7 Sebab Kenapa Perlu Menangis



Ketika fenomena ‘Ombak Rindu’ menggegarkan alam maya suatu masa dahulu, banyaklah air mata yang mengalir deras mengenangkan plot cerita cinta penuh tragedi. Akan tetapi bukan kisah ‘Ombak Rindu’ yang ingin penulis ceritakan, sebaliknya kisah air mata dan tangisan yang ingin penulis kongsikan. Adakalanya penulis berfikir sendirian, atas alasan apakah kita perlu menangis. Menurut Pakar Biokimia di Sant Rams Medical Centre, Dr. William Frey yang mengkaji selama 15 tahun tentang air mata, mengatakan, menangis bermanfaat kepada psikologi, fisiologi dan spiritual. Berikut adalah hasil kajiannya yang bercerita tentang perlunya manusia menangis.

1. Air mata membantu manusia melihat
Fungsi asas air mata adalah untuk membantu manusia melihat dengan lebih jelas. Hakikatnya air mata bukan sekadar pelincir kepada biji mata dan kelopak mata, tetapi juga mampu untuk menghalang kekeringan pada mata. Tanpa pelincir tidak ada mata yang boleh melihat. Tanpa air mata, kehidupan memberi dimensi yang berbeza kepada manusia iaitu dalam jangka masa pendek akan timbul ketidakselesaan dan kesan jangka panjangnya amat menakutkan, manusia akan hilang penglihatan.

2. Air mata membunuh bakteria
Tidak perlu cecair peluntur atau pembasmi kuman. Bertuah kerana manusia ada air mata! Pada air mata terdapat anti bakteria dan anti virus semula jadi yang bekerja untuk manusia menentang kuman yang masuk ke dalam mata dari persekitaran. Air mata mengandungi lysozyme yang boleh membunuh bakteria 90-95% dalam masa lima hingga sepuluh minit.

3. Air mata menghanyutkan toksik bersamanya
Hasil kajian yang dilakukan mendapati bahawa air mata emosi yang mengalir kerana kesedihan dan tekanan mengandungi lebih  banyak toksin berbanding air mata yang disebabkan oleh gangguan benda asing misalnya ketika mengupas bawang. Air mata emosi mengandungi lebih banyak protein, hormone prolactin, adrenocorticotropic dan leucienkephalin (ubat tahan sakit semula jadi). Adakah air mata itu sebenarnya toksik? Tidak! Air mata sebenarnya mengingkirkan toksin dari badan yang terhasil kerana stress. Hal ini adalah umpama terapi semula jadi atau sesi urutan untuk mengeluarkan toksin tetapi dengan kos yang paling murah!

4. Menangis boleh menaikkan mood
Anda tahu berapa banyak Mangan (Manganase) di dalam badan anda? Tidak! Begitu juga dengan diri penulis yang tidak tahu berapa jumlah Mangan yang ada di dalam badan. Tetapi, bertuahlah kalau jumlahnya adalah rendah kerana kandungan Mangan yang tinggi di dalam tubuh badan boleh menyebabkan kebimbangan, gemuruh, gugup, cepat marah, keletihan, agresif, gangguan emosi dan semua perasaan gembira akan lenyap. Dengan menangis boleh menurunkan tahap Manganese di dalam badan. Halnya sama seperti membawa keluar toksin dari dalam badan. Air mata mengandungi 24 peratus albumin protein yang boleh menjadi pengangkut kepada molekul yang lebih kecil. Itulah yang dilakukan oleh air mata ketika menangis kerana sedih.

5. Menangis boleh mengurangkan stress
Air mata adalah sama seperti peluh yang keluar semasa bersenam. Air mata membuang sebahagian bahan kimia yang dihasilkan oleh badan kerana stres. Hormon yang terlebih dikeluarkan seperti endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin kerana kelenjar pituitari terganggu telah memberi kesan kepada mood dan mengawal stres. Menangis ternyata dapat menyingkirkan bahan kimia yang berlebihan dihasilkan oleh badan.

6. Air mata mengukuhkan hubungan
Menangis bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan. Apabila melihat orang lain menangis secara tidak langsung kita akan berasa simpati dan cuba untuk membantu. Walaupun tidak mampu menghilangkan masalah tetapi sekadar menjadi pendengar pun sudah cukup untuk meringankan beban. Air mata membantu manusia berbicara dan mengeratkan hubungan yang sedia ada.


7. Air mata membebaskan perasaan
Sehebat mana dugaan yang dilalui, malang silih berganti dan air mata tidak pernah kering untuk menangisi kesedihan hati. Namun air mata adalah pilihan yang terbaik untuk meluahkan perasaan. Kadang-kadang perasaan itu bersarang di dalam sistem limbik di dalam otak dan pada ketika yang lainnya terbuku di dalam hati tidak terluah. Menangislah kerana tangisan mampu melegakan emosi. Lepaskan semuanya kerana tangisan baik untuk sistem saraf dan jantung.


Disediakan Oleh,
Mohd Azrizan bin Bakir
Jurnalis, Unit Penerbitan dan Penerangan (UPP)
PERUBATAN Cawangan Mansurah

Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment