
Mansurah, 28 Ogos 2011; Kediaman milik Saudari Anis Safiah binti Mohd. Ezanee, Tahun 2 Perubatan Konvensional, telah terpilih sebagai lokasi Ketuk-Ketuk Iftar Ramadhan (KKIR) yang keempat dan terakhir. Beliau serta 4 sahabat yang lain kelihatan terkejut tetapi gembira apabila krew KKIR tiba di rumah mereka di Syari’ Samanoudy. Masing-masing tertanya-tanya mengenai program ini memandangkan tiada sambungan internet di rumah mereka kerana baru berpindah. Namun begitu, mereka mengalu-alukan kehadiran krew KKIR.
Juadah khas untuk KKIR 4 ini ialah Nasi Halia bersama Ayam Masak Merah. Semua yang terlibat tidak sabar untuk menjamu selera memandangkan krew KKIR sampai agak lewat. Turut turun padang pada kali ini ialah Saudari Nik NurFariha Mohamed Zalami, Pemangku Timbalan Pengerusi 2 dan juga Timbalan Setiausaha PCM. Seusai solat berjemaah, sedikit kalam taujihad daripada beliau dikongsi bersama agar tiada jiwa yang futur dalam perjuangan menuntut ilmu di sini.
AJK KKIR yang terlibat juga telah memaklumkan mengenai program-program yang akan dijalankan dalam masa yang berbaki ini. Sebelum azan isyak berkumandang, krew KKIR mengundurkan diri dan pihak tuan rumah berterima kasih serta mengalu-alukan kunjungan AJK IHRAM pada masa hadapan.
Dengan berakhirnya KKIR yang keempat, maka tamatlah program Ketuk-Ketuk Iftar Ramadhan untuk Ramadhan 1432H. Ahli Jawatankuasa KKIR mengucapkan ribuan terima kasih kepada mahasiswi-mahasiswi yang sudi menerima kunjungan kami dan memohon maaf andai tersalah kata, tersilap bicara sepanjang program ini. Bagi mereka yang tidak terpilih pada kali ini, mungkin anda akan menemui krew KKIR pada Ramadhan yang mendatang. Semoga segala usaha yang dilakukan dikira sebagai amalan baik dan diterima Allah S.W.T. Sekian.
Disediakan oleh,
PUTERI NUR SYAZWANI BINTI RADZIN
Ahli Jawatankuasa,
Program Ketuk-Ketuk Iftar Ramadhan IHRAM ‘11,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 10/11.
0 Comment