Perutusan Hari Raya Aidilfitri PERUBATAN Cawangan Mansurah



Assalamualaikum w.b.t.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu” (Surah Al-Baqarah : 185)

Kita telahpun melalui sepenggal masa di bulan Ramadan yang mana sepanjang waktu ini kita umat Islam diwajibkan berpuasa dan mengeluarkan zakat fitrah selain digalakkan memperbanyak amalan sunat seperti tarawih, bersedekah, qiamullail dan lain-lain. Apa yang diharapkan daripada Ramadan adalah keampunan Allah S.W.T dan moga-moga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang bertaqwa.

Selepas ini kita akan kembali melalui 11 bulan yang kebiasaannya kita kembali sibuk dan letih dihambat tuntutan nafsu dan keinginan dunia. Inilah suatu perkara yang perlu kita sama-sama muhasabah, adakah kita telah menemui jiwa yang baru yang dekat pada Allah, yang takut pada Allah, yang sentiasa mengharapkan keampunan dan redhaNya ? Jika jiwa yang kita miliki adalah jiwa yang masih layu, masih didorong telunjuk nafsu semata walaupun setelah melalui Ramadan maka Ramadan yang lalu akan hanya tinggal kenangan dan tidak mampu memberi kesan yang positif untuk kehidupan 11 bulan selepas ini yang begitu mencabar.

Pada Hari Aidilfitri ini, kita disuruh untuk memperbanyak takbir mengagungkan Allah S.W.T. Takbir bukan kerana ingin menunjuk suara siapa yang lebih merdu, bukan juga kerana untuk mewujudkan suasana syahdu di hari raya sebaliknya laungan takbir lahir daripada lubuk hati seorang hamba yang benar-benar mengakui keagungan dan kebesaran Allah Tuhan Semesta Alam.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,

Marilah sama-sama kita seluruh umat Islam khususnya ahli-ahli PERUBATAN yang tinggal serumpun di Mansurah ini untuk kita berusaha mengekalkan momentum Ramadan yang telah lalu ini didalam setiap jiwa dan amalan kita. Kita sebenarnya memerlukan suatu suasana yang baik dan membina seperti yang wujud pada bulan Ramadan. Suasana saling membantu, ziarah-menziarahi, solat berjamaah di masjid, berlumba-lumba membaca al-Quran dan sentiasa membanyakkan doa pada Allah. Moga-moga dengan adanya biah seperti ini maka setiap daripada kita akan terdorong untuk sentiasa menjadi hamba Allah yang taat pada perintahnya.

Jatuhnya sambutan Aidilfitri yang tidak jauh daripada tarikh sambutan kemerdekaan Negara kita adalah suatu yang memberi kita kesempatan yang baik untuk menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Hal ini kerana Aidilfitri yang diraikan umat Islam membawa kepada makna kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan yang sebenar hasil daripada tarbiyah Ramadan adalah dengan erti bebas daripada penghambaan atau tunduk pada tuntutan manusia, syaitan, nafsu dan dunia kepada hanya tunduk pada Allah Tuhan Rabbul Jalil.

Akhir kalam, saya mewakili barisan kepimpinan PERUBATAN Cawangan Mansurah sesi 2010/2011 mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Malaysia khususnya yang berada di bumi Mansurah ini.

Sekian, wassalam.

“Ilmuan Berbakti Teguh Sehati”


AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/2011

Tags: , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment