3 September 2011, Mansurah – Satu lawatan rasmi tetapi ringkas telah
diadakan di antara pegawai MARA dengan beberapa wakil pelajar MARA di Mansurah.
Pertemuan ini bertempat di rumah Mohammad Iskandar selaku wakil pelajar MARA
juga merangkap Ketua Unit Akademik PCM.
Pertemuan yang juga ziarah sempena hari raya ini bermula sekitar pukul
4.30 petang dan dihadiri oleh 3 orang pegawai MARA yang telah diketuai oleh
Ustaz Ishak Othaman, selaku Pengarah MARA Timur Tengah, saudara Ahmad Azizi bin
Md Jusoh selaku Pengerusi PCM juga beberapa orang pelajar turut berpeluang menyertai
pertemuan ringkas ini. Pertemuan ini dimulakan dengan sesi taaruf ringkas oleh
semua hadirin.
Tujuan kunjungan dan pertemuan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah
kerana sikap pegawai MARA yang sentiasa ingin cakna dengan perkembangan yang
berlaku di Mansurah secara amnya dan perkembangan daripada sudut akademik dan
sosial dalam kalangan pelajar MARA secara khususnya dengan cara bersua muka.
Banyak perkongsian dan laporan yang diberikan oleh pelajar untuk makluman
pegawai MARA tersebut. Semua itu diambil perhatian dan akan diambil tindakan
sewajarnya kelak.
Ustaz Ishak yang juga baru pulang daripada berjumpa dengan wakil
Universiti Mansurah bagi menyelesaikan segala urusan yuran pelajar MARA yang
tertunggak turut memberitahu bahawa terdapat sedikit masalah yang dihadapi
berkenaan dengan senarai pelajar yang gagal dikesan Unit Akademik PCM diminta
agar membantu menyelesaikan masalah sekaligus menyelesaikan proses pembayaran
yuran tersebut ekoran keberadaan pegawai-pegawai tersebut di Mansurah tidaklah
terlalu lama.
Ustaz Ishak, juga lebih senang dipanggil sebagai ‘walid’ oleh
pelajar-pelajar MARA turut memberikan suntikan semangat agar motivasi pelajar-pelajar terus berada
dalam keadaan yang optimum. Selain itu, peringatan turut diberikan agar semua
pelajar sedar tentang tujuan asal mereka dihantar ke Mesir untuk berlajar
bersungguh-sungguh. Akhirnya, sedikit jamuan ringkas dihidangkan bagi
menghargai semua tetamu yang hadir.
Memetik respon seorang pelajar MARA, Wan Hanif bin Wan Osman berkata
“Pertemuan ini perlu dilakukan secara berkala agar sebarang masalah boleh
diselesaikan tanpa bertangguh sekaligus mampu merapatkan ukhwah yang terjalin
diantara semua pelajar tajaan MARA dan pegawai MARA”.
Secara keseluruhan kunjungan dan lawatan ini mencapai objektifnya malah
mengeratkan lagi ukhuwah disamping dapat bertukar-tukar pendapat diantara
pegawai dan pelajar. Semua pelajar yang hadir sangat berpuas hati dengan sikap
pegawai MARA yang sangat prihatin dengan semua masalah dan komen yang diajukan.
Disediakan oleh,
Mohammad Iskandar Bin Sa’uadi,
Ketua Unit Akademik,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2010/11.
0 Comment