[ARTIKEL] Islam Plastik


Apa itu Islam plastik?

Islam plastik adalah islam yang dibina atas hawa nafsu manusia. Islam yang plastik juga hanya menjaja nama Islam namun isinya sama sekali terpesong, hanya tiruan dari segi luaran semata-semata. Pendek kata, semestinya Islam itu bukan Islam yang sebenarnya. Dan kesimpulan, Islam itu adalah Islam yang tertolak daripada Islam yang sebenar.

Namun, produknya dinamakan Islam juga, kerana untuk meng’halal’kannya.

Pelbagai taktik boleh wujud dalam hal ini. Antaranya, campur sesuatu daripada Islam, dengan yang bukan daripada Islam, dan dikatakan itulah Islam, berdasarkan sebahagian daripada Islam yang wujud di dalam perkara itu.

Lebih buruk, Islam plastik ini dipromosikan. Seakan-akan itulah dia Islam yang sebenar.

Pegangan kita hanya bersih apabila kita berpegang kepada Islam yang asli, iaitu dengan kita meletakkan kembali Allah di tempatNya yang sebenar dalam kehidupan manusia – sebagai ILAH dan RABB. Kembali kepada Islam yang asli ini adalah dengan mengangkat kembali Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan dalam kehidupan kita.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa yang dipilih) dari kalangan kamu(orang yang beriman). Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah An-Nisa’ ayat 59.

Kita tidak boleh mencampur-campurkan amalan jahilliah dan amal yang lain, kerana ia boleh merosakkan kesihatan rohani dan fizikal kita. Pendek kata, tidak ada percampuran dengan apa sahaja larangan Allah SWT di dalamnya.

Islam yang plastik itu adalah yang terkeluar daripada keaslian ini. Bukanlah ini bermakna Islam melarang kreativiti atau jumud. Tetapi kreativiti sepatutnya punya limitasi. Sekiranya tidak dikawal, maka ia akan terkeluar daripada kebaikan.

Contoh, penutupan aurat. Hari ini kita lihat, bagaimana dunia mempromosikan Islam berwarna lain ini dalam hal penutupan aurat. Islam mengarahkan agar aurat dijaga sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh. Tetapi kita dapat lihat bagaimana hari ini ada yang mempromosi tudung, bersama pakaian ketat, kemudian dikatakan itu fesyen Islam terkini Islam hanya diambilnya separuh-separuh pada bahagian yang disukainya sahaja, tetapi dinamakan keseluruhannya sebagai Islam hanya berdalilkan separuh yang diambilnya itu. Ini menimbulkan kekeliruan, seakan-akan itulah dia Islam.

Akan ada orang berkata, mengapa ingin sibuk dengan semua ini? Mengapa ingin peduli?

Sepatutnya kita sebagai orang beriman peduli. Hal ini kerana, ini adalah pertempuran kita dengan jahiliyyah yang berusaha menarik kita keluar daripada jalan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda :

“Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim).” (Hadis Riwayat Thabrani)

Sebab itu, kita tidak boleh memandang enteng dengan ‘pengkhianatan’ yang berlaku, menjaja nama Islam, sedangkan yang berada di dalamnya adalah sesuatu yang lain. Apa-apa sahaja yang terkeluar daripada apa yang Allah redhai, apakah itu layak dinyatakan sebagai Islam?

Kadangkala, kita lebih senang tidak merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kita tidak memandang pandangan ulama’ Islam. Tetapi kita lebih cenderung mencari jawapan mengikut hawa nafsu kita.Hawa nafsu kita jadikan tuhan kita tanpa sedar.

Apabila seluruh ulama’ bersetuju menyatakan Solat Jumaat adalah wajib, rambut wanita adalah aurat, kita masih berusaha mencari sekurang-kurangnya satu ulama’ yang menyatakan itu semua sebaliknya, tanpa mengira apakah dalil yang diguna, apakah hujah yang dipakai. Kemudian kita seronok berkata: “Ulama seorang tu kata boleh.”

Hawa nafsu yang memandu. Bukan keimanan. Itulah kita.

Mari kita persoalkan semula. Hari ini, Islam kita Islam apa? Apakah sistem hari ini yang kita guna pakai untuk hidup? Apakah panduan sehari-hari kita menjalani kehidupan, Apa rujukan kita dalam beramal, berpakaian, pememerintahan?

Persoalkan.

Moga-moga kita bukan termasuk dalam Islam yang plastik itu.


Sumber :
Paradigma MUKMIN



Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment