JUMAAT, 16 MAC 2012-
Bertempat di Qaah Ibnu Sina (QIS), telah berlangsung satu program yang
julung-julung kali diadakan, Islamic Practical Session (IMPULSE): PENGURUSAN
JENAZAH anjuran Lajnah Madrasah Imam Nawawi (MIN), dibawah Unit Pembangunan Insan (UPI). Berikutan menebalnya kesedaran ruhiyah mahasiswa, program ini mendapat
sambutan yang sangat menggalakkan.
Program bermula
sekitar 8.30 pagi, dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Muhammad Izzat bin
Abdul Hadi, diikuti ucapan Pengarah Program, saudara Muhammad Abdul Alim bin
Zakaria, dan seterusnya ucapan Penasihat PCM, saudara Ahmad Azizi bin Jusoh.
Program ini diadakan seiring dengan tuntutan fardhu kifayah, memberi pendedahan
tentang kaifiyat atau cara
menguruskan jenazah dengan betul. Dan ini disempurnakan dengan pengisian padat dari
Ustaz Syafiq, mahasiswa jurusan Usuluddin, Tahun 4, Universiti Al Azhar Syarif
Cawangan Tanta. Antaranya beliau menerangkan dengan jelas bagaimana pengurusan
jenazah berserta hukum dan syarat melaksanakannya, dari memandikan, mengkafankan
hingga mengkebumikan. Beliau juga memberi sedikit pencerahan tentang perbezaan
antara yang sunnah dan adat masyarakat Melayu yang kian diamalkan hingga
menampakkan pengurusan jenazah ini sukar untuk dilaksanakan.
Program
diteruskan dengan demonstrasi memandi dan mengkafankan jenazah oleh ustaz
Syafiq dan dibantu rakannya. Demonstrasi secara langsung ini telah memberi
gambaran yang lebih jelas kepada peserta. Selepas itu, program berhenti rehat
untuk solat Jumaat dan diteruskan dengan Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) untuk
mempraktikkan ilmu teori dan demonstrasi yang dipelajari, dalam kumpulan
masing-masing yang telah ditetapkan. GKB tersebut dilaksanakan di QIS bagi
akhawat dan di Darul Rahmah (DR) bagi ikhwah. Setiap kumpulan dibimbing oleh
fasilitator dan dibekalkan dengan kain kafan dan kapas. Para peserta berpeluang
untuk mengkafankan jenazah dan menjadi model jenazah dalam kumpulan
masing-masing di samping mengaplikasikan teori memandikan dan menyembahyangkan
jenazah.
Program ditutup
dengan resolusi mengenai program oleh saudara Muhammad Izzat bin Abdul Hadi serta wakil daripada ikhwah dan akhawat.
Alhamdulillah, pada jam 3.30 petang, program selesai dijayakan. Diharapkan para peserta dapat memanfaatkan
segala ilmu yang telah dipelajari dengan sebaik mungkin agar teknik pengurusan
jenazah dapat diaplikasikan dengan lancar dan teratur pada jenazah sebenar.
Segala kekurangan program akan diperbaiki dan terima kasih diucapkan kepada
semua yang menjayakan program pengurusan jenazah ini.
Disediakan oleh,
Siti Hajar binti Shamsudin,
Unit Persiapan dan Promosi,
(IMPULSE): Pengurusan Jenazah,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2011/2012
0 Comment