
Assalamualaikum W.B.T. Bismillah wal hamdulillah. Saya mulakan kalam dalam petikan ini dengan memetik suatu ayat daripada Surah Yusuf :

“Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf, dia merangkul kedua orang tuanya seraya berkata, “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman” (Surah Yusuf : Ayat 99)
Begitulah ayat yang terpahat kekal sebagai kalamullah, memetik kata-kata seorang rasul yang memperihalkan keamanan sebuah negeri yang bernama Mesir. Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum, buat mahasiswa/wi yang baru tiba ke bumi anbiya’ ini dan lebih khusus lagi, Mansurah.
Universiti adalah tempat untuk melahirkan insan yang baik bukan sekadar tempat melahirkan penjawab soalan peperikasaan atau pekerja yang baik. Dengan pemahaman sebegini pastinya sudut perjuangan dan hala tuju yang ingin kita capai akan menjadi lebih besar, luas dan mencabar sesuai dengan kudrat dan semangat yang ada pada seorang pemuda atau pemudi Islam.
Di universitilah kita melatih diri untuk hidup bermasyarakat dan bersosial dengan baik, mendisiplinkan diri dan fokus dalam mencapai kecemarlangan akademik. Tambahan pula kesempatan buat kalian yang menuntut di bumi Mesir ini, pastinya banyak pengalaman baru dan ilmu-ilmu agama yang boleh dikaut sepanjang berada 5 atau 6 tahun di perantauan ini.
Apa yang mustahak buat anda dan juga saya sepanjang berada di bumi penuh berkat ini adalah “kebesaran jiwa”. Tanpa jiwa yang besar kita tidak akan mampu untuk mengisi segala ilmu dan hikmah yang ada di Mesir ini di dalam dada untuk dicurahkan pada tanah air kelak. Ilmu dan hikmah itu selalunya hanya dapat dicapai setelah melalui ujian dan cabaran yang pastinya memerlukan kesabaran daripada kita semua.
Sepanjang berada di sini anggaplah kami abang-abang dan kakak-kakak yang ada di sini sebagai sebahagian daripada adik-beradik kalian. Saya yakin kalian pastinya punya soalan yang banyak ingin diajukan kepada kami dan kami pastinya tidak sabar berkongsi cerita dan pengalaman dengan kalian.
Akhir kalam, sekalung tahniah daripada saya mewakil PERUBATAN Cawangan Mansurah kepada mahasiswa/wi baru yang bakal melangkah ke gerbang Universiti Mansurah sebagai pelajar-pelajar sains kesihatan. Kalian adalah “Generasi PERUBATAN Pasca Revolusi Mesir !”
Sekian, salam perkenalan ;
AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah Sesi 2010/2011.
0 Comment