
Program ini telah dimulakan dengan pendaftaran oleh peserta seramai 31 orang yang terdiri daripada 11 orang siswa dan 20 orang siswi, turut serta dan tidak melepaskan peluang keemasan adalah AJK IHRAM ‘11.
Seusai itu, program ini diteruskan dengan pembentangan teori sembelihan oleh jemputan khas dari Tanta,Ustaz Mohd Amin bin Zainal Abidin. Pembentangan teori yang mengambil masa selama lebih kurang satu jam setengah, tidak dirasai lama oleh para peserta lantaran pembentang banyak berceloteh dan menyelitkan pengisian dengan kisah-kisah lain yang bermanfaat.
Burung puyuh yang disediakan untuk kursus pada kali ini
Para peserta beramai-ramai bergerak ke ‘rooftop’ rumah Saudari Azimah Zahari yang terletak di Syari’ Iman, untuk melaksanakan amali sembelihan selepas mendengar pengisian daripada Ustaz Mohd Amin. Sebanyak 45 ekor puyuh disediakan untuk para peserta. Amali penyembelihan dimulakan dengan demonstrasi sembelihan yang ditunjukkan oleh Ustaz Mohd Amin bin Zainal Abidin bersama beberapa orang peserta ikhwah yang terlibat.
Ustaz Mohd Amin bin Zainal Abidin sedang
menunjukkan cara-cara menyembelih yang betul
Setiap peserta mengambil peluang mencuba dan melaksanakan sembelihan masing-masing. Pelbagai ragam dan teletah dapat dilihat dalam kalangan peserta yang terlibat. Ada yang tidak sabar dan ada juga yang takut -takut terutama dalam kalangan peserta siswi. Keadaan yang tadinya suram menjadi riuh-rendah lantaran gelak tawa dan gurauan peserta yang terlibat.
Setelah acara sembelihan selesai, para peserta diberi tunjuk ajar cara membuang bulu-bulu puyuh dengan dibantu oleh para AJK IHRAM ‘11. Kebanyakan mereka masih terkial-kial untuk membuang bulu puyuh, ada juga yang professional dan seakan seperti sudah biasa dengan kerja tersebut. Apa jua keadaannya, tahniah diucapkan kepada peserta kursus kerana berjaya mempelajari teknik yang betul, seawal penyembelihan hinggalah ke urusan membersihkan burung puyuh.
Keseluruhan kursus ini berjalan dengan lancar, kebanyakan peserta berpuas hati walaupun terpaksa berpanas semasa amali sembelihan dilaksanakan. Mereka mengharapkan kursus ini akan diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia bermanfaat untuk segenap masyarakat lantas menghapuskan mitos masyarakat Melayu, yang berpendapat hanya lelaki sahaja yang boleh menyembelih! Sekalung tahniah dan ribuan terima kasih diucapkan kepada AJK Pelaksana IHRAM ‘11 dan para peserta yang telah menbuatkan kursus sembelihan ini berjalan dengan begitu jayanya!
Disediakan Oleh,
NUR ILAHI BIN RAMLI
Unit IHRAM ’11,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/11.
0 Comment