KENYATAAN RASMI - Pembawakan PERUBATAN Cawangan Mansurah '11/12



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dgn limpah kurniaNya kita semua masih kekal dalam nikmat-nikmat yang tidak pernah putus sejak kita lahir. Selawat dan salam juga atas junjungan baginda kerana dengan berkat usaha baginda maka hari ini segala usaha dakwah ini masih dapat diteruskan sebagai salah satu cara menunjukkan betapa kita juga umat nabi yang menjalankan tugas-tugas nabi dalam menyampaikan seruan kebenaran.

“Mewarnai Landskap Mahasiswa”

Saya mulakan bicara ini dengan satu tema yang cuba dibawakan oleh PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) pada sesi 2011/2012 pada tahun ini iaitu “Mewarnai Landskap Mahasiswa”. Hanya 3 perkataan yang dipilih supaya dapat merangkumkan agenda-agenda penting yang telah diputuskan di peringkat Majlis Pengerusi. Agenda-agenda tersebut termasuklah:
  1.  Agenda kebersamaan iaitu untuk meraikan ahli yang pelbagai dan menekankan konsep ahli-pimpinan dan juga pimpinan-ahli.
  2. Daripada ahli untuk ahli. Suatu konsep mudah yang digunapakai menerangkan tentang seorang ahli yang memberikan sesuatu (idea, tenaga & wang) akan terpalit faedahnya untuk ahli yang lain.
  3. Penerapan fikrah kesatuan dan Islami dalam semua gerak kerja PCM juga individu-individu yang menggerakkannya.
  4.  Mencorak fenomena mahasiswa/wi ideal.

Seperti mana yang kalian sudah maklum bahawa di Mansurah, mahasiswa/wi sains kesihatan datang dari pelbagai latar belakang keluarga, institusi pengajian, dan juga suasana pengamalan agama. Maka, selaku pemimpin kami harus bijak untuk mengatur strategi agar PCM mampu menjadi wadah permulaan bagi mereka yang baru dalam proses mengislah diri dan pada masa yang sama sebagai suatu platform yang stabil bagi mereka yang memang sudah bergiat aktif dalam persatuan. Tindakan ini kami namakan sebagai proses 
MEWARNAI LANDSKAP MAHASISWA.
Secara jujurnya proses ini bukanlah satu proses yang mudah malah memerlukan kudrat individu yang ramai untuk menjayakannya. Jadi kesedaran semua ahli PCM terhadap isu ini adalah amat penting agar kesemua agenda yang digariskan dapat dibawa dengan baik dan mendapat hasil yang memuaskan.

PENGLIBATAN

PCM sedang bergerak kearah menjadi sebuah persatuan yang matang. Baik dari aspek pengendalian persatuan itu sendiri mahupun aspek mematangkan ahli dengan agenda-agenda mahasiswa/wi seperti pembinaan pemikiran individu bertaraf antarabangsa berlandaskan syariat Islam. Maka sekali lagi kami ingin tekankan bahawa strategi yang tersusun adalah perlu dalam memastikan misi dan visi ini tercapai serta yang tidak kurang penting juga adalah penglibatan semua ahli supaya kita sama-sama dapat melihat perkara ini bergerak kearah realiti.

IDEALISTIK -> REALISTIK

Justeru, besarlah harapan kami agar kita semua sebagai mahasiswa/wi yang idealistik mampu sama-sama membina kekuatan fikiran, sosial, spiritual dan jasmani yang kuat agar idea yang acapkali idealistik mampu diterjemahkan agar menjadi suatu yang realistik. Sekali lagi, semua ini adalah proses yang panjang dan PCM secara komited membuka seluas-luasnya dan sebanyak-banyak yang mungkin platform di dalam PCM agar semua warga Mansurah akan mendapati bahawa mereka adalah sebahagian daripada PCM.

‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’

Sebagai penutup, ingin kami tiitipkan satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Ustaz Hasrizal yang lebih kita kenali sebagai Ustaz Saiful Islam di dalam blognya, saifulislam.com supaya dapat difikirkan bersama iaitu ‘Erti Hidup Pada Memberi’. Jika dihayati sirah dari zaman nubuwwah lagi kemudian di zaman kegemilangan Islam sehingga ke era yang moden ini, maka kita akan dapati individu yang hebat diantara faktor yang boleh diambil iktibar ialah kehidupannya yang diabadikan untuk memberi dan tidak sama sekali mengharap sebarang balasan. Moga, kita juga mampu melakar sejarah sebagai seorang individu yang hebat dan banyak berjasa kepada Islam terutamanya.

Selamat berpartisipasi ke dalam PERUBATAN Cawangan Mansurah.

Sekian. Wasalam.

MOHAMMAD ISKANDAR BIN SA’UADI
PENGERUSI,
PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH SESI 2011/2012

MAJLIS PENGERUSI terdiri daripada:

 MOHAMMAD ISKANDAR BIN SA’UADI 
(Pengerusi PCM)


MUHAMAD ARIF BIN MAMAT NOOR
 (Timbalan Pengerusi I PCM)


NIK NURFARIHA BINTI MOHAMMED ZALAMI
 (Timbalan Pengerusi II PCM)
Tags: , , ,
http://i229.photobucket.com/albums/ee90/balastix/PERUBATAN/468x77.png

Web Master

Portal Rasmi PERUBATAN Cawangan Mansurah ini dikelolakan oleh Unit Penerbitan Dan Penerangan. Sebarang pertanyaan atau komentar boleh disalurkan secara terus kepada Ketua Unit Penerbitan Dan Penerangan,Muhamad Azizi bin Mejan, atau e-melkan kepada upp_pcm[.a.t.]yahoo.com.

0 Comment

Post a Comment