13 Ogos 2011, Mansurah- Kehadiran Education Malaysia Egypt (EME) ke bumi Mansurah telah disambut dengan kadar sederhana oleh para mahasiswa Universiti Mansurah. Majlis ramah mesra dan berbuka puasa antara mahasiswa dan pegawai EM telah berlangsung di GMN Centre yang terletak di Istad Gamaah. Para pegawai EM telah hadir seawal 4.00 petang di tempat berlangsungnya majlis tersebut.
Mengikut AJK Pelaksana majlis berbuka puasa bersama EM ini, seramai 200 orang pelajar dianggarkan hadir memeriahkan majlis. Majlis yang sepatutnya bermula pada pukul 6.00 petang menjadi sedikit tergendala kerana terdapat sekumpulan mahasiswa yang berkumpul di luar dewan bagi membuat aduan dan ingin mendapatkan penjelasan daripada Pengarah EM berkenaan dengan isu mahasiswa dan isu sesetengah pegawai EM yang dikatakan mereka bermasalah. Tepat jam 6.20 petang , majlis dibuka dengan surah al-Fatihah oleh saudara Mohammad Arif Bin Mamat Noor dan seterusnya mempersilakan Profesor Madya Dr Haji Su’aidi untuk memberi ucapan alu-aluan.
Professor Madya Dr Haji Su’aidi berkata dalam kata-kata aluannya, sepanjang bertugas selama 3 bulan menjadi Pengarah EM atau nama lamanya JPMK( Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah ), beliau telah merancang pelbagai perkara untuk memartabatkan mahasiswa Malaysia di Mesir, sebagai contohnya membuat journal berkaitan kehidupan mahasiswa di Mesir, khususnya pelajar perubatan, pelajar kuliah agama yang mengaji di universiti-universiti seluruh Mesir.
Profesor juga menegaskan pihak EM tidak menyebelahi mana-mana pihak, sama ada UMNO, ISMA mahupun PMRAM. Beliau menambah, pihak EM berfungsi sebagai pihak yang natural dan tidak menyebelahi mana-mana badan parti politik yang terdapat di Malaysia. Beliau juga menyatakan sebelum bertugas di Mesir, beliau mempunyai rekod yang bersih daripada menyebelahi mana-mana parti politik.
Tambahan lagi, beliau menyatakan hasrat untuk duduk dan berbincang dengan aman bersama-sama persatuan-persatuan yang wujud di bumi Anbiya’ ini. Berpegang kepada prinsip, Melayu serumpun,beliau menyeru kepada seluruh mahasiswa dan penduduk Malaysia di Mesir bersatu padu demi kebaikan semua.
Majlis ditamatkan dengan para mahasiswa dan pegawai EME masing-masing berselera menjamah juadah berbuka yang disediakan.
Sekian.
Yang melaporkan,
Nurul ‘Ain Binti Arshad,
Wartawan rasmi UPP PCM sesi 2010/2011.
0 Comment