Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
w.b.t
Alhamdulillah,
dengan izin Allah s.w.t kita masih lagi diletakkan dalam kurniaan nikmat yang
tidak terhingga banyaknya termasuklah nikmat kesihatan dengan tubuh badan yang
cergas. Selawat dan salam keatas nabi junjungan kita kerana berkat perjuangan
baginda yang gigih menjadikan kita masih lagi seorang muslim yang utuh
akidahnya insya-Allah.
Tanggal 30hb Mac 2012, Jumaat bakal menanda satu
lagi warna pada kanvas PERUBATAN dengan penganjuran PERUBATAN Sport’s Day (PSD) Ikhwah yang menyaksikan Iskandariah
sebagai tuan rumah. Sudah pasti PSD pada tahun ini akan mempunyai sejarahnya
yang tersendiri. Namun persoalannya,
siapakah yang bakal mencorakkannya?
PSD Ikhwah yang
terakhir telah dibuat sekitar 2 tahun yang lalu bertempat di Mansurah, di mana
ketika itu pelbagai acara dan pertandingan telah diadakan. Persaingan yang sangat sengit dan hebat di antara setiap peserta
dari semua cawangan benar-benar menyemarakkan jiwa kesukanan yang ada dalam
diri ahli PERUBATAN.
Peserta
kontinjen PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) sewaktu itu telah menunjukkan
semangat daya saing yang tinggi dan sangat bersungguh untuk mengharumkan nama
PCM di persada PERUBATAN seluruh Mesir. Perkara
ini bukan hanya menggembirakan hati warga Mansurah, bahkan jua berjaya mengangkat nama Mansurah ke persada
yang lebih tinggi dalam kalangan Mahasiswa Sains Kesihatan di Mesir.
Warga Mansurah
yang dikasihi sekalian,
Selaku Pengerusi
PCM sesi 2011/2012, saya berbesar hati kerana pada tahun ini penyertaan yang
diberikan oleh semua peserta ikhwah dalam setiap acara masih lagi dalam keadaan
yang sangat memberangsangkan. Justeru,
semangat yang berkobar-kobar ini perlu kekal sehingga semua acara selamat
dipertandingkan di Iskandariah kelak.
Perlu diingatkan
bahawa adat pertandingan pasti ada kalah dan menang. Namun begitu, kemenangan
atau kekalahan yang dimiliki perlulah dari hasil usaha yang gigih dan juga permainan
yang kekal bersih dari awal hingga akhir. Ini kerana di antara objektif
penganjuran PSD ini adalah ingin memupuk semangat
kesukanan yang tinggi dalam kalangan ahli dan juga untuk melahirkan ahli
PERUBATAN yang bersemangat waja. Jadikan
matlamat asal penganjuran PSD ini tercapai, bukan hanya statik pada kayu ukur
menang atau kalah sahaja. Selain itu, objektif ukhuwah dan kesatuan tidak kurang pentingnya untuk dihayati dan
diaplikasikan oleh seluruh ahli PERUBATAN.
Jika diteliti
kembali 5 agenda yang telah dibentangkan oleh Presiden PERUBATAN, saudara Wan
Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidy sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan ke-8
PERUBATAN yang lalu, agenda kebajikan,
profesionalisme dan kesatuan mampu diterapkan dengan baik sekiranya semua
ahli cakna dan sedar kepentingannya dalam pelaksanaan PSD pada kali ini. Maka, jadilah ahli PERUBATAN yang mampu memberi
sumbangan pada ahli PERUBATAN yang lain.
Sokongan moral yang padu
mesti ditunjukkan oleh semua warga Mansurah terhadap peserta yang bakal
bertanding. Jadi, selaku ahli yang cakna, walaupun anda tidak menyertai
sebarang acara, marilah kita
beramai-ramai memeriahkan PSD pada kali ini dengan cara turun ke Iskandariah untuk
menzahirkan sokongan padu kepada kontinjen Mansurah dengan memakai pakaian bertemakan
BIRU, selain mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa sains kesihatan seMesir.
SEMBOYAN TELAH BERBUNYI
Maka saya
berbesar hati meletakkan harapan yang
tinggi pada kalian yang bakal mengharumkan nama PCM sekali lagi pada PSD
tahun ini. Berusahalah bersungguh-sungguh
dalam mengenggam kemenangan kemudian doa dan tawakal mestilah disertakan dalam
setiap tindak-tanduk kita kerana itulah yang menjadi bukti kehambaan kita
kepada Allah dalam setiap perkara agar kita mampu berlapang dada terhadap apa
jua natijah yang bakal terhasil kelak.
Selamat Bertanding,
Selamat Berjaya dan Selamat Berukhuwah.
“TOGETHER WE’LL
GLORIFY THIS MOMENT”
Yang benar,
Mohammad
Iskandar Bin Sa’uadi
Pengerusi
PERUBATAN
Cawangan Mansurah 2011/2012
0 Comment