
Krew KKIR bersama tuan rumah
Mansurah,11 Ogos 2011 – Program Ketuk-Ketuk Iftar Ramadhan (KKIR) yang bergerak di bawah program IHRAM ‘11 telah berjaya dijalankan buat pertama kalinya di Mansurah. Nama program yang unik sudah cukup menggambarkan keistimewaannya dan dibawakan khas untuk mahasiswi-mahasiswi Mansurah yang menyambut Ramadhan di bumi Mansurah yang tercinta ini.
Kronologi KKIR bermula dengan penyediaan makanan berat oleh para AJK IHRAM siswi yang bertugas. Setelah itu, mereka akan menziarahi rumah mahasiswi yang terpilih untuk berbuka puasa bersama-sama dengan dihadiri wakil AJK siswi Perubatan Cawangan Mansurah (PCM). Antara objektif utama program adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim pucuk pimpinan PCM dengan ahlinya, selain mengimarahkan lagi suasana Ramadan di Mansurah.
Mahasiswi yang bertuah untuk KKIR yang pertama ialah saudari Raden Hamizah, pelajar Semester 2 (Manchester), di kediaman beliau di Syari’ Iman, Istad Gamaah. Beliau dan ahli rumahnya sangat terkejut dan berbesar hati apabila dihubungi oleh AJK IHRAM yang memaklumkan bahawa rumah mereka terpilih untuk program ini. Menu istimewa yang disediakan ialah Nasi Ayam di samping Mee Kari yang disediakan oleh tuan rumah sendiri dan menambahkan lagi kemeriahan berbuka puasa.
Turut hadir ialah saudari Nurul Afifah binti Alias sebagai wakil AJK PCM. Beliau telah memberikan sedikit ucapan dan sesi taaruf telah dijalankan untuk lebih mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain. KKIR yang pertama diakhiri dengan ucapan terima kasih oleh pihak tuan rumah dan beliau mengalu-alukan kedatangan pucuk pimpinan PCM ke rumah beliau pada masa akan datang.
AJK IHRAM akan meneruskan program Ketuk-Ketuk Iftar Ramadhan ini di rumah-rumah yang terpilih sepanjang Ramadhan dan pelbagai menu menarik menanti anda yang bertuah. Jadi, bersedialah untuk dikunjungi oleh krew KKIR dalam bulan mulia ini. Selamat berpuasa!
Disediakan oleh,
PUTERI NUR SYAZWANI BT RADZIN,
Timbalan Pengarah,
Program Ketuk-Ketuk Iftar Ramadhan IHRAM ‘11,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 10/11.
0 Comment