada beberapa agenda dalam peristiwa tersebut .


HEBATNYA ALLAH , KERDILNYA MANUSIA

“Atap rumahku dibuka, saat itu aku berada di Mekah. (Malaikat) Jibrail turun dan membedah dadaku, kemudian mencucinya dengan air Zam Zam. Kemudian didatangkan sebuah bekas yang dibuat daripada emas, yang berisi hikmah dan iman, lalu dituang ke dalam dadaku. Kemudian dadaku ditutup.”

Demikianlah yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 349. Peristiwa di atas berlaku pada malam Isra’ dan Mi’raj, seketika sebelum baginda menaiki Buraq untuk meluncur sekelip mata dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

Selaku seorang pelajar perubatan , kita semestinya tahu dan bakal menjalankan pelbagai jenis pembedahan ketika bergelar seorang pegawai perubatan suatu hari nanti . Namun , pembedahan yang dilakukan oleh Jibrail ke atas Rasulullah SAW untuk membersihkan hati baginda pastinya tidak dapat dijalankan oleh mana – mana pakar perubatan di seluruh dunia sekalipun . Antara perkara yang kita dapat jadikan iktibar daripada peristiwa tersebut juga ialah hanya hati yang bersih sahaja berhak menerima kebesaran Allah , dan hati – hati sebegini sahaja yang layak bertemu Allah . Manakala hati yang penuh dengan maksiat , ujub , riak dan takbur dipandang hina di sisi Allah . Maka hendaklah kita sentiasa berusaha untuk membersihkan hati kita dan tidak putus asa dengan rahmat Allah . Ingatlah , sebaik – baik hamba yang melakukan kesalahan adalah hamba yang bertaubat .

Keistimewaan makhluk Allah yang diberi nama Buraq untuk membawa nabi meluncur sekelip mata dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam masa satu malam sahaja membuktikan kekuasaan Allah serta kerdilnya manusia . Manusia setiap hari mencipta pelbagai inovasi untuk memudahkan perjalanan , daripada generasi adik beradik Wright sehingga hari ini , masih tiada lagi apa – apa pesawat yang mampu membawa manusia menuju ke suatu destinasi yang jauh dalam masa yang singkat . Perjalanan yang kita lalui untuk sampai ke bumi Mesir dari Malaysia pun memakan masa 12 jam walaupun tanpa transit . Betapa pentingnya untuk kita bertawakkal kepada Allah , kerana tanpa izinNya kita cuma manusia kerdil yang tidak berdaya untuk melakukan apa – apa .


KEPENTINGAN AL AQSA

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf Al Qardhawi , antara perkara penting yang dapat disimpulkan daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj ialah kepentingan Al Aqsa kepada umat Islam . Persoalan yang ditimbulkan ialah mengapa Allah tidak memperjalankan Rasulullah SAW terus ke langit ketujuh , tetapi singgah dahulu di Masjidil Aqsa ? Ini disebabkan Allah inginkan baginda bertemu dahulu dengan para anbiya terdahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad , di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan Allah seperti yang disebut dalam ayat pertama surah Al Israa . Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya , lalu baginda menjadi imam solat kepada mereka , iaitu kepimpinan yang bersifat global , bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu . Hubungan Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa tidak dapat disangkal oleh umat Islam yang sayangkan agamanya kerana Al Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam sebelum dipindahkan ke Masjidil Haram . Justeru adalah menjadi tanggungjawab bagi umat Islam untuk membebaskan Al Aqsa daripada cengkaman Yahudi-Israel , kerana ia berkaitan dengan persoalan akidah mereka .


SOLAT TIANG AGAMA

Selain itu , antara kesan penting peristiwa Israk dan Mikraj ini ialah diwajibkan ibadah solat kepada umat Nabi Muhammad SAW . Solat merupakan ibadah yang istimewa kerana ia merupakan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT tanpa perantaraan malaikat Jibrail . Pada awalnya , Allah telah mewajibkan umat Muhammmad SAW 50 waktu solat sehari semalam , namun Nabi Musa A.S telah menyuruh baginda agar memohon dikurangkan jumlah waktu solat itu kerana umat Muhammad tidak akan mampu untuk melaksanakannya . Selepas beberapa kali merayu , akhirnya waktu solat dikurangkan daripada 50 sehingga menjadi 5 kali sehari semalam .

