[ARTIKEL] - Isra' Mikraj, Meredah Malam

Gambar Hiasan

Meredah Malam
Oleh: As Syramy

Dari masjid ke masjid
diredah kelam malam
singkat waktu musafir
jauh marhalah dijejak

Di sepanjang jalan
pergi dan pulang
aneh peristiwa dialami
dipanggil suara merayu
dihidang cangkir enak minuman
dipandang tanah subur hati berkenan

Dikhabar rahsia sebalik keganjilan
andai ditoleh panggilan suara
kan hanyut semua dalam dunia
cangkir susu yang disantap
pilihan fitrah tuntutan nurani
putih mulus dan suci wadah
tanah subur tertarik hati
tanah mastautin dan maqam nanti

Satu malam yang dilewati
jauh jarak di muka bumi
petala langit jua diterokai
segala dialami terus diperi
gilalah siapa yang percaya
ceritanya amat luarbiasa
walau dengan dalil nyata
mustahil pada akal kita

Terpahat di tugu sejarah
sahabat setia terima segala
tiada ragu, tiada sanggah
pelik dan benar peristiwa
momentum gerakan dakwah
wadah sempurna dan diredha

Alhamdulillah, memanjat setinggi-tinggi ke syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnianya masih diberi dua nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan Islam.Di dalam kesibukan dalam menghadapi peperiksaan marilah kita sama-sama juga memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Isra' Mi'raj Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT,

Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”.(Surah Al-Isra’, ayat:1)

Setelah Saidatina Khadijah dan Abu Thalib meninggal dunia maka hilanglah salah satu kekuatan dan benteng tempat Rasulullah s.a.w bersandar.Justeru wafatnya kedua insan ini merupakan satu kehilangan besar dalam hidup Rasulullah s.a.w kerana kedua-duanya merupakan sayap perjuangan baginda.


Rasulullah s.a.w merasakan kesedihan yang amat sangat dengan kehilangan kedua orang yang sangat dicintainya.Maka tahun pemergian keduanya itu dinamakan dengan tahun kesedihan.Di saat-saat menghadapi ujian yang sangat berat dan tingkat perjuangan yang sudah sampai ke puncaknya ini,gangguan dan hinaan,aniaya serta siksaan yang dialami baginda dan umat islam semakin hebat.


Maka pada 27 Rejab, Allah SWT telah memerintahkan supaya Rasulullah s.a.w untuk menjalani Isra' Mi'raj iaitu:

Al-Isra’:perjalanan yang mulia lagi bersejarah dan Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al- Aqsa di Al-Quds di Palestin,
Mi’raj : peristiwa naik kelapisan langit tertinggi di mana Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam telah bertemu dengan Allah Rabbul Jalil, . Ketika inilah, baginda menerima perintah langsung dari Allah SWT tentang solat lima waktu. Dan kesemuanya ini berlaku dalam semalam sahaja.


Hikmah Allah memerintahkan Isra' dan Mi'raj kepada Rasulullah SAW:
-Menambahkan kekuatan iman dan keyakinan baginda sebagai Rasul yang diutus Allah di kalangan umat manusia.
-Memberikan kekuatan batin kepada nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah.
-Menjadi ujian bagi keimanan kaum muslimin


Rujukan

-Buku rahsia dan amalan bulan Islam(Kasmuri Selamat ma)

-Kitab Sirah Rasulullah Terj. Ustaz Hj Mohd Asri Hj Hashim cetakan 2009 Pustaka Salam

-Muhammad Sa’d Ramadhan al-Buti , Fiqh al-Sirah 1 Terj. Ustaz Mohd Darus Sanawi Dewan Pustaka Fajar 1983

Bersama-samalah kita menghayati dan menyelami intipati daripada peristiwa agung Isra' Mi'raj ini. Di samping itu peristiwa Isra' Mi'raj juga, adalah untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut. Semoga kita tergolong sebagai salah seorang daripada umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.

"PROFESSIONAL DAIE,GENERASI RABBANI"

Unit Kempen dan Promosi
Biro Pembangunan Insan
PERUBATAN 2011/2012

Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment