
Ramadhan silih berganti, dari tahun ke tahun, mungkin anda semua sudah purata 15 kali ke atas menyambut Ramadhan dalam keadaan yang “sedar” dan mumayyiz.
Ramadhan adalah bulan keberkatan yang diciptakan oleh Allah Taala kepada hambaNya. Mulianya Ramadhan bukan kerana hari-harinya yang redup, atau cerah mentari suria, tapi mulianya Ramdhan kerana keberkatan Allah yang melimpah ruah untuk memberikan keampunan dan rahmat kepada hambaNya.
Ramadhan turun dengan pelbagai tawaran kepada hambaNya , untuk melatih diri menjadi hambaNya yang bertaqwa sebagai mana firman yang biasa kita dengari “ Wahai orang-orang yang beriman , Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagai mana diwajibkan kepada umat-umat terdahulu, moga-moga kamu digolongkan dalam golongan yang bertaqwa “ (Al-Baqarah : 183)
Bagaimanakah kita menyambutnya? Adakah teruja, bergembira dan berazam untuk membaiki diri atau sekadar bersahaja melepaskan batuk ditangga dengan mengisi dengan menonton movie, bermain game dan chatting dengan kawan-kawan seperti bulan-bulan yang lain.
Tidak ketinggalan , kita selaku mahasiswa yang rata –rata digelar orang muda , menyambutnya dengan penuh meriah terutamanya di Mesir. Ramadhan dikaitkan dengan bulan tarbiyyah, bulan puasa, dan sesetengah kita mengatakan bulan “menunggu hari raya”, maka berbondong-bondonglah manusia yang memenuhi pasaraya di Malaysia sebagai persiapan untuk menyambut Eid Fitri tanpa menyedari masa beribadah bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja.
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia bersungguh-sungguh dalam melaungkan transformasi Ekonomi ke arah yang lebih baik dengan menyediakan suntikan bajet untuk merangsang pertumbuhan ekonomi maka seluruh rakyat Malaysia menyambut baik tawaran beliau dengan bersungguh untuk bekerja dan meningkatkan produktiviti kerja ke arah yang lebih baik.
Tuhan sekalian Alam, Allah S.W.T telah lama menawarkan kita satu pakej kepada hambaNya , iaitu Transformasi Taqwa untuk menjadi hamba yang mulia di sisiNya sebagaimana disebut di dalam Al-Quran “ Sesungguhnya yang paling mulia di sisiKu ialah yang paling bertaqwa(al-Hujurat)” dengan menyediakan Ramadhan Al-Mubarak sebagai pakej rangsangan , special offer kepada hambaNya sebagai tambah nilai , terdapat di dalamnya gandaan pahala amalan, yaitan dibelenggu, dimudahkan kerja yang baik, dan SALE iaitu malam lailatul Qadr, yang merupakan lebih baik daripada seribu bulan , sebagai hadiah kepada umat Muhammad yang rata-rata umur mereka tidak kurang daripada 60-70 tahun.
Jika kita bandingkan dengan ummat terdahulu, umur mereka panjang dan mempunyai banyak masa untuk beribadah, dan malam al Qadar adalah khas untuk umat Muhammad bagi menggandakan amalan –amalan mereka menyamai atau melebihi umat terdahulu.
Antara elemen yang penting untuk proses transformasi Ramadhan ialah
1) Transformasi physical
Jika sebelum ramadhan kita mengamalkan “sedentary life”, pengambilan gula berlebihan, pemakanan karbohidrat yang melampau, maka target kita untuk Ramadhan kali ini adalah untuk menjaga BMI ke paras normal. Cukup selama sebulan untuk kita melatih diri mengawal permakanan, dan kekalkan pemakanan yang sihat selepas Ramadhan. Sesungguhnya mukmin yang sihat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah (hadith)
2) Transformasi intelektual
Mahasiswa tidak lekang dengan pemikiran yang matang dan idea yang bernas. Amatlah sesuai dikatakan mahasiswa adalah penting untuk memajukan negara pada masa akan datang. Maka transformasi intelektual , iaitu kita menukar pola intelektual kita ke arah mahasiswa yang matang, berintergriti tinggi, jati diri yang kuat, mempunyai pendirian dan cakna kepada masyarakat sekeliling di samping memberi tumpuan yang utama kepada pelajaran serta meningkatkan produktiviti dan berdaya saing. Sering kita mendengar bulan puasa mengurangkan produktiviti, letih, tidak bertenaga dalam berkerja, tapi tahukah anda, bahawa sirah mencatatkan banyak peperangan yang disertai oleh ummat Islam pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya ialah berlaku pada bulan Ramadhan seperti Badar, Fathul Makkah, Penaklukan Sepanyol oleh Tariq bin Ziyad, Kemenangan menawan tentera Salib oleh Salahuddin Al-Ayubi dan kemenangan ke atas tentera Monggol. Kemenangan mereka ini atas dasar kualiti TAQWA dalam diri masing-masing. Justeru Ramadhan juga digelar Bulan Jihad.
3) Transformasi Spritual dan Emotional
Jika sebelum Ramadhan, kita melakukan sedikit sahaja amalan seperti membaca Quran,akan tetapi kita mampu menamatkan 30 Juz Al-Quran di bulan Ramadhan, kenapa tidak bulan lain? Jika kita mampu untuk bangun bersahur lebih kurang 20 minit sebelum subuh sepanjang bulan Ramdhan, mengapa tidak kita bangun untuk tempoh yang sama pada bulan-bulan yang lain untuk berqiamulail? Jika mampu untuk menahan marah dan nafsu pada saat siang Ramadhan dan mengatakan “ inni Sai’m(aku berpuasa) , mengapa tidak kita lakukan sedemikian pada ketika emosi terganggu pada bulan yang lain? Tepuk dada tanya iman, Tuhan yang kita sembah pada bulan Ramadhan adalah sama selepas dan sebelumnya. Janganlah kita menjadi HIPOKRIT pada bulan Ramadhan sahaja kerana Ramadhan adalah latihan, dan 11 bulan berbaki adalah ujian sebenar.
Puasa bukan untuk bermotifkan kelaparan kerana Sunnah Nabi SAW, bersumberkan yang sahih menganjurkan umat Islam untuk melewatkan sahur dan bersegera dalam berbuka puasa. Tapi, puasa adalah mengajar kita menahan, self-esteem (harga diri) untuk menjadi mukmin yang bertaqwa. Insyallah.
Akhir kata, sebagai mahasiswa muslim, sambutlah Ramadhan kali ini seolah-olah untuk kali terakhir , jika kali terakhir, kita akan menggunakan setiap masa dengan bersungguh –sungguh untuk latihan menjadi mukmin yang melakukan TRANSFORMASI bagi membaiki diri ke arah yang lebih baik.
Kullu Sannah Wantum Bikhair,
Muhammad Hanif bin Mahamud,
Setiausaha,
Perubatan Cawangan Mansurah 2010/2011
0 Comment