Realiti pada hari ini , masih ramai dalam kalangan kita yang mengambil ringan dalam mendirikan solat walaupun sudah dikurangkan kepada 5 kali sehari semalam . Ramai yang melaksanakan ibadah solat , tetapi sekadar cukup syarat seperti solat pada akhir waktu , tidak khusyuk sewaktu solat , dan sebagainya . Malah , ada juga yang meninggalkan solat dengan sengaja disebabkan hal – hal keduniaan .

Firman Allah SWT ,

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. – Al Ankabut , Ayat 45


Saban hari kita dihidangkan dengan berita – berita jenayah yang semakin teruk di tanah air kita . Kes rogol , zina , ragut dan lain – lain seolah - olah sudah menjadi ‘berita wajib’ di dada akhbar harian . Kerosakan akhlak serta berlakunya pelbagai jenayah berpunca daripada pengabaian umat Islam terhadap ibadah solat . Solat merupakan tiang agama , dan sekiranya tidak sempurna solat maka runtuhlah agamanya serta lemahlah hubungannya dengan Allah SWT . Jika hubungan seseorang hamba dengan Tuhannya lemah , maka jarum – jarum godaan syaitan mudah memperdayanya , lalu mendorongnya melakukan kemungkaran . Disebutkan juga , barangsiapa yang tiada solat baginya , maka tiadalah agama baginya . Oleh itu , kita haruslah sentiasa muhasabah , apakah ibadah solat kita sudah cukup sempurna kerana ia akan menjadi persoalan utama pada hari akhirat kelak .


JANJI ALLAH PASTI BERLAKU

Dalam peristiwa ini juga , baginda SAW diperlihatkan dengan peristiwa – peristiwa simbolik yang amat ajaib . Antaranya ialah :

· Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

· Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

· Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

· Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

· Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

· Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

· Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

· Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

· Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Peristiwa – peristiwa sedemikian membuktikan kebenaran ayat – ayat Al Quran banyak yang menyebut tentang lazatnya nikmat syurga Allah bagi orang – orang yang beriman serta pedihnya azab nerakaNya terhadap orang – orang yang kufur . Jelasnya , janji – janji Allah dalam kitab Al Quran merupakan sesuatu yang pasti terjadi , dan Allah tidak pernah memungkiri janji – janjiNya . Balasan syurga dan neraka merupakan perkara ghaib yang wajib diyakini oleh setiap muslim . Orang yang benar – benar beriman akan berusaha untuk menuruti segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya kerana dia percaya akan balasan – balasan tersebut , sedangkan orang yang kufur memandang remeh perkara ini kerana tidak percayakan kehidupan selepas mati . Bagi mereka , dunia ini adalah segala – galanya . Ambillah pengajaran daripada kisah umat – umat terdahulu yang mana mereka memperlekehkan azab Allah lalu akhirnya mereka ditimpakan balasan yang sangat dahsyat .


KEIMANAN MEMBENARKAN SEGALANYA

Sebagaimana yang kita ketahui , peristiwa Isra’ dan Mikraj adalah satu anugerah mukjizat daripada Allah kepada kekasihNya Muhammad SAW yang sedang bersedih setelah pemergian isteri yang tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya Abi Talib . Sekembalinya Rasulullah daripada perjalanan tersebut , baginda telah menceritakannya kepada masyarakat Mekah mengenai apa yang telah dialaminya sepanjang perjalanan itu , namun segala keterangan baginda ditolak , malah baginda dituduh menggunakan sihir . Dalam kalangan mereka , hanya seorang sahaja yang membenarkan segala yang diucapkan oleh Rasulullah , iaitu Saidina Abu Bakar As Siddiq disebabkan keyakinan serta keimanannya , yang mana jika dibandingkan dengan keimanan seluruh umat Nabi Muhammad pun tidak dapat menyamainya .

Kesimpulannya , kita hendaklah benar – benar menghayati dan belajar daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj agar keimanan kita terus teguh dalam menghadapi dunia yang penuh fitnah dan tipu daya ini . Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan mukjizat yang membuktikan kekuasaan dan kudrat Allah SWT dan betapa perlunya manusia bergantung harap hanya kepadaNya . Wallahualam .

Artikel oleh,

‘Ammar Ziyadi

-Unit Pembangunan Insan PCM 2010/11-



Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